Selasa, Mac 16

Islam memelihara 5 unsur penting kemuliaan insan

Islam memelihara 5 unsur penting kemuliaan insan iaitu Agama , Nyawa , Aqal , Keturunan dan Harta. Negara dan rakyatnya akan selamat jika menghayati dan melaksanakan syariat Islam dalam kehidupan mereka serta pentadbiran Negara .


a- [ Agama ] Islam tidak membenarkan perlakuan keluar masuk agama [murtad] secara bebas kerana ia menggambarkan seseorang itu bukan sahaja tidak konsisten tetapi menghina kesucian agama . Jika kerjaya dan rumahtangga boleh difahami oleh semua insan bahawa ianya memerlukan satu komitmen yang tinggi untuk berjaya maka kenapa terlalu sukar bagi sebahagian masyarakat untuk memahami bahawa agama lebih lebih lagi memerlukan komitmen kerana ia melibatkan perjanjian kita dengan Tuhan [Allah] untuk taat dan patuh .


b- [ Nyawa ] Islam meletakkan nyawa dengan satu nilai yang tinggi selepas agama yang dianugerahkan oleh Allah swt. Justeru nyawa dipertahan dengan segala hak penjagaan yang rapi . Islam melarang ummatnya membinasakan diri sendiri mahupun orang lain tanpa hak . Keselamatan menjadi isu penting yang akan dipelihara oleh Islam . Islam meletakkan rakyat dan mereka yang berlindung di bawahnya selamat dan sejahtera . Laksana islam rakyat rasa selamat dan negara aman .


c- [ Aqal ] Islam melihat aqal adalah fungsi utama memartabatkan manusia untuk hidup sebagai pengendali tamaddun dan peradaban di dunia ini . Hilang aqal dan kewarasan maka hilanglah karamah atau kemuliaan seorang insan sedang aqal inilah yang membezakan mereka dengan binatang . Apabila manusia hilang aqal dan tenggelam dalam kemabukan umpamanya akan membuatkan manusia hilang perikemanusiaan dan akhirnya mereka akan berperikebinatangan. Berlakulah jenayah yang kejam dan sadis . Laksana islam aqal terpelihara dan tamadun akan terbina.


d- [ Keturunan ] Islam mengambil nasab atau keturunan sebagai unsur yang dipelihara kerana ia juga asas kepada kemuliaan manusia . Bukankah hina jika insan itu lahir ke bumi tanpa ayah lalu digelar anak luar nikah atau anak haram . Justeru Islam melarang keras perbuatan zina dan sex bebas kerana ia perbuatan yang hina dan merosakkan keturunan . Laksana Islam selamat keturunan dan masyarakat jadi mulia .


e- [ Harta ] Islam turut memelihara harta kerana ia adalah alat bantu kehidupan . Melangsungkan kehidupan yang bahagia dan selesa memerlukan harta yang secukupnya . Perbuatan merosakkan harta peribadi atau awam seperti vandalisme adalah salah di sisi agama . Lebih – lebih lagi harta rakyat dan Negara. Laksana Islam selamat harta Negara dan selamat harta rakyat .