Sabtu, Julai 24

Tolak perpaduan asabiyah Umno.. sertai PAS, parti ISLAM sedunia


Sebagai sebuah parti Islam, PAS mengasaskan perjuangannya untuk memupuk dan memperkuatkan ukhuwwah Islamiah serta menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat dalam segenap aspek.

PAS mengasaskan perpaduan di atas prinsip Islam, memperkenalkan nilai-nilai Islam dalam usaha menegakkan keadilan dalam bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Pada pendapat PAS, perpaduan mestilah dipaksikan dengan ketakwaan kepada Allah SWT.

Prinsip-prinsip ini digariskan dengan jelas menerusi firman Allah (mafhumnya):

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah al-Imraan, ayat 102-104)


Adapun sejak akhir-akhir ini Umno mula memainkan kembali 'jarum' perpaduan, kononnya masa depan Islam dan Melayu akan musnah jika PAS dan Umno tidak bersatu.

Kita mengajak kepimpinan Umno dan ulama-ulama yang sewaktu dengan mereka, untuk menghayati dan memperhalusi ayat-ayat Allah yang dipaparkan di atas.

Sebelum ulama-ulama upahan ini menjadi orang tengah untuk menyatupadukan PAS-Umno di atas dasar Islam dan Melayu, mereka harus mengkaji dan menilai kembali, pada aspek mana perjuangan Umno dan pelaksanaan pemerintahannya selama lebih 50 tahun ini, menepati ayat-ayat di atas?

Umno yang mendakwa dirinya parti Melayu-Islam tidak pernah mengasaskan tunjang pemerintahan di atas dasar takwa kerana asas perjuangan mereka adalah nasionalisme atau asabiyah.

Asabiyah yang dianuti Umno merosakkan mereka. Umno adalah Melayu, PAS juga Melayu. Tetapi mengapa mereka memusuhi PAS sekian lama, menindas dan mendiskriminasi pemimpin, ahli dan penyokong PAS? Mereka juga meminggirkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS.

Selain daripada itu Umno juga menghalang pelaksanaan Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Umno juga menyekat, melarang dan menangkap pemimpin-pemimpin PAS yang menyampaikan kuliah di masjid-masjid dan surau-surau.

Ini belum termasuk dasar-dasar kerajaan yang menghancurkan masa depan Melayu seperti PPSMI, dasar bahasa dan sebagainya.

Hakikatnya, perjuangan Melayu-Islam untuk sudah jauh tersasar. Mereka terlalu rasis sehingga meminggirkan bangsa Melayu sendiri. Yang dipimpin, dibela, diberi biasiswa, dibantu hanyalah Melayu Umno.

Umno tidak layak menjadi parti harapan orang Melayu lagi. Umno harus dibubarkan kerana ia sudah gagal. Ia adalah parti yang memperjuangkan asabiyah sempit, parti kroni dan juak-juak.

Dalam keadaan Umno yang semakin di penghujung hayat, mereka cuba bergayut di dahan PAS dengan mengumpan agenda perpaduan. Hakikatnya Melayu tiada pilihan lain selain bersatu di bawah payung PAS. Selepas perjuangan Melayu gagal membela Melayu, kali ini beri peluang kepada parti Islam, perjuangan Islam untuk memelihara martabat Melayu.

Sumber:Harakah
Oleh: Mohd Rashidi Hasan