Dengan berbekalkan ilmu dan anugerah iman yang sangat berharga buatku dan isteri, ku rasakan semuanya adalah hak milik mutlak Allah taala setiap yang ada di atas muka bumi ini. Setelah 2 minggu sudah aku ulang-alik dari Ijok ke hospital Sungai Buluh membuatku rasa diri ini sangat doif dan lemahnya jika tidak ada kekuatan dalam jiwa.
Tepat jam 3.40pagi, 7hb 03 panggilan dari hospital bertalu-talu. Dengan kudrat yang diberikan aku bersama isteri tercinta terus ke hospital. Sesampainya di wad NICU, disambut oleh doktor dengan mengatakan 15 minit yang lepas Muhammad Luqman telah melelapkan mata buat selama-lamanya.
Sempat merasai kehidupan dalam jangka masa 7 hari di muka bumi ini, selepas itu pergi bertemu Ilahi dengan berstatuskan syurga menjadi hak miliknya, kami redha dengan ketentuan Ilahi. Mungkin itu yang terbaik buat kami. Kami selalu doakan
"
Ya Allah kurniakan kepada kami anak-anak yang soleh dan solehah yang dapat menjadi saham untuk kami masuk syurgaMU"..
mudah-mudahan doa itu dimakbulkan.
"Buat isteri tercinta lagi disayangi, ujian adalah membuatkan kita dekat dengan Allah, mengingatiNYA, mengagungkanNYA. Allah memberi tumpuan kepada keluarga kita pada ketika ini, kita banyakkan doa dan selawat, zikir, mudah-mudahan dimakbulkan permintaan kita, Muhammad Luqman adalah milikNYA, dipinjamkan sekejap kepada kita dan sekarang telah di ambil semula"luahanku...
Buat rakan-rakan dan teman-teman baik daripada Mesir mahupun di tanah air, kami terharu dengan sokongan dan kata-kata semangat yang memberangsangkan kami untuk kami terus bangkit dan bangkit dalam meneruskan kehidupan pada masa mendatang.
Telefon berbunyi bertalu-talu, masej juga penuh dengan doa dari rakan-rakan. Teman-teman yang berada di sekitar Selangor berpusu-pusu datang ke ijok sehingga ke malam. Kami rasakan ujian ini adalah ujian buat kita semua.Masing-masing menumpang.
Kami merasai kehadiran teman-teman dalam mengumpul kekuatan. Terima kasih buat pimpinan PMRAM dan PMRAM cawangan TANTA dan KPT yang tidak lekang bertanyakan khabar kami dan sesungguhnya kalian adalah insan-insan yang ikhlas berkhidmat kerana ISLAM.
Akhirnya, doakan kami di sini untuk terus thabat berjuang. "
Di mana bumi dipijak di situ ISLAM dijunjung". Doakan kami diberi peluang lagi ke Mesir dalam masa terdekat ini untuk meneruskan pengajian kami yang berbaki.