Sekarang sudah pun berada di rumah. Alhamdulillah, perkembangan terkini Sofiyyah sudah mula menggunakan mulut untuk makan dan minum. Susu ibunya sudah mula diminumnya dan insyaALLAH akan berterusan untuk menjamin kesihatannya supaya sihat dan kuat.
Berkat doa dan munajat sahabat-sahabat, anak kami sudah mula bergerak aktif. Semoga kedatangan ramadhan kali ini menambahkan lagi keberkatannya buat keluarga kami disamping kedatangan dam kehadiran cahayamatahati kami Sofiyyatul Ulyaa.
Kepada sahabat-sahabat dan rakan taulan yang nak datang mengziarahi Sofiyyah dipersilakan pada setiap waktu dan ketika, insyaALLAH rumah kami sentiasa terbuka. Hari ini sudah masuk hari ke-36 adik Sofiyyah menjengok alam dunia ini, semoga Sofiyyah sebagai saham berkekalan buat kami apabila kami pulang bertemu ILAHI suatu hari nanti.
InsyaALLAH, kami akan pastikan sumbangan dan sokongan daripada kalian sebelum ini akan kekal abadi pada anak kami. Selebihnya Allah Taala yang berhak membalasnya. Semoga sahutan kami sebelum berumahtangga untuk sama-sama mendirikan rumahtangga muslim tercapai dalam membantu gerak-kerja islam seluruhnya dalam meninggikan kalimahNYA di atas muka bumi ini.
Saya berpegang dengan kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menuju maksud sebenar membangun bersama ISLAM dari segi praktikal:
1) Mendidik, mentarbiah qalbu manusia supaya bertaqwa kepada Allah SWT sejak kecil lagi sampai ke peringkat remaja dan terus kepada meningkat dewasa.
Bayi di atas riba diperdengarkan bismillahir Rahmanir Rahim setiap kali susuan dilakukan. Yang terbaik lagi ibu perlu berwudhuk sebelum susuan dilakukan. Nama Allah, nama al-Rahman, nama al-Rahim, adalah suntikan ajaib untuk mengukir berkat dan qudus ke atas qalbu bayi yang baru mengenali alam dunia. Tidak ada doktor, tidak ada alat canggih yang boleh mengesan seni Asmaul Husna ke atas qalbu bayi.
2) Bila anak memasuki alam persekolahan, guru pula mencambah, membajai benih-benih yang telah ditabur oleh golongan ibu di rumah tadi. Dan bila mereka melepasi alam persekolahan dan memasuki alam pekerjaan, menjadi rakyat, bergerak dalam semua bidang hidup, pihak kerajaan pula menyambung, membimbing, dan melaksana segala benih yang ditabur di rumah, dan di sekolah, supaya ianya berubah dan mendatangkan hasil yang memenuhi kehendak : iman dan taqwa kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آَمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ – سورة الأعراف، أية 96
Yang bermaksud : Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, Pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan