Rabu, Oktober 13

Kalam mutiara IJTIMA' TARBAWI PAS


Tiga elemen dalam PAS iaitu gerakan siasah, gerakan tarbiah dan gerakan dakwah. Gerakan siasah iaitu penglibatan PAS dalam politik Malaysia, yang bertujuan melaksanakan siasah syar’iah walaupun sistem demokrasi di Malaysia tidak bersih. PAS menggunakan wasilah parti untuk mendaulatkan Islam di Malaysia. Harakah dakwah pula iaitu PAS didasari Amar Makruf Nahi Munkar setiap gerak-gerinya sebagai penyambung kerja dakwah para Rasul. Golongan yang melaksanakan Amar Makruf Nahi Munkar adalah golongan yang disebut di dalam al-quran sebagai Khairul Ummah. Topik yang ingin Tempe Mesir perincikan di sini adalah gerakan tarbiah. Adakah PAS mempunyai tarbiah? Adakah PAS hanya parti politik semata-mata?

1 hingga 3 oktober telah berlangsungnya Ijtima’ Tarbawi anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat. Antara pengisiannya adalah Tafsir Al-hujurat dari Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Forum Tarbawi, kuliah maghrib oleh Tuan Guru Haron Taib, pembentangan dari para murabbi PAS dan lain-lain. Antara status profil facebook Ustaz Nasharuddin Tantawi “Budayakan Amal Tarbawi dalam diri dan organisasi kita”. Ustaz Nasharuddin antara pimpinan PAS yang berusaha memupuk budaya tarbiah dalam PAS. Amal tarbawi sangat penting di dalam PAS sebagai satu kekuatan terhadap diri ahli jemaah dan jemaah itu sendiri bagi menghadapi segala cabaran. Ini sebagaimana dipetik di dalam kitab ‘Qawaribun Najah Fi Hayatid Du’at ‘ mengenai cabaran-cabaran bagi para pendakwah. UMNO adalah cabaran yang sangat kecil. Mendaulatkan Islam pada diri masing-masing adalah cabaran yang sangat hebat. Adakah ahli PAS istiqamah mengerjakan solat fardhu secara berjamaah? Adakah ahli PAS setiap hari mengamalkan bacaan ‘Mathurat Kubra atau Sughra’ sebagai pendiding & kekuatan diri?.

Membudayakan tarbiah dalam PAS adalah gerakan yang memerlukan istiqamah. Para Muhajirin dan Ansar ditarbiah oleh Rasulullah s.a.w. seperti kewujudan ithar di antara mereka hasil tindakan Rasulullah s.a.w. mempersaudara mereka sehingga membolehkan Daulah Islamiah bertapak di Madinah.Tarbiah sangat penting sebelum, ketika dan selepas mendapat Daulah Islamiah. PAS adalah gerakan Islam yang bersumberkan ‘Siratun Nabawiah’ mesti istiqamah dalam tarbiah. Ahli PAS mesti berkomitmen tinggi dalam usrah-usrah PAS agar Rukun 10 menjadi wirid yang perlu dihafaz dan diamalkan. Keterlibatan dalam program-program tamrin PAS juga perlu agar terbentuk nilai penglibatan diri ke dalam PAS sebagai penglibatan yang bersifat Akidah Islamiah (Intima’ ‘Aqidi. Inilah antara matlamat tarbiah PAS. Siapa kata PAS tiada tarbiah? Inilah buktinya, dan banyak lagi.

Ijtima’ Tarbawi memberi signal merah terhadap golongan yang mengatakan PAS tiada tarbiah juga bagi golongan yang mendapat tarbiah dari jemaah yang selain PAS. Menyertai PAS kerana Politik Islam sahaja, bukan kerana tarbiah PAS. Golongan yang menyertai PAS tetapi memilih tarbiah selain daripada PAS dengan memilih tarbiah ABIM, JIM, ISMA, IKRAM, HizbuTahrir, dan Tabligh. Mereka ini sebenarnya melambatkan lagi kemenangan Islam di Malaysia. Tidak keterlaluan jika Tempe Mesir menganggap mereka ini adalah golongan parasit dalam PAS. Bahkan golongan ini tidak mengiktiraf kesyumulan system yang wujud dalam PAS. Jika mereka benar-benar menggerakkan tarbiah dalam PAS nescaya mereka hanya akan memberi intima’ dengan PAS, berwala’ dengan PAS, tidak membenarkan berbilang-bilang Jamaah yang bertentangan.

Mana mungkin keberadaan jemaah-jemaah tersebut akan menjadikan ahli-ahlinya berintima’ dan wala’ sepenuhnya terhadap PAS. Jika mereka berintima’ dengan PAS pun, intima’ mereka hanyalah bersifat maslahi iaitu berkepentingan tertentu. Samada ia melibatkan kepentingan diri mahupun kepentingan terhadap jemaah selain daripada PAS. Oleh kerana jemaah mereka hanya dianggap sebagai medium tarbiyah semata tidak dianggap sebagai parti politik, maka mereka memilih PAS sebagai medium untuk mereka berpolitik. Sebab itulah sebahagian pimpinan PAS dilihat mengalami masalah sikap wala’, kepercayaan (thiqah), dengar dan taat terhadap pemimpin mereka. Ingatlah peristiwa peperangan Uhud bagaimana beberapa tentera panah melanggar perintah Rasulullah s.a.w. Jangan kita mengulangi sejarah tersebut.

Intima’ aqidi, wala’, tadhiyyah, dengar dan taat, thiqqah, ukhwah terhasil dari tarbiah. Mereka yang berintima’ dengan PAS, berwala’kan dengan PAS, hanya memilih tarbiah tulin daripada PAS sahaja. Jika kita memilih tarbiah selain daripada apa yang telah disedia dan ditetapkan oleh PAS bermakna kita tidak thiqqah dengan PAS, maka kita meninggalkan rukun terakhir dalam Rukun Bai’ah. Bila meninggalkan salah satu dari rukun tersebut bermakna kita meringan-ringankan Amal Tarbawi dan akhirnya akan hanyutlah tarbiah dalam sesebuah jemaah. Kalau lagu tidak boleh dipisahkan dengan lirik dan melodi, apatah lagi Jemaah Islamiah tidak boleh dipisahkan dengan tarbiah. Ayuh perkasakanlah thiqqah kita terhadap PAS. Jika kita mengakui kewujudan tarbiah PAS, beramal tarbawilah kita dengan tarbiah PAS. PAS For All.