Ahad, Jun 22

MUSAFIR SEORANG SUFI

MUSAFIR SEORANG SUFI

Hidup adalah satu perjalanan dan dunia ini merupakan persinggahan. Kita mungkin lupa tujuan Pencipta kita yang Agung menjadikan manusia. Inilah bukti sifat insan, mudah lupa dan memerlukan tazkirah atau peringatan supaya kembali kepada Tuhan. Oleh sebab itu, ALLAH S.W.T telah mensyariatkan tazkirah (peringatan). Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :

“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.”

(az-Dzaariyat:55)

Apabila kita menyedari tujuan kita berada di dunia yang fana ini, sudah pasti kita mengetahui bahawa perjalanan memerlukan bekalan. Dan sudah tentu ilmulah menjadi intipatinya. Ilmu merupakan pelita kepada kehidupan. Tanpanya bagaimana mahu mendekatkan diri kepada Allah. Kurangnya ilmu ditakuti akan disesatkan oleh syaitan dan hawa nafsu sendiri. Nabi-nabi dan rasul-rasul sendiri dibekalkan dengan ilmu (fatanah) yang menjadikan hidup mereka terarah dan terbimbing.

Seorang pengembara sudah pasti bukan sekadar melihat dan berjalan tapi merenung dan mengambil pengajaran daripada setiap pengalaman. Justeru si pengembara itu bisa mengetahui dan memahami supaya tidak mengulangi kesilapannya. Pengembara di sini ialah pengembaraan penglibatan, pemikiran, hati dan perasaan dengan melihat makhluk ciptaan Allah di langit dan bumi. Pengembaraan mukmin adalah pengembaraan menjelajah diri dan segala sesuatu yang disekelilingnya. Begitulah hidup seorang musafir yang sentiasa memburu cinta Agung. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang beraqal (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya tuhan Kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami dari api neraka”

(Surah Ali Imran: ayat 190-191)

Justeru, dalam merentasi perjuangan Islam para pejuangnya dan pendakwah perlu meneliti dirinya dari semasa ke semasa agar mereka dapat melihat di manakah mereka dalam menghayati dan mentaati nilai ajaran Islam yang menjadi intisari dakwahnya kepada masyarakat. Apabila seorang sufi meneliti rahsia kejadian-kejadian Allah swt, meneliti dalam dirinya, kehidupan sekelilingnya, Keimanannya pasti akan lebih kukuh dan rasa takutnya terhadap Allah makin tinggi.


Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Maka berjalanlah kamu di atas muka bumi dan perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul)”

(Surah An Nahl: Ayat 36)