Ahad, Mac 28

ISU SEMASA: UMNO DAN PAS BERSATU?????

Oleh: Zolkharnain Abidin

Perkasa mengusulkan supaya PAS dan Umno berbincang untuk menjaga kepentingan Melayu.

Maksudnya, bagi Perkasa selama negara ini diperintah Umno (BN), Melayu tidak terbela. Umno memerlukan PAS bersamanya, barulah Melayu terbela mengikut perlembagaan.

Sekali pandang cadangan ini macam bagus. Tapi kalau pandang kali kedua, cadangan ini nampak kurang cerdik. Pencadangnya tidak berminda strategik, minda 70 an.

Bagaimana nak bela Melayu? Dengan cium keris atau dengan jadi MP bebas?

Melayu boleh terbela bukan dengan bekerjasama dengan Umno tetapi dengan menumbangkan Umno. Kalau mahu Melayu terbela, PAS tidak perlu berbincang dengan Umno tetapi dengan memperkukuhkan Pakatan Rakat.

Apa yang Umno ada untuk membela Melayu? Umno nak bela Melayu dengan cium keris, beli kapal selam tak boleh selam atau terbang dengan jet tanpa enjin? Dengan gaya hidup penjajah, dengan gelumangan rasuah atau dengan politik ‘boleh apa sahaja’?

Melayu terbela dengan keadilan, kebertanggungjawaban dan ketelusan. Meletak harapan kepada Najib dengan Rosmah untuk membela Melayu sama seperti meletak harapan kepada memerang untuk mengawal kolam ikan keli.

Orang Melayu ada al-Quran, tetapi itu diketepikan. Selama Umno berkuasa, pernahkah Umno melayan al-Quran melebihi layanannya sekadar memusabaqahkan kitab suci itu?

Umno bising apabila ada pemimpin PR yang baca al-Quran dalam ceramah, tetapi pernahkah Umno bising terhadap remaja yang tidak pernah baca al-Quran dimana-mana?

Daripada berkering tekak berkeriyau berteriak soal membela Melayu, lebih baik berhabis-habisan berfikir membela Islam. Bukan Islam acuan Umno tetapi Islam wahyuan Ilahi.

Mengapa perlu berpusing kepala berbimbang negara ini jatuh ke tangan Cina atau India? Apa masalahnya dengan Cina dan India? Adakah Melayu lebih mulia daripada Cina dan India? Kalau Cina dan India mampu mengembangkan Islam di negara ini, mengapa orang Melayu perlu bersusah hati?

Kalau Cina dan India lebih berpegang dengan Islam, biarkan mereka memerintah negara ini berbanding negara ini diperintah oleh Melayu jika Islamnya entah kemana.

Kalau di zaman Abdullah ada juga bunyi Islamnya walau pun Islam Hadhari, namun zaman Najib, bunyi Islamnya pun sudah lenyap.

Betulkah jika negara ini jatuh ke tangan India dan Cina, orang Melayu merempat? Malaysia akan jadi macam Singapura? Umno jangan lupa bahawa Singapura jadi begitu angkara Umno, angkara Melayu Umno. Umno lupa?

Aaahhhh… daripada berbincang dengan Umno lebih baik berkawan dengan DAP. Seburuk-buruk Lim Guan Eng, sehingga kini dia belum terbukti rasuah. Sebaik-baik pemimpin Umno, hah… rasuah sampai sesak hidung rakyat untuk bernafas.