Selasa, Disember 9

ZULHIJJAH, LAKARAN SIRAH DAN KITA HARI INI

Peristiwa yang telah berlaku selalunya kita namakan sebagai sejarah. Sekalipun perkara yang berlalu sesaat yang lepas, ia tetap akan dikenang sebagai sejarah. HAMKA pernah ditanya oleh anaknya mengenai sejarah kejatuhan empayar Melaka. “Apakah ayah percaya pada teori sejarah aan mengulangi dirinya”. HAMKA menjawab: “Tidak anakku, sejarah tidaklah akan mengulangi dirinya, tetapi perangai dan perilaku manusia disetiap zaman dan masa akan menentukannya” .

Mudahnya, siapnya artikel ini menunjukkan bahawa saya telah melakar satu lagi sejarah, iaitu menulis sesuatu untuk tatapan pembaca sebagaimana yang anda semua pegang, lihat, baca dan saya positif beranggapan yang anda semua akan berfikir tentang bicara saya selanjutnya.

Saya diminta seseorang untuk berkongsi pandangan, bercerita atau apa jua frasa yang merujuk kepada hubungan antara saya dan tulisan yang terlakar dengan mata dan minda fikir anda sebagai pembaca berkenaan dengan bulan Zulhijjah. Lama saya eram artikel ini dalam minda dan semangat menulis saya yang kian lama tampak pudar. Barangkali untuk bulan ini, artikel ini adalah yang pertama. Pertama juga bagi saya atas nama penulisan sirah. Sudah lama saya menantikan saat ini dan akhirnya peluang masa dan kehendak datang setelah setahun saya menanti. Harapnya gaya tulis saya tidak akan menyesakkan mata dan benak pembaca. Ia cara yang saya pilih dan bagaikan sudah sebati dengan lenggok tari jemari dan bunga pencak gelangang atur bahasa saya.

Zulhijjah, Suatu Lakaran Sirah

Bila sahaja kita menyebut bulan Zulhijjah, pasti akan tertangkap di minda kita akan suatu hari yang pasti menjadi idaman semua umat Islam. Saya juga tidak terkecuali dari bermimpi untuk dipilih dan dijemput tuhan mengerjakan rukun Islam ke 5 bagi yang cukup syarat-syaratnya. Semestinya ia adalah mengerjakan haji di Baitillahil Haram bagi mereka yang mampu. Mampu dari sudut fizikal, mental, material dan yang pasti ia adalah pilihan Allah SWT.

Bulan Zulhijjah juga akan mengingatkan kita dengan pesta keraian Hari Raya Korban. Hari Raya Aidul Adha (korban) dinamakan juga hari "Nahar" (menyembelih) . Diriwayatkan bahawa barang siapa berkorban pada hari itu dengan seekor korban, maka setiap titisan darah yang mengalir dari leher haiwan itu akan diampuni Allah akan dosanya serta dosa ahli keluarganya. Barang siapa yang bersedekah dengan memberi makanan kepada fakir miskin atau satu sedekah pada hari itu, maka ia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kemudian dalam keadaan aman dan sentosa serta timbangan amal baiknya lebih berat daripada Bukit Uhud yang terdapat di Madinah.

Dua peristiwa penting ini sebenarnya sudah memadai untuk dicerap masuk ke dalam minda fikir kita, juga sebagai stimulasi jiwa dan semangat untuk menghadapi imtihan.

Hajar, Srikandi, Isteri Dan Ibu

Peristiwa pertama yang ingin saya rakamkan dalam kalam saya ini adalah kisah yang terjadi kepada nabi Ismail alaihisalam dan ibunya Hajar. Lakaran kisah ini jugalah yang pernah disebutkan oleh nabi salallahu alaihi wasallam apabila ditanya tentang sa’iy (berlari-lari anak) dari safa ke marwah sebagaimana hadis yang driwayatkan oleh ibnu Abbas mafhumnya:

“Demikianlah (merujuk kepada kisah Hajar berlari sebanyak 7 kali antara safa dan marwah semata-mata mencari air untuk anaknya yang kehausan) berlari-lari anak (sa’iy) yang dilakukan oleh umat Islam sebagai salah satu rukun haji antara Safa dan Marwah)”

Sejarah tidak mampu memadamkan bagaimana kentalnya hati, yakin dan iman yang tidak berbelah bagi seorang wanita, isteri dan juga ibu. Sejarah juga telah menyaksikan bagaimana percaturan yang telah ditetapkan oleh Allah terhadap Ibrahim, Ismail dan Hajar alaihimussalam. Sebagaimana yang dinyatakan dalam riwayat al-Bukhari daripada Ibnu Abbas maksud (sahih al-bukhari) dan mafhumnya (penjelasan Ibnu kathir dalam fathul bari), saya petik klausa yang menampakkan kehebatan wanita ini:

“…Maka hajar dan anaknya Ismail mengikut Ibrahim alaihimussalam sambil bertanya secara berulang kali: Wahai suamiku Ibrahim, ke mana mahu kamu bawa kami? Apakah kamu mahu tinggalkan kami berdua di tempat yang tidak berpenghuni dan sahara kontang ini? Hajar merayu kepada Ibrahim berulang kali, namun langsung tidak dijawab oleh Ibrahim alaihissalam. Tanpa putus asa Hajar bertanya lagi: Apakah Allah yang memerintahkan kamu dengan hal begini? Ibrahim menjawab sepatah: Ya (na’am). Setelah mendengar jawapan suaminya itu, Hajar alaihassalam dengan penuh yakin berkata: “Jika begitu, nescaya Allah tidak akan mensia-siakan kita”…”

Itu kisah wanita bernama Hajar. Allah angkat ketokohan wanita yang patuh pada suami dan taatkan perintah Allah ini dengan memonumenkan perjalanan dan kesungguhan berlari-lari anak di antara safa dan Marwah sebagai rukun haji. Hebat mana pun kita, gagah perkasa atau apa jua pangkat yang kita sandang, mahu tidak mahu dalam menyelesaikan ibadat haji kita pasti akan melakukan apa yang pernah dilakukan oleh srikandi, isteri dan ibu yang kental imannya dengan Allah yang bernama Hajar.

Justeru nilai tarbiah yang cukup besar sebenarnya terangkum dalam kisah ini. Jawapan mantap Hajar apabila diiyakan Ibrahim bahawa semuanya adalah perintah Allah dengan ucapan yakin dan redha dengan ketentuan Allah “jika ini perintah Allah nescaya Dia tidak akan mensia-siakan kita” sepatutnya disimpan kemas dalam jiwa kita hari ini. Inilah bukti keyakinan dan keimanan yang tidak berbelah bagi dalam apa jua keadaan selagi kita berada di landasan taatkan perintah Allah dan takwa kepadaNya. Natijahnya Allah muliakan mereka dengan menjadikan Mekah bumi perhimpunan umat Islam sedunia. Hajar dan anaknya Ismail juga adalah pilihan Allah untuk dimuliakan aliran nasab bangsa Arab hingga sampai kepada Nabiyyuna Muhammad sallallahu alaihi wasalla. Kita hari ini bagaimana? Tepuk dada, tafakur seketika, ingatkan kembali apa yang telah kita lakukan selama ini dan waspada untuk masa-masa akan datang.

Ibrahim, Ismail Alaihimassalam Dan Kisah Penyembelihan

Firman Allah Subhanuhu Wata’ala yang bermaksud:

“Maka setelah Anak itu (Ismail) telah mampu berdikari (sa’ya), berkatalah Ibrahim alaihissalam kepada anaknya Ismail:’Hai anakku, sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu, maka apakah pandanganmu?’ Jawab Ismail alaihissalam: ‘wahai bapaku, lakukanlah apa yang diperintahkan itu, nescaya kamu akan mendapati aku tergolong dalam golongan orang-orang yang sabar’ (Al-soffat: ayat 101)

Saya percaya semua telah mengetahui apa kesudahan cerita ini sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah yang sama sambungan ayat 102 hingga 108. Begitu sekali kental iman dan padu yakin Ismail dan Ibrahim berdepan dengan ujian Allah. Kehebatan Ibrahim alaihissalam mahu mengorbankan anak kesayangan yang baru sahaja ditemui setelah ditinggalkan bersama ibunya Hajar di sahara kontang yang akhirnya diberkati Allah dengan Kaabah dan air zamzam. Pengorbanan yang bukan sedikit tapi dengan tangannya sendiri mahu disembelih Ismail lantaran wahyu yang disampaikan Allah melalui mimpi.

Cuba kita bertanya pada diri, apakah sanggup kita lakukan semua itu terhadap anak darah daging sendiri? Tepuk dada tanya iman. Jika tidak kerana perintah dan ketetapan Allah nescaya Ibrahim juga akan teragak-agak melakukan penyembelihan tersebut. Namun segalanya adalah bukti keimanan dan keyakinan pada Allah yang tidak berbelah bagi. Ismail tetap mahu disembelih dengan tanganya sendiri yang kemudiannya Allah tebus Ismail dengan sembelihan besar seekor kibasy. Yang pasti Ibrahim telah menunujkkkan bukti dan teladan buat umat hingga akhir zaman bahawa segala yang ada di dunia ini sanggup dikorbankan semata-mata kerana perintah, taatkan Allah. Dan yakin dengan janji Allah. Justeru kita hari ini pula bagaimana? Masih merasa kabur akan hakikat sebuah kehidupan dan kepastian sebuah kematian atau bagaimana? Fikir-fikirkan, saya juga sama, tidak terkecuali.

Ismail alihissalam juga punya kekentalan iman dan keutuhan keyakinan sama seperti ayahnya. Jawapan yang diberikan kepada ayahnya ketika diajukan perintah Allah untuk menyembelihnya adalah jawapan yang mengandungi kefahaman matlamat hidup yang jelas, manifestasi ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada seorang ayah dan yang paling penting demi Allah, tuhan kepada umat manusia.

Itu cerita anak muda belia yang bernama Ismail alaihissalam. Barangkali ada yang tidak suka bila saya bandingkan kisah ini dengan reaiti anak muda hari ini. Itu terpulang, tapi yang paling mustahak adalah menjadikan kisah tersebut sebagai teladan yang sepatutnya kita sematkan dalam nubari dan panduan dalam melayari hidup dilautan fana ini. Namun apa sekalipun, perlu kita ingat bahawa Allah SWT mengkhabarkan kisah ini dalam kalam suci Al-Quran supaya menjadi panduan dan iktibar kita umat Muhammad SAW hari ini.

Kita Hari Ini, Bagaimana?

Tiga model agung yang saya bawakan dalam lakaran sirah kali ini adalah manifestasi tiga entity besar yang menempati 1/3 daratan dunia hari ini. Ia merangkumi entity anak muda dan juga anak iaitu nabiullah Ismail alaihissalam. Ibrahim Khalilullah pula adalah watak utama seorang ayah, suami dan juga pemimpin. Watak yang dibintangi oleh Hajar alaihassalam pula menaikkan taraf dan penghormatan buat srikandi, isteri dan ibu. Ia seolah-olah melengkapi semua status yang ada di dunia hari ini.

Justeru, harapan saya agar perkongsian kisah ini dapat mengingatkan kita kembali kepada kembara takwa seorang hamba untuk kembali kepada Tuhan dengan harapan akan beroleh syurga. Namun kisah ini jugalah harapnya yang akan menjadi sempadan waspada dan takut-takut kita kalau-kalau terpesong ke lembah neraka. Wal iyazubillah.

Pesan saya, sama-sama kita aturkan jadual masa dan perancangan untuk memiliki syurga dan pada masa yang sama tidak langsung kita lupa untuk menjejak sirah para anbia’, mursalin, sahabat, tabai’en, tabi’ tabi’en, syuhada’, ulama’ solihin hingga ke tiupan qiamat yang terakhir.

Pesan saya lagi jangan terperangkap dengan corak fikir sendiri kerana’ falasi menafikan bukti’ adalah kesilapan yang nyata besar dalam pola fikir kita hari ini. Sebagai contoh saya bawakan kes falasi menafikan bukti yang menentang pendapat kita “katakan kita tidak suka motosikal, kita mungkin mengemukan hujah begini: Motosikal membahayakan nyawa penunggang. Ia bising dan menjadi punca utama pencemaran bunyi. Lagipula ia hanya dapat mengangkut 2 orang sahaja. Kesimpulan-kesimpul an yang negative inilah yang sama sekali menafikan ciri-ciri positif yng ada pada motosikal.

Justeru, jangan sekali-kali melakukan falasi minda dengan hanya memandang sesuatu dari sudut negative yang tidak sebulu atau menentang nafsu sendiri tapi pandanglah sesuatu perkara atau teladan sirah melalui pandangan hati yang optimis dan positif. Faham-fahamkanlah kiranya ya.

Fahami erti kehidupan dan kepastian sebuah kematian. Sekian.

salam iedul adha 1429

Salam ikhlas penuh ukhuwwah.saya mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1429H..maaf zahir dan batin.Semoga kita terus meningkatkan pengorbanan kita dalam mendaulatkan Islam di muka bumi ini..

Peristiwa korban yang berlaku diantara Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail seharusnya dihayati oleh kita semua bagi meningkatkan pengorbanan kita dalam menegakan dan membela agama Islam yang tercinta ini.Takbir AllahuAkbar.


Salam pengorbanan...