Isnin, April 26

Tiada kalah dalam perjuangan Islam, samada menang atau syahid..

KOTA BHARU, 26 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kekalahan adalah motivasi untuk terus berjuang lebih kuat bukan berpatah semangat.

Perjuangan menegakkan kebenaran melawan kebatilan katanya tidak boleh berhenti selagi manusia itu masih diberi peluang untuk hidup.“Selagi hidup kita di muka bumi ni masih ada, perjuangan menegakkan syiar Islam mesti diteruskan, Nabi Muhammad saw berjuang selama 23 tahun dan ia harus diteruskan dalam semua aspek,” ujar beliau.Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekalahan tipis Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor semalam.

Beliau ditemui media selepas merasmikan program pertukaran Pelajar Muhammadiyah Padang Sumatera Barat dengan Yayasan Islam Kelantan di ibu negeri hari ini.Biarpun kalah dari sudut undi, namun Pakatan Rakyat jelasnya tetap menang dari aspek moral. Sokongan pelbagai kaum kepada Pakatan Rakyat jelasnya cukup membuktikan Pakatan Rakyat adalah wadah terbaik rakyat negara ini.Selain itu kekalahan itu menurutnya menjadikan ikatan antara parti dalam Pakatan Rakyat semakin kukuh berdepan Pilihan Raya Umum akan datang. “Kita mesti ingat di Malaysia ni walaupun kita kalah dalam pilihanraya kecil tetapi bila masuk pilihanraya umum kita menang,” katanya lagi.

Pilihanraya kecil P.94 Parlimen Hulu Selangor dimenangi calon BN P. Kamalanathan dengan majorit 1725 mengatasi calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim. (AK)

Jumaat, April 23

Perjuangan PAS: Tarbiyyah , Dakwah dan Siasah

Oleh Hj Nasrudin Hassan

Masih ada mereka yang tidak memahami , bagaimana PAS berjuang sehingga masih kedengaran suara yang mengatakan perjuangan PAS salah , bida'ah , sesat , tidak mengikut sunnah , bercanggah dengan syariat , hanya mementingkan politik dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS .

Terlebih dahulu saya akui bahawa PAS tidak sunyi dari kelemahan dan kesilapan sebagai sebuah organisasi yang dipimpin oleh manusia. Namun kesilapan dan kelemahan itu tidaklah membawa PAS terbabas ke 'gaung dalam' yang membunuh aqidah dan mencederakan syakhsiyyah sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam . [1]


--------------------------------------------------------------------------------

[1] Fasal 3 . Perlembagaan PAS : Dasar PAS ialah Islam . Fasal 4 . Perlembagaan PAS : Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR .


Sebaliknya kelemahan dan kesilapan yang berlaku , bukan sahaja masih boleh diperbaiki dan disempurnakan tetapi nyata PAS mempunyai cara dan kaedah yang cukup baik untuk terus memantau perjalanan organisasinya agar menepati objektif dan ghayahnya ( matlamat ) [1] .

Organisasi PAS juga mempunyai pelbagai medium untuk memastikan segala misi dan visi perjuangannya berjalan berasaskan syara' .

Kepimpinan Ulama' , Jawatan Kuasa Disiplin Parti , Muktamar Tahunan , Mesyuarat Dewan Harian , Mesyuarat Bulanan , Mesyuarat Khas , Liqa' Fikri , Tamrin , Mukhayyam , Kuliah Haraki , Usrah Mingguan , Konvensyen PAS Negeri , Ijtimak Pilihanraya , Kuliah Agama dan banyak lagi cara dan kaedah untuk PAS mengawal organisasinya berjalan melandasi syariat Ilahi dan sunnah an Nabawi .

Jika terdapat perbedaan dalam approach atau method perjuangan PAS berbanding kumpulan Islam yang lain , ini tidak bermakna PAS salah dan bercanggah dengan syariat dan sunnah. Secara umumnya , wajar saya tegaskan bahawa PAS bergerak dalam ruang orientasi yang saya pecahkan secara kasar kepada 3 ruang utama iaitu :
Tarbiyyah dan Pengkaderan ( pembinaan dan pembentukan )
Dakwah ( penerangan )
Siasah ( politik )
Tarbiyyah dan Pengkaderan . Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyyah dan pengkaderan yang menjadi nadi kepada pergerakkan PAS . Tarbiyyah digerak dan diaktifkan untuk membina :
Aqidah yang benar berasaskan manhaj Ahlis sunnah wal Jamaah
Fikrah yang syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam itu sendiri
Syakhsiyyah yang solehah berasaskan akhlak mahmudah bimbingan Rasulullah saw.
Sementara pengkaderan pula berfungsi untuk membina :
Kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa .
Organisasi yang mantap dan hebat.
Tindakan yang strategic dan berkesan .
Memastikan perkara ini berlaku dalam PAS , Lajnah Tarbiyyah dibentuk pada semua peringkat organisasi PAS , bermula dari peringkat Pusat , Negeri , Kawasan bahkan cawangan. Begitu juga di peringkat dewan – dewan seperti Dewan Ulama' ,

Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut meletakkan Lajnah Tarbiyyah antara Lajnah kanan yang diberi tumpuan utama. Aktiviti asas bagi melaksanakan cita – cita tarbiyyah banyak tertumpu kepada pembentukkan usrah dipelbagai peringkat ( kepimpinan atau ahli ) , tamrin , liqa fikri dan pelbagai program atau aktiviti semasa yang dilihat perlu dari masa ke semasa dengan berbagai wajah yang menghormati kepentingan kepelbagaian approach .

Kini PAS melalui Dewan Pemudanya pula menubuhkan Akademi Kepimpinan Pemuda yang akan berfungsi bersama pelbagai modulnya untuk mengkaderkan kepimpinan pelapis yang berwibawa menepati karisma seorang pemimpin Islam yang soleh.

Dakwah Ilallah ( Penerangan ) Berlandaskan perintah Allah yang mewajibkan setiap individu muslim menyampai dan menyebarkan Islam , dakwah telah menjadi aktiviti asas yang sangat principal sifatnya. [2] Biarpun PAS menghadapi aneka halangan dan ancaman dari pelbagai pihak termasuk polis/FRU yang sering digunakan oleh musuh – musuh Islam yang menghalang kemaraan dakwah Islam ke tengah masyarakat , dakwah untuk menginsafkan ummah agar kembali kepangkuan Islam serta berjuang mendaulatkannya tetap diteruskan . Ada dikalangan pemimpin PAS yang dibunuh , dipenjara , dibuang daerah dan dikenakan pelbagai tindakan kerana dakwah mereka .

Namun segalanya tidak menghalang PAS dari terus melaksanakan amanah besar ini sebagai sebuah Gerakan Islam yang pastinya bertanggungjawab terhadap masa depan ummah.Tugas dakwah ini digalas oleh semua , dari Presiden hinggalah ahli biasa dengan peranan masing – masing berasaskan keupayaan atau kemahiran mereka malah turut menghormati tahap keupayaan masing - masing. Maudhu' ( kandungan ) dakwah PAS sangat jelas [3] , menepati apa yang diajar oleh Allah swt.

PAS mendekati semua lapisan masyarakat . Bermula dengan masyarakat yang tertindas hinggalah pemimpin yang menindas dan ummat yang lesu hinggalah ulama' yang bisu . Pelbagai pendekatan diketengahkan dalam membawa mesej perjuangan. Dewan Pemuda PAS membawa pendekatan Pemuda sebagai Duta Kasih Sayang dan Penyelamat .

Pendekatan dakwah PAS melengkapi 2 kategori utama :

1 : Dakwah Ammah ( umum ) Kuliah Agama , Forum , SeminarCeramah Umum , Muzakarah , DebatMotivasi , DemonstrasiPenerbitan Buku , Penerbitan akhbar , Edaran VCD , Edaran Risalah ,Talk Show , Dialog dll

2 : Dakwah Fardiyyah . ( khas ) Pertemuan TertutupZiarah dan DakwahAktiviti Amal Kebajikan Dakwah PAS tidak bermusim dan tidak juga tertakluk kepada kepentingan pengaruh individu dan politik .

Biarpun sehari selepas tamatnya pilihanraya , PAS telah memulakan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat , demikian juga sehari selepas dibebaskan dari penjara pimpinan PAS terus melangsungkan dakwahnya. Sekalipun dakwah yang dibawa oleh PAS tidak popular malah menerima tentangan sengit dari pelbagai pihak seperti hukuman hudud , PAS tetap menunaikan tanggungjawab dakwahnya dengan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya Negara kita melaksanakan undang – undang dan peraturan Islam itu.

Biarlah kita kehilangan undi popular dan sokongan ramai yang membawa kita kalah dalam pilihanraya , namun dakwah untuk membawa Islam kesetiap pintu hati manusia tetap diteruskan. Siasah ( politik ) Islam adalah agama yang syumul , merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah politik. Mengasingkan politik dari perjuangan Islam ertinya mengurangkan sukatan perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh Nabi saw. [4]

PAS meletakkan politik sebahagian dari tanggungjawab perjuangan yang mesti diperjuangkan. Kini kuasa politik berada ditangan UMNO dan BN yang enggan melaksanakan syariat meskipun berbuih mulut mereka mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam . Malah UMNO dan BN telah menyuburkan bumi Malaysia ini dengan pelbagai maksiat dan mungkar yang telah dihalalkan melalui mazhab Islam Hadharinya.

PAS berkewajipan mengambil tampuk kuasa politik dari golongan yang enggan melaksanakan syariat Islam dan PAS telah berijtihad untuk menggunakan pendekatan aman dan damai tanpa peperangan dan pertumpahan darah , dalam usaha PAS mahu mengambil alih kuasa politik tersebut. Realiti ini membawa PAS mendaftarkan organisasinya di bawah Pendaftar Pertubuhan dan ianya sah untuk bergerak di sisi undang – undang Negara waktu ini. Semua orang boleh mengakui bahawa Islam tidak boleh dilaksana tanpa kuasa politik. Justeru itu , penglibatan dibidang politik ( siasah ) adalah kewajipan besar untuk kembali mengangkat Islam ini ke tempat yang selayaknya sebagai agama suci .

KESIMPULAN

Saya tidak nampak alasan yang munasabah bagi pihak yang menolak perjuangan PAS. Mereka barangkali boleh untuk tidak menyertai PAS , tetapi untuk mereka menolak dan menafikan perjuangan PAS adalah suatu yang sangat tidak adil. Kelemahan dan kesilapan boleh diperbaiki jika ada. Menolak dan menafikan perjuangan sucinya yang diasaskan sejak tahun 51 yang lalu memerlukan alasan yang konkrit dan dalil yang pasti , bukan beralaskan emosi dan sentiment perbedaan kumpulan.

Saya selalu menegaskan kepada umum , jika terdapat suatu yang dilakukan oleh PAS bercanggah dengan syariat dan sunnah , sila nyatakan ! Jika ianya berbentuk dakwaan , sila kemukan bukti ! Kita mencari kebenaran . Andai benar atau ada , PAS melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat , saya dan seluruh ahli PAS yang ikhlas terhadap perjuangan pasti akan menyanggahinya. Namun begitu , janganlah tuduhan melulu tanpa lampiran bukti , dakwaan palsu tanpa kepastian dalil dan emosi berprasangka tanpa berlaku adil.


--------------------------------------------------------------------------------

[1] Fasal 5 . Perlembagaan PAS : Tujuan PAS ialah : 1 : Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai – nilai hidup Islam dan hokum – hukumnya menuju keredhaan Allah . 2 : Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara .
[2] ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون

" dan hendaklah ada dikalangan kamu ummat yang berdakwah kearah kebaikan , menegakkan syariat dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kemenangan." Surah ali – imraan : 104
[3] Fasal 6 . Perlembagaan PAS : Usaha – usaha : 1 . Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan , tulisan dan amalan . 2 . Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai – nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran , ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan .
[4] فما لا أصل له فمهدوم و ما لا حارس له فضائع الدين أصل و السلطان جارس " Agama adalah tapak dan pemerintah ( kedaulatan ) adalah pengawal , suatu yang tiada tapak pasti runtuh dan suatu yang tiada pengawal pasti hilang ." – al Imam Ghazali dalam Ihya' Ulumiddin

Selasa, April 20

SALAM 1 AKIDAH: RINTIHANKU SEORANG HAMBA..

Salam 1 Islam para sahabat dan saudaraku, yg masih ALLAH beri nafas, yg masih ALLAH beri makan minum, yg masih ALLAH beri arahan kpd lidah utk berkata2, yg masih ALLAH beri arahan kepada urat dan saraf untuk menggerakkan setiap inci anggotamu itu, yg masih ALLAH beri peluang masa utk kita kembali kepada arahanNYA....yg masih ALLAH beri kemampuan untuk mentitiskan air mata keranaNYA....

Kembalilah kepada arahan ALLAH yg memakan masa dan tenaga junjungan Rasullullah S.A.W untuk membukukannya, kembalilah kepada al-Quranul karim dan kembalilah kpd sunnah Rasullullah, PASTi dan ini adalah ulangan janji ALLAH kpd manusia dan
pesan Rasulullah S.A.W

"PASTI MANUSIA YG BERPEGANG KPD AL-QURANUL KARIM DAN SUNNAHKU, PASTI MENEMUI KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT"

Fikirkanlah selama puluhan tahun hidup kita ini berapa juta kilometerkah sudah kita tinggalkan al-Quran dan Sunnah Rasullullah S.A.W...maha hina aku Ya ALLAH....

Semoga kita semua dipandang dengan rahmat dan kasihNYA..

Ahad, April 11

Keputusan Rasmi SPR PMRAM 2009


KEPUTUSAN RASMI Pilihanraya Badan Pengurus PMRAM 2010
Oleh SURUHANJAYA PILIHANRAYA
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir [PMRAM 2009]

1- Jumlah ahli yang layak mengundi .. .. .. .. 1445
2- Jumlah keluar mengundi .. .. .. .. .. .. 920
3- Peratus keluar mengundi .. .. .. .. .. .. .. 63.7%
3-Bilangan undi rosak .. ...8


KEDUDUKAN CALON MENGIKUT UNDIAN TERTINGGI
1- Mohd Faizzudin Ghazali 877
2- Moh Yusof A Kadir 861
3- Muhammad Al Hidayat Khalid 861
4- Syeikh Muhd Mujahid Sikh Nawawi 860
5- Mohd Solehuddin Mohd Safien 852
6- Mohd Zahid Abu Bakar 848
7- Firdaus Noh 830
8- Abdul Aziz Ali 826
9- Ahmad Huzaifah Fauzi 821
10- Aminuddin Alias 226
11- Mohd Mu'az Mohd Shukry 173
12- Mohd Hanif Haron 158

TAHNIAH DAN TAKZIAH KEPADA 9 CALON YANG MENANG ,
SELAMAT MENJALANKAN AMANAH DALAM PMRAM, BEKERJA UNTUK ISLAM.

Jumaat, April 9

SPR PMRAM: MAI PAKAT TURUN MENGUNDI...





Undilah calon pilihan anda untuk masa depan PMRAM..

"Satu Fikrah Satu Amal"

Musyidul Am PAS yang saya kenali

Oleh: Wan Nik Wan Yussof

Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS - sentiasa mengutamakan agama dalam berpolitik.”

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah 2:253, maksudnya: "Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan".

Selaku pemimpin yang mempunyai sifat ulamak, nilai kepimpinannya adalah religiously charismatic. Peribadi kehidupannya sentiasa mengutamakan ajaran agama. Penampilannya pula adalah berwatak alim, warak, sederhana dan mesra. Dalam menjalankan tugas, keputusannya mengutamakan hukum syarak dan syura. Pengarahannya adalah berpandukan maklumat yang dicari mahu pun yang diberitahu. Pada usia yang menghampiri 80 tahun, fikiran dan fizikal masih kental. Walaupun upaya fizikalnya memerlukan pengawasan perubatan.

Demikianlah rangkap huraian atas tokoh yang dikenali umum, yang terserlah sejak tahun 60-an sampai kini dihormati kekal menerajui Majlis Syura Ulamak melalui jawatan Mursyidul Am sejak dilantik selepas Tuan Guru Yusof Rawa kembali ke rahmatullah.

Pada 29 Mac lalu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah dilantik sebagai Mursyidul Am PAS. Atas pelantikan itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz kini memasuki tahun ke-20 selaku Menteri Besar Kelantan dilihat telah melonjak keyakinan jemaah menghadapi segenap cabaran perjuangan. Meskipun pelantikan tersebut atas sifat penerusan dan pemerkasaan Majlis Syura selepas Pendaftar Pertubuhan mengesahkan pindaan Perlembagaan PAS 2009 lalu, ia tetap dilihat penting untuk PAS selaku sebuah gerakan Islam yang mengutamakan kepimpinan berteraskan religiously charismatic.

Oleh sebab itu, ramai berpendapat kekuatan institusi Majlis Syura dan jawatan Mursyidul Am adalah nilai keagamaan dan kekudusan sifat kepimpinan tertinggi parti dalam membayangi segala keputusan dasar, strategi, pelaksanaan dan pemantauan seluruh organ parti PAS.
Justeru itu, segala penghormatan, pengharapan dan pengupayaan PAS ada jawapannya di sebalik siapa orangnya yang dilantik selaku Mursyidul Am. Hakikatnya jawapan itu ada pada diri Tuan Guru Nik Abdul Aziz setakat mana yang saya kenal dan sepanjang waktu berada bersamanya di dalam jemaah.Sehubungan itu, kekaguman saya secara peribadi terhadap bukti-bukti religiously charismatic beliau dapat ditampilkan dan disebut di sini. Antaranya adalah selalu memulakan ucapan dan ceramah dengan membaca ayat-ayat al-Quran, selalu berpesan kepada rakan-rakan pimpinan yang berceramah agar bersembahyang Maghrib/Isyak berjemaah di mana-mana masjid dalam perjalanan ke tempat ceramah, sentiasa mengamalkan zikir dan selawat bagi mendekati Allah, semasa berceramah mengutamakan menyebut Islam dan tidak sebut parti kecuali bila perlu sahaja, dan akan mengingatkan tempat untuk bersembahyang apabila bermusafir.

Religiously charismatic boleh difahami sebagai kehebatan mengamalkan prinsip kehidupan selaku pemimpin yang bijaksana dan kental berpegang kepada ajaran Islam. Ia tidak berlaku di kalangan pemimpin biasa atau orang awam. Hakikat sifat keulamakan yang zahir dalam diri rohani dan jasmani Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan manifestasi religiously charismatic.

Meskipun, charismatic difahami sebagai sifat pemimpin yang berupaya mencetus kuasa penarik untuk orang ramai menerima dan menghormatinya, namun apabila charismatic itu diikat dengan religiously, maka kekuatan amalan kepimpinan yang berkarisma itu sebenarnya adalah berteraskan ajaran agama yang merupakan satu anugerah Ilahi yang memantapkan kepimpinan seseorang. Nilai religiously charismatic itu boleh dipadukan dengan ketentuan Allah SWT di dalam mencipta seseorang itu menjadi pemimpin menuruti lunas-lunas agama. Sesuai dengan firman Allah (al-Baqarah 2: 253) bermaksud, “Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan”.

Justeru itu, kelebihan yang Allah kurniakan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah antara yang mungkin dikurniakan kepada para ulamak masyhur yang lain. Oleh itu, nilai karismatiknya adalah terserlah dalam perkara amalan kepimpinan yang dilihat tidak ada pada pemimpin yang sekular.Dalam konteks memulakan ucapan dan ceramah dengan membaca ayat-ayat al-Quran, nilai karismatiknya adalah kehebatan seseorang pemimpin itu menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Ia bertujuan untuk mendidik rakyat berteraskan lunas yang jelas, iaitu kalimah Allah SWT.

Hal ini saya yakin tidak mampu dilakukan oleh pemimpin yang tidak komited dengan Islam (tidak menjadikan bacaan al-Quran sebagai ibadat harian). Sabda Nabi SAW yang maksudnya, “Aku tinggalkan untuk kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selama berpegang dengannya, iaitu Kitabullah (al-Quran) dan sunah Rasulullah SAW” (Riwayat Muslim); “Barang siapa membaca satu huruf dari al-Quran, maka baginya satu pahala dan satu pahala digandakan sepuluh kali” (Riwayat at-Tirmizi).
Sembahyang berjemaah

Begitu pula, langkah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang selalu berpesan kepada rakan-rakan pimpinan agar bersembahyang Maghrib/Isyak secara berjemaah di mana-mana masjid dalam perjalanan ke tempat ceramah. Kelebihan di sebaliknya adalah mengandungi makna besar sebagai pemimpin yang berjuang di medan politik-dakwah. Ia akan menzahirkan keupayaan pemimpin boleh menjadi imam atau makmum sembahyang di mana-mana tempat bersama-sama rakyat. Sekali gus membuktikan integriti beragama yang secara peribadinya selalu menjaga sembahyang berjemaah dan menjaga serta mendirikan sembahyang sebagai paksi dan tiang beragama.

Pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini adalah selari dengan sabda Nabi SAW yang maksudnya, “Sembahyang jemaah pahalanya melebihi sembahyang sendirian dengan dua puluh darjat” (Mutafaq’alaih); “tiga orang yang diredai Allah iaitu seorang yang pada tengah malam bangun dan sembahyang, suatu kaum (jemaah) yang berbaris untuk sembahyang, dan satu kaum berbaris untuk berperang” (Riwayat Abu Ya’la).Hakikat ini akan membezakan pemimpin Islam dengan pemimpin sekular, kerana pemimpin yang sekular akan menepikan amalan sembahyang, lebih-lebih sembahyang berjemaah.

Sementara kehidupan seorang yang warak sudah pasti sentiasa mengamalkan zikir dan selawat bagi mendekati Allah. Bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz, selaku pemimpin jangan tak berzikir, kerana semasa berzikir kita akan dekat dengan Allah. Amalan zikir ini tidak diajar oleh demokrasi, kerana ia tiada dalam aturan demokrasi. Melainkan dalam Islam yang mengajar kita berzikir. Dimulakan dengan Bismillah dan sebutlah sentiasa nama-nama Allah dan diikuti dengan selawat kepada junjungan Nabi.

Seruan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini selari dengan sunah Nabi, sebagaimana sabdanya bermaksud, “tiada amal perbuatan anak Adam yang lebih menyelamatkannya dari azab Allah daripada zikrullah” (Riwayat Ahmad); “perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan yang tidak, seumpama orang hidup dan orang mati” (Riwayat Bukhari dan Muslim);
Demikian pula, semasa berceramah Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan mengutamakan menyebut Islam dan tidak sebut parti kecuali bila perlu sahaja. Pendekatan ini dikira menepati dengan uslub dakwah yang mengambil kira semua pendengar dapat menerima atas lunas keislaman bukan kepartian.

Jika banyak menyebut parti, mungkin akan ada sebahagian pendengar akan rasa tersinggung atau menolak hujah yang disebut semasa berceramah. Ia berbeza, apabila hujah agama dijadikan sandaran, maka tidak akan ada orang menolak agama. Apabila mereka memahami agama, dan agama yang difahami itu adalah Islam, maka sampai masanya parti yang memperjuangkan Islam akan dapat difahami dan diterima.

Selanjutnya, sifat pemimpin Islam adalah mengutamakan sembahyang kerana ia tugas wajib hamba kepada Tuhan Yang Maha Pencipta. Sebenarnya bukan sifat pemimpin Islam apabila berpergian (bermusafir), ibadat sembahyang dikemudiankan, sebaliknya mengutamakan makan-minum ketika berpergian.

Saya teringat, betapa Arwah Ustaz Bunyamin Yaakob membandingkan kehebatan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebaik sahaja naik kereta untuk berpergian, maka akan disebut kepadanya ‘masjid mana kita nak berhenti sembahyang’. Sebaliknya, ada seorang pemimpin besar PAS yang lain, sebaik sahaja berpergian perkara pertama yang disebut ialah ‘kita nak berhenti makan di mana’. Demikian cerita Arwah Ustaz Bunyamin.

Maka, pengajaran besar bagi setiap ahli dan pemimpin di jalan politik-dakwah ialah mengingatkan tempat untuk bersembahyang dan menunaikan sembahyang sewaktu bermusafir diyakini akan mendapat berkat Allah SWT di sepanjang perjalanan, sehinggalah kita semua akan sampai dengan selamatnya ke tempat yang dituju.

Ia sesuai dengan amanat Rasulullah SAW apabila menghantar orang-orang mukmin yang akan memulakan perjalanan, baginda bersabda, “semoga Allah membekali kamu dengan takwa, mengarahkan kamu kepada segala kebaikan, melaksanakan bagi mu segala keperluan mu, menyelamatkan agama dan dunia mu, mengembalikan kamu pulang dengan selamat dan memperoleh keuntungan” (Riwayat Ibnu Babawih).

Demikianlah perspektif yang dapat ditonjolkan atas nilai-nilai religiously charismatic kepimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar Kelantan sebagaimana usia saya mengenali, mendampingi dan mendapat bimbingannya. Serlahan kepimpinan itu selayaknya akan ramai lagi pemimpin Islam, khasnya kalangan pemimpin parti PAS yang mengikut jejak ilmu politik-dakwah dan keperibadian hidup ibadatnya.

Selayaknya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz diberi kepercayaan untuk meneruskan tugas kepimpinan Majlis Syura PAS dengan jawatan Mursyidul Am, kerana ia memenuhi ciri-ciri Kepimpinan Ulamak yang menguruskan gerakan politik-dakwah, menyambung urusan sunah Nabi - memartabatkan agama dan mengurustadbir dunia dengan agama - dalam era kecanggihan dunia yang mencabar ini.
Wan Nik Wan Yussof ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Sabtu, April 3

KEAJAIBAN: Kelebihan Daripada Air Sembahyang

Beberapa Penemuan Saintifik Melalui Berwuduk:

1.Apabila air dingin melalui tubuh yg letih ia mampu melancarkan peredaran darah membuatkan tubuh lebih segar.

2.Air dingin meningkatkan keupayaan sel darah putih dalam tubuh serta meningkatkan sistem pertahanan tubuh melawan virus.

3.Berwuduk di waktu pagi meningkatkan produktivit hormon estrogen sekaligus meningkatkan tahap kesuburan.

4.Boleh memperbaiki jaringan kulit dan buat kuku lebih sihat dan kuat.

5.Air dingin pada waktu pagi mampu menghasilkan ion2 negatif yang boleh meneutralkan darah dan membantu menyerap oksigen dengan lebih optimal sehingga wajah kelihatan lebih cerah dan berseri.

Marilah kita sama-sama menyempurnakan lagi setiap kali kita berwuduk.