Jumaat, Januari 8

Penggunaan Kalimah Allah

Assalamualaikum, disini saya ingin sertakan kenyataan TG Haji Abdul Hadi Awang mengenai penggunaan Kalimah Allah oleh non-muslim..

Kenyataan beliau: -

PENGGUNAAN PERKATAAN ALLAH

Penggunaan nama Allah oleh penganut agama bukan Islam menjadi polimik hangat dalam negara , menjadi lebih panas setelah Mahkamah membuat keputusan keizinan kepada pehak gereja kathulik memakai perkataan Allah dalam penyebaran mereka kepada masyarakat umum , khususnya masyarakat yang hidup didalamnya Umat Islam , kerena menyentuh perasaan mereka , kerana Perkataan ALLAH sangat mulia disisi umat Islam .

Apa yang menghairankan sebelum ini pengamal ajaran keristian itu menyebut tuhan dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa danbahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan Allah dari kitab suci mereka (Al Quran) yang tidak diterjemahkan lagi kedalam bahasa masing-masing , kerana perkataan ALLAH tidak mampu diterjemahkan kedalam bahasa lain , dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al Quran.

Adakah ia boleh dibenarkan begitu sahaja diatas kosep kebebasan beragama ? , sedangkan kebebasan secara saksama mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah yang mencetuskan perkara yang merosakan hubungan sesama manusia .

Perkara ini perlu dijawab secara ilmu , kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka. Perlu di fahami adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain mengikut makna perkataan Allah yang tepat dengan maksudnya dari segi bahasa Arab yang terus di-gunakan oleh umat Islam yang terdiri daripada bebagai bangsa dan bahasa dengan tetap berpegang kepada makna dan maksud perkataan Allah atau mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya sehingga menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini .

Perkataan Allah di-sebut oleh orang arab atau pengguna bahasa arab yang menganut berbagai agama , sama ada penganut yahudi , keristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala . Al Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agma itu menyebut dan menulis perkataan Allah .

Firman Allah:

61. Dan sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah".

Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?.(Al-Ankabut:61)

Firman Allah:

63. Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).(Al-Ankabut:63)

Firman Allah:

25. Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).(Luqman:25)

Firman Allah:

38. Dan demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".(Az-Zumar:38)

Firman Allah:

9. Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:" siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui".

(Az-Zukhruf:9)

Firman Allah:

87. Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka Bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?(Az-Zukhruf:87)

Ayat-ayat tersebut di-atas mendedahkan bahawa orang-orang yang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan Yang Bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (Adanya Tuhan Pencipta Alam) hanya sekadar itu , namun kepercayaan mereka tidak menepati hakikat dari makana perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat makjizat Al Quran , apabila mereka memaksa diri menggunakan perkataan Allah , pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti GOD , LORD dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka tidak tepat dengan maksudnya . Kita tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah mengikut ajaran dan bahasa kita , walaupun mereka percaya kepada Tuhan yang Maha Berkuasa , tatapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara . Kalangan penganut kristian dengan kepercayaan Trinity (Tiga Tuhannya) dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang maha Esa dan Maha Suci itu . Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masingmasing. Mengikut ajaran Islam perkataan Allah ia-lah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang maha Esa ( Al Asma Al Husna) .

Imam Al Baihaqi menulis dalam kitabnya ( Al Asma Wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ia-lah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu baginya (sama ada dinamakan bapa , anak dan apa sahaja) . Allah mengikut bahasa arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan , Yang Maha Esa , tidak ada lagi tuhan yang lain daripadanya . Perkataan ALLAH itu daripada perkataan ALILAH dengan menambah AL kepada perkataan asal ILAHyang bermakna Tuhan secara umum .Apabila di letakkan Alif dan lam (AL) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian di mudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf maka , di sebut ALLAH. Penambahan Al dalam bahasa arab bertujuan makrifah (yang di kenali ) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, ia-itu berbilang tuhan” .

Al Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar , begitu juga hadith-hadith Rasulullah S.A.W. tanpa melarang mereka menyebut ,tetapi memberi penjelasan secara ilmu , bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat .

Apabila Rasulullah S.A.W. menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab di –sebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah :

64. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami Dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Islam".(Ali-Imran:64)

Perutusan Rasulullah S.A.W. mendedahkah bagaimana gulungan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut Perkataan Allah , seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran Tauhid , (mengesakan Allah) tanpa syirik , sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan – tuhan yang lain daripada Allah , atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (padri-padri) dan pemimpin-pemimpin (Arbab) yang mencipta undang –undang dan hukum yang menentang hukum Allah saperti menghalal apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada Rasul mereka sendiri atau mengharamkan apa yang di- halalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah dikalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka , walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita . Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan aqidah mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan ALLAH sekadar mengubah janama melariskan barangan dalam masyarakat Islam , tidak boleh dizinkan sekali-kali, kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci Kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang di amal oleh umat Islam, seterusnya di-kira menodai kesucian dan kemurnian Kalimah ALLAH dihadapan umat Islam .

Imam ‘Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah , dengan apa nama sekalipun :


كلمة حق أريد بها باطل

(Kalimahnya benar , tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah ALLAH adalah paling benar , tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan ditengah masyarakat umat Islam sangat menyentuh sensetiviti Umat Islam, sehingga menggerakkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO) fahaman politik dan individu, bersatu mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah ALLAH boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk.

Al- Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah .

Firman Allah:

(108. Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.) Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebabasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.(Al-An’am:108)

Presiden PAS.

Tiada ulasan: