Sabtu, September 10

Konvensyen bukti PAS sedia hadapi PRU-13


| Print |

GOMBAK, 10 Sept: PAS tidak gentar untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan berlaku pada bila-bila masa meskipun sedar Umno BN sedang rancak melakukan penipuan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Umno BN tidak akan dapat menutup penipuan mereka dalam sistem pilihan raya khususnya isu daftar pemilih dalam keadaan dunia yang serba canggih ini.

"PAS anjur konvensyen negara berkebajikan yang merupakan tema muktamar untuk dipanjangkan bagi menghadapi pilihan raya umum.

"Ini menunjukkan PAS bersungguh-sungguh untuk menghadapi pilihan raya umum walaupun kita dibayangi maklumat yang mendukacitakan di mana perancangan untuk penipuan yang lebih besar dilakukan dalam pilihan raya umum.

"Zaman ini zaman internet dan kita dapat kesan penipuan ini dan mereka (Umno BN) nak tutup cepat-cepat jadi tapi jangan nak tipu kita dah dapat maklumat," kata beliau pada sidang media di sini.

Terdahulu beliau merasmikan Konvensyen Negara Berkebajikan di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, dekat sini hari ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Marang berkata, Umno BN sengaja membangkitkan isu-isu yang dapat menimbulkan kemarahan rakyat sekaligus membuatkan mereka lupa kepada usaha membersihkan sistem demokrasi di negara ini.

"Mereka (Umno BN) nak tutup isu penipuan pilihan raya dengan isu-isu yang sengaja dibangkitkan untuk menggelegakkan perasaan rakyat supaya lupa isu sebenar iaitu untuk menghidupkan dan memulihkan proses demokrasi," kata beliau lagi.

Beliau turut mengingatkan Umno BN agar tidak terus memperbodoh rakyat dengan menutup segala maklumat yang benar sebaliknya menunjukkan kesungguhan mereka untuk menghidupkan amalan demokrasi bersih.

"PAS menasihatkan kerajaan jangan menggunakan gula-gula sementara kepada rakyat untuk menghentikan tangisan. Bila habis gula-gula, dia tipu lagi,lepas itu sambung lagi, tak selesai masalah.

"Oleh itu kerajaan mesti sungguh-sungguh menyelamatkan negara dengan menghidupkan demokrasi sebenar dan PAS sungguh-sungguh nak masuk pilihan raya," tegasnya.

Justeru katanya, konvensyen hari ini bagi menggerakkan jentera parti khususnya penerangan parti untuk menyalurkan maklumat mengenai negara berkebajikan kepada rakyat.

"PAS gerakkan jentera parti di seluruh negara pada hari ini supaya membawa mesej konsep negara berkebajikan yang kita nak kenalkan kepada rakyat yang diselaraskan bersama Pakatan Rakyat.

"PAS sudah perkenalkan dalam manifesto pilihan raya ke arah negara berkebajikan dan kita memaklumatkan kepada jentera parti melalui konvensyen supaya jentera parti dapat memahami hasrat negara kebajikan supaya dapat disampaikan kepada rakyat," katanya.

Konvensyen anjuran Lajnah Penerangan PAS ini melibatkan seluruh jentera penerangan dari setiap negeri.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Adram Musa.