Selasa, Februari 9

PEJUANG ISLAM:keperluan menjadi insan faqih dan sufi

Abu Bakar melahirkan perasaan takut terhadap balasan Allah SWT dengan berkata: Aku lebih senang menjadi selembar rambut yang menempel pada tubuh hamba sahaya yang beriman. Dalam ungkapan lain, beliau dengan penuh kesedaran berkata: Demi Allah, rasanya aku ingin menjadi sebatang pohon yang dimakan serangga dan kemudian ditebang.

Umar pun sebegitu keinsafannya. Beliau dengan khusyuk melafazkan: Semoga aku menjadi rumput hijau yang dimakan haiwan. Uthman pula berkata: Seandainya aku ini berdiri di antara syurga dan neraka, sedangkan aku tidak tahu ke mana akan aku dicampakkan, maka aku lebih rela untuk menjadi debu sebelum ditentukan kedudukanku.

Hassan al-Basri adalah contoh orang yang sangat dekat dengan Allah SWT. Wajah beliau tampak seolah-olah baru sahaja pulang dari tanah perkuburan setiap masa kerana sentiasa takutkan Allah SWT. Mereka benar-benar merasakan Allah SAW sangat rapat dengan mereka, malah lebih dekat daripada urat leher mereka sendiri. Mereka mencapai tahap ihsan yang sentiasa merasakan mereka berada di bawah pemerhatian Tuhan mereka dan mereka sendiri seolah-olah dapat melihat Allah SWT.

Rabi’atul Adawiyah pula membawa konsep kecintaan kepada Allah SWT. Ada beliau bersya’ir: Aku beribadat bukan kerana syurga dan takutkan neraka, Aku tidak mahu kasih sayangku ditukar ganti”

Kebaikan itu adalah baik budi pekerti, sedangkan dosa itu apa yang bergetar dalam hati dan membuatkan kita malu apabila ia diketahui orang lain. Orang yang mencari cinta Allah SWT terbakar jiwanya sehingga jiwanya menjadi tidak menentu apabila mengingatkan dosa-dosa lampau. Mereka juga tidak tenteram dengan ibadatnya yang disangka sedikit meskipun banyak pada pandangan umum sebenarnya. Mereka merasakan diri mereka munafik dan berdosa besar apabila sedikit tersilap walhal itu bukanlah satu kesilapan buat orang yang umum.

Dikatakan, walau seseorang menyembunyikan amalan kebaikan mereka, tetap akan tampak wajah yang bersinar-sinar di wajah mereka sehingga orang mengetahui bahawa ia merupakan abid yang bertaqwa. Begitu juga sebaliknya. Allah SWT bersabda: Terpancar daripada wajah mereka sinar kesan sujud.
Makhluk akan tunduk kepada sesiapa yang tunduk kepada Allah SWT. Sabda Nabi SAW: Bersikap zuhudlah kamu terhadap dunia, kamu akan dicintai Allah. Dan bersikap zuhudlah terhadap apa yang ada di tangan manusia, kamu akan disukai manusia. Kisah karamah auliya’ kerana ketundukan mereka yang sebenarnya kepada Allah SWT, melahirkan satu impak yang sangat besar apabila seluruh alam tunduk kepada mereka. Bumi mampu dilipat-lipatkan, haiwan ganas tidak berani menyerang, boleh berjalan di atas air dan berterbangan di atas udara. Tiang menjadi emas kerana karamah Al-Syafei, air dimasukkan ke dalam motor sebagai ganti minyak, tidur di dalam kelas namun dapat menanggapi ilmu yang dipelajari dan sebanyak lagi.

Namun itu bukan perkara atau subjek utama. Sebagaimana Ibnu ‘Athaillah al-Sakandary menyebut: Jadilah kamu penuntut istiqamah, usahlah kamu menjadi penuntut karamah. Bukanlah lipat bumi sebagai satu kebanggaan, tetapi melipat-lipat nafsu dan melipat bumi terus menuju akhirat dalam sudut ma’nawi itu yang lebih penting. Bukan berterbangan di atas udara suatu penghormatan tetapi berterbangan mencari redha dan cinta Allah SWT itulah yang dkehendaki. Bukanlah menukarkan tiang kepada emas sebagai objektif tetapi menukarkan hati yang liar kepada yang mutmainnah itulah yang dikehendaki.
Semua jasad dan roh mereka ghairah dan berahi mencari cinta Allah SWT. Mereka ibarat sang perindu yang teringat-ingat sehingga membawa ke mimpi. Lisan mereka tunduk akur dengan sentiasa basah dengan zikir-zikir dan bacaan kalamullah yang tidak jemu-jemu. Jiwa mereka tidak tenteram jika ditinggalkan zikir walau seketika. Setiap sesuatu ada pencuci dan pengilapnya. Pengilap bagi hati adalah zikir kepada Allah SWT.

Bagaimana pula dengan pelajar yang berhati bersih? Pastinya mereka adalah orang yang menjaga adab-adab dan berusaha sedaya upaya untuk tidak memadamkan cahaya ketuhanan yang ada dalam diri mereka dengan melakukan maksiat. Seorang yang buta beruntung kerana tidak melihat maksiat. Seorang yang tuli untung kerana tidak mendengar yang lagho. Bagaimana pula dengan yang celik, mendengar, tetapi mata hatinya buta.

Al-Syafei mengadu kepada Waqie tentang kelemahan hafazannya. Waqie, malah inilah pesanan Malik, agar al-Syafei menjaga cahaya ketuhanan dan jangan dipadam dengan maksiat.

Keprihatinan orang yang wara’ sangat tinggi. Wara’ adalah orang menjauhi perkara halal kerana dibimbangi jatuh kepada haram. Orang wara’, berasa sangat takut untuk bersombong diri kerana mereka menyedari, mereka hanyalah dari titisan air yang hina, yang keluar dari dua saluran kencing. Mereka takut untuk berbangga kerana mereka hanyalah tanah dan segala yang ada pada mereka adalah pemberian Allah SWT yang boleh diambil pada bila-bila masa sahaja. Mereka berdoa: Ya Allah, berilah aku sepasang mata yang mudah menangis kerana khusyuknya sebelum airnya kehabisan. Mereka juga berdoa: Wahai Tuhan, sungguh, kami telah menzalimi diri kami sendiri, tetapi jika tidak Engkau mengampuni dan mengasihi kami, maka kami tentu termasuk dalam golongan orang yang rugi.
Namun awas. Belitan Iblis sangat kuat, sehingga kadang-kadang ia sukar sekali dikenali dan dirungkaikan. Abdullah bin Muljam, pembunuh Saidina Ali adalah orang yang berdahi hitam hasil sujudnya. Barsisa seorang wali tertipu akhirnya. Justeru, Malik berpesan: Barangsiapa yang belajar syariat tetapi tidak belajar hakikat, ia adalah fasiq. Orang yang belajar hakikat tanpa syariat adalah zindiq. Yang benar adalah mempelajari kedua-duanya.

Al-Syafei menyebut: Orang faqih yang tidak belajar tasawuf keras hatinya. Orang sufi yang jahil pula sesat laluannya. Malah beliau memberikan satu peringatan keras: Janganlah engkau mengira orang yang mampu terbang di atas langit dan berjalan di atas air sebagai wali Allah, kecuali setelah engkau teliti ibadahnya sama ada bertepatan dengan agama atau tidak.

Para sahabat sangat-sangat membenci perbuatan dosa. Jabir bin Abdullah menyebut bau busuk akan keluar dari mulut orang yang mengumpat pada zaman Rasulullah SAW tetapi tidak pada zaman selepas itu. Anas yang mengatakan dosa yang dianggap senipis rambut pada zaman setelah kewafatan Rasulullah SAW adalah ibarat dosa yang membahayakan pada zaman Rasul SAW. Mereka sangat serius terhadap setiap kesalahan kecil yang dilakukan mereka dan mudah bertaubat.

Hati yang bersih adalah ibarat sabun yang menanggalkan daki, atau syampu yang membuang kelemumur. Jiwa yang suci adalah ibarat mata air yang terpancar daripada tempatnya lalu memberikan ketenangan. Orang yang baik bukan sekadar memberi kebaikan buat diri mereka sahaja malah buat alam seluruhnya.

Burung-burung yang berkicauan adalah bertasbih kepada Allah SWT namun kita tidak memahaminya. Begitu juga dengan itik-itik, bukit-bukau, dan seluruh makhluk yang lain. Seorang karamah bertanyakan burung kenapa ia ditangkap. Lantas dijawabnya ia sedikit terlalai tadi daripada berzikir menyebabkan ia ditangkap. Jika burung ditangkap kerana terlalai daripada mengingati Sang Pencipta, maka ketahuilah bahawa hati kita acap kali tertangkap dengan permainan syaitan yang asyik mempermainkan kita sebagaimana seorang budak memutar-mutar bola kepunyaannya.

Oleh itu, kita mengambil satu pengajarn dan iktibar yang penting, bahawa kita sebenarnya tidak bersedia untuk berhadapan dengan Allah SWT tetapi kita sentiasa merasakan diri kita sebagai penghuni syurga. Berkata Umar: Jika pada hari akhirat kelak, malaikat menyuruh semua memasuki syurga kecuali seorang, maka aku menyangka, bahawa orang itu adalah aku.
___