Rabu, April 8

DPM Tanta Persatuan Berkebajikan

Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta yang bernaung di bawah PMRAM mula ditubuhkan pada tahun 1992. Peranan dan fungsi utamanya adalah untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Selain daripada itu, tujuan pemantapan ilmu dan pengalaman berpersatuan juga turut menjadi keutamaannya

Sejak daripada itu, saban tahun kepimpinan DPMT silih berganti. Kini, DPMT untuk sesi 2008/2009 telah pun melepasi separuh penggal pentadbirannya, pelbagai pengalaman pahit manis telah ditempuhi, harapan saya semoga seluruh AJKT dan siapa sahaja tenaga penggerak DPMT terus thabat hingga ke penghujungnya. Namun ianya sedikit sebanyak telah mematangkan kepimpinan AJKT dan ahli-ahlinya.

Pihak DPMT telah cuba sedaya-upaya mengimbangi segala aktiviti yang dijalankan tanpa memberi penekanan terhadap sudut-sudut tertentu sahaja. Hal ini bertujuan untuk memastikan ahli-ahlinya mendapat ilmu dan pengalaman yang seimbang. Sebagai contoh, program mega DPMT EMINENT 09 yang telah dilaksanakan baru-baru ini. Dalam EMINENT 09 kita telah sajikan slot pemantapan thaqafah , nilai ukhuwwah, sukan, latihan pengurusan dan kepimpinan, khidmat kesihatan serta hal-hal lain lagi.

Dari sudut sumbangan kebajikan kepada ahli-ahlinya pula, Dana Kebajikan ahli telah ditubuhkan sebagaimana yang dipersetujui bersama dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang lepas. Justeru, setakat ini telah banyak sumbangan yang dikeluarkan melalui dana ini untuk disalurkan kepada mereka yang berhak dan layak menerimanya. Seumpama mutazawwijin yang baru mendapat cahaya mata, ahli yang ditimpa musibah, khidmat hutang dan pelbagai lagi.

Justeru, saya selaku Pengerusi DPMT bagi sesi ini suka untuk menegaskan di sini bahawa pihak DPMT realitinya tidak menerima peruntukan secara tetap daripada mana–mana badan atau agensi untuk membiayai pergerakannya. Konsep keluar masuk kewangan DPMT beroreantasikan daripada ahli kepada ahli. Saya sangat bercita-cita agar seluruh ahli mampu menjiwai dan menghayati pribahasa ‘yang berat sama dipikul dan yang ringan dijinjing sama’. Susah payah kita hadapi bersama. Maksud hadith Nabi Muhammad s.a.w: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalahlah kamu mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri”

Saya juga membuka ruang dan peluang kepada seluruh ahli yang menghadapi masalah dan musibah seperti kesempitan kewangan, sakit dan seumpamanya agar tidak berasa malu untuk mengadu kepada mana-mana AJKT atau boleh terus berjumpa dengan saya. InAllah kami akan cuba membantu sebaik mungkin.


MOHD FAIZOL BIN ENDUT
Pengerusi DPMT
sesi 2008/2009
(010-6123631)

Tiada ulasan: