|  KUALA LUMPUR, 25 Jan:  Kemenangan umat Islam dalam perjuangan bukanlah bermula dengan  pilihanraya, tetapi semangat dan keikhlasan dalam perjuangan itu sendiri  yang menjadi titik mulanya. 
 Sekiranya individu pejuang-pejuang  itu sendiri mempunyai semangat yang tinggi dan keikhlasan kepada Allah  di dalam perjuangannya, barulah datang pertolongan Allah dari segenap  penjuru sehingga mereka memperolehi kemenangan yang diharapkan.
 
 Presiden  PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan  sememangnya sesuatu yang payah kerana ia sudah merupakan syarat yang  diberikan oleh Allah kepada umat Islam di dalam perjuangannya untuk  menegakkan Islam sebagai ad-deen di muka bumi ini.
 
 Menurut  beliau, jika para pejuang Islam sendiri mempunyai asas-asas itu di dalam  diri masing-masing, kemenangan pasti akan diperolehi juga akhirnya.
 
 "Kemenangan  yang diperolehi oleh umat Islam dalam perjuangan itu adalah pertolongan  Allah. Jadi untuk mendapat kemenangan, kita mestilah penuhi  syarat-syarat yang telah diberikan oleh Allah kepada kita," katanya  selepas menyambut rombongan wakil Kerajaan Hamas di Pejabat Agung PAS,  Jalan Raja Laut, di sini, semalam.
 
 Beliau turut memberikan  contoh betapa sukarnya para pejuang Islam untuk mencapai kemenangan di  Gaza yang terpaksa berhadapan dengan serangan pelbagai penjuru  musuh-musuh Islam, tetapi dengan semangat dan keikhlasan kepada Allah,  Hamas tetap juga berjaya mencapai kemenangan dan berjaya menubuhkan  kerajaannya dalam pilihanraya tahun 2006 lalu.
 
 Dalam konteks di  tanah air, beliau turut menyebut kemenangan PAS di Terengganu, Kelantan,  Kedah dan di Dun-Dun lain di seluruh negara yang tentunya merupakan  pertolongan Allah kepada PAS, lantaran adanya semangat dan keikhlasan di  hati para pemimpin dan ahli-ahli PAS sendiri kepada Allah di dalam  perjuangan mereka.
 
 Menurut beliau, kekuatan dalaman (kerohanian)  itu perlu terus ditanam di dalam hati para pemimpin dan ahli-ahli PAS  kerana tanpanya kemenangan tidak akan dipetolehi walaupun berusaha  dengan berbagai cara.
 
 Dalam memenuhi syarat-syarat itu, beliau  turut mengingatkan para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS  agar sentiasa menjaga akhlak dalam perjuangan termasuk ketika berkempen  pada pilihanraya.
 
 "Sekarang, kita juga sedang berada dalam  proses pilihanraya khususnya pilihanraya kecil Dun Tenang yang akan  berlangsung 30 Januari ini. Jadi kepada jentera-jentera kita di Tenang,  saya nasihatkan agar berkempenlah dengan sopan dan jangan terpengaruh  dengan provokasi pihak lawan.
 
 "Dengan berbekalkan akhlak yang  baik, semangat yang tinggi dan keikhlasan kepada Allah di dalam  perjuangan, insya Allah, akan datanglah pertolongan Allah kepada kita,"  ujar beliau.
 sumber: harakahdaily
 | 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan