Jumaat, Mei 28

Amar Makruf Nahi Mungkar : Cabaran PMRAM dan Mahasiswa Islam


Sumber : Minda Presiden PMRAM 2010

www.pmram.org

Apabila disebut berkenaan amar ma'ruf dan nahi mungkar, ia merupakan satu slogan atau ungkapan yang selalu bermain di bibir mahasiswa Islam di Mesir. Ungkapan tidak ini perlu lagi dihurai panjang lebar oleh pimpinan PMRAM Pusat mahupun PMRAM Cawangan. Bahkan jikalau dibahaskan, pasti huraian yang lengkap dengan dalil daripada al-Quran dan hadis serta teknikal perlaksanaannya bakal diperolehi dari hasil perbincangan tersebut.

Statistik mahasiswa Malaysia di Perlembahan Nil yang menuntut ilmu secara bertalaqqi dengan alim ulamak membelah pelbagai kitab fundamental (turath) serta berdiskusi kitab-kitab kotemporari (mua'sarah) semakin meningkat. Namun begitu, realiti mahasiswa Malaysia di bumi Mesir dewasa ini seolah-olah memberi satu petanda bahawa ilmu yang mereka pelajari daripada masyaikh dan para alim ulamak di sini semakin menurun kualitinya.

Peningkatan statistik mahasiswa Malaysia yang bertalaqqi belum mampu menurunkan graf salah laku hisbah di kalangan mahasiswa Malaysia di sini. Malah, barah salah laku hisbah semakin meruncing dari hari ke hari hingga sampai ke tahap yang kritikal. Kemunkaran yang dilakukan tanpa rasa segan silu terhadap masyarakat sekeliling seoalah-olah tiada setitis pun iman di dada mereka serta sirna cahayanya.

Isu 'couple' dan 'dating' semakin panas dan semakin jelas keadaannya. Begitu ramai yang ingin memuaskan nafsu tanpa mengikut laluan dan landasan yang betul. Masalah tidak terkawalnya ikhtilat tidak syarie juga semakin menjadi-jadi. Aktiviti dan program yang dilakukan sebegitu menjadi perkara yang biasa. Buktinya, lihat saja bermacam-macam gambar dan aksi yang kita temui di dalam sesawang 'facebook' serta blog-blog peribadi. Mereka menganggap bahawa perkara tersebut tidak salah dan berdosa di sisi Islam.

Tetapi apa yang menjadi persoalan sekarang ini ialah, SIAPAKAH yang sanggup untuk melaksanakan tugasan tersebut? Di manakah mereka yang selalu bercakap memberikan idea dan cadangan untuk perlaksanaan amar ma'ruf dan nahi mungkar ini? Di manakah golongan yang selalu mendabik dada mengaku bahawa mereka adalah golongan tarbiyah?

Bagi golongan yang bertafaqquh dan berakademik. Adakah kalian tidak menyedari situasi keadaan mahasiswa Malaysia kini, khususnya di bumi Mesir?. Bukankah tujuan kalian menuntut ilmu agama adalah untuk beramal?. Sudah tentu jawapan yang akan diberikan adalah positif. Sebenarnya bukan itu jawapan yang PMRAM inginkan, akan tetapi jawapan yang PMRAM mahu adalah berbentuk tindakan dan perlaksanaan. Saya yakin bahawa jawapan yang berbentuk tindakan inilah yang menunjukkan bahawa seseorang itu belajar dan bertafaqquh dengan niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. "Sesungguhnya seberat-berat azab di hari kiamat nanti adalah bagi golongan alim yang tidak bermanfaat ilmunya". Hadis ini riwayat daripada Saidatina Aisyah Radhiallahu Anha.

Sabda nabi di atas menunjukkan bahawa satu ancaman yang keras daripada Islam kepada golongan yang alim dan bijak pandai semata-mata. Ilmu yang dipelajari disimpan di dalam kitab ataupun digunakan hanya untuk berdebat. Padab hakikatnya, tugas amar ma'ruf dan nahi mungkar bukan hanya terpundak di atas bahu pimpinan semata-mata bahkan ia juga merupakan tugasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t kepada golongan ulamak.

Sehingga kini PMRAM mengalami krisis kekurangan tenaga untuk membasmi kemungkaran yang berlaku. Maksiat yang terjadi bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan memaksa PMRAM untuk bertindak lebih serius dalam menangani masalah ini. Sebab itulah di dalam Muktamar Sanawi PMRAM kali yang 77 baru-baru ini, PMRAM membawa usul untuk melakukan gerak gempur hisbah di setiap PMRAM Cawangan. 'Team work' atau skuad penguatkuasa hisbah perlu dipertingkatkan setaraf dengan meningkatnya statistik masalah hisbah yang berlaku.

Dalam situasi sebegini, PMRAM Pusat dan Cawangan menyediakan platfom untuk bertindak. Kita memerlukan penggabungan daripada seluruh mahasiswa Islam untuk sama-sama mengatasi gejala sosial ini. PMRAM tidak memerlukan golongan yang bercakap pandai dan berteori, tetapi PMRAM memerlukan golongan yang bertindak dengan perbuatan. Biarlah kita menjadi kumpulan yang kurang bercakap tetapi banyak bertindak.

Sekian

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Rabu, Mei 26

MANHAL PMRAM : Menyangkal Artikel YADIM Tentang Isu Halal Judi Dan Arak

Respon Oleh Khairul Anuar bin Ismail

"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani"

Akhbar Utusan Malaysia pada hari Isnin bertarikh 24.5.2010 telah menyiarkan satu rencana yang telah dikarang oleh saudara Mohd Shauki Abdul Majid, pengurus penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIEM) yang bertajuk ‘Kerajaan Tidak Menghalalkan Judi dan Arak'. Rencana itu dikarang dengan tujuan menjawab isu lesen perjudian bola sepak yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Di dalam rencana tersebut pengarang mendakwa bahawa pemberian lesen perjudian tersebut tidak bercanggah dengan kaedah siasah syariyyah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Umar al-Khattab.

Namun setelah diteliti dengan mendalam mengikut nas-nas al-Quran dan hadis serta kaedah syarak, rencana tersebut secara jelas tidak dapat memberikan hujjah yang benar dan didapati banyak kesilapan yang telah dilakukan oleh pengarang dalam usaha membenarkan dakwaan beliau. Secara ringkas, pengarang mahu menyamakan hukum berkaitan arak dengan hukum perjudian yang mana membenarkan sebuah negara membuka ruang aktiviti perjudian sebagaimana arak dibenarkan kepada bukan Islam berdasarkan maslahah. Di sini pihak saya akan menyatakan kesilapan-kesilapan tersebut berdasar beberapa perkara dibawah:

Kesilapan Pertama:

Pengharaman judi disamakan dengan pengharaman arak

Dalam muqaddimah rencana tersebut, pengarang telah menyebut perihal pengharaman arak secara beransur-ansur (tadarruj) sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran pada surah Al-Baqarah (ayat 219), surah Al-Nisaa’(ayat 43) dan surah Al-maidah (ayat 90). Tujuan pengharaman arak secara beransur-ansur adalah untuk meraikan keadaan dan suasana umat Islam pada ketika itu yang masih lagi dalam peringkat pembinaan iman. Pengarang walaubagaimana pun telah menyamakan pengharaman judi dengan arak semasa mengulas ayat 43 surah al-Nisaa’ dengan kata beliau:

“Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas.”

“Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.”

Pada hakikatnya pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dari sudut tadarruj (bertahap). Pengharaman judi sebenarnya adalah sama dengan pengharaman zina, bunuh, mencuri, merompak dan lain-lain yang mana pengharamannya datang secara terus tanpa disebut secara bertahap sebagaimana pengharaman arak kerana mudarat aktiviti perjudian amat besar kepada masyarakat berbanding arak yang mana ia digunakan juga untuk aktiviti lain seumpama tujuan perubatan oleh masyarakat pada ketika itu selain daripada minuman.

Oleh itu pengharaman sekaligus telah diwahyukan oleh Allah dalam surah Al-Maidah ayat 90. Maka jelaslah di sini pengharaman secara bertahap adalah dikhususkan untuk arak tidak termasuk judi dengan hikmah tertentu. Walaupun pengharaman judi tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana arak tetapi ia tidak bermakna judi dihalalkan oleh Islam sebelum dinyatakan secara jelas di dalamnya. Kalaulah kaedahnya begitu, maka perbuatan lain seperti membunuh, merompak dan berzina dikira halal sebelum diharamkan oleh al-Quran.

Kesilapan Kedua:

Mendakwa dalil orang bukan Islam boleh meminum arak berdasarkan perbuatan Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat membayar ganti rugi(dhoman) terhadap bekas arak yang dipecahkan.

Pengarang berkata:

“Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal dengan nilai barangan yang telah dirosakkan. Ini boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain”

Pertama, pengarang mengistilahkan ganti rugi dengan perkataan diat. Istilah tepat yang sepatutnya digunakan mengikut ilmu feqh adalah dhoman. Kedua, hadis tersebut langsung tidak menyebutkan orang bukan Islam harus minum arak secara jelas (sorih) atau melalui mafhumnya (samada mafhum muwafaqah, mafhum mukhalafah dan lain-lain yang digunakan untuk memahami nas).

Ketiga, Rasulullah menyuruh para sahabat membayar ganti rugi adalah kerana merosakkan harta iaitu bekas-bekas yang masih boleh digunakan sedangkan yang diharamkan adalah arak bukan bekas-bekas tersebut. Bekas-bekas tersebut tiada kaitan dengan pengharaman arak.

Keempat, hukum bukan Islam meminum arak di dalam syariat Islam juga adalah berdosa dan dihisab pada hari akhirat. Ini kerana mengikut pendapat yang paling kuat di sisi para ulama, bukan Islam juga ditaklifkan dengan perkara furu’ (seperti solat, zakat dan lain) sebagaimana mereka ditaklifkan dengan perkara usul (iaitu beriman dengan Allah). Maka tiada dalil yang membenarkan atau mengharuskan perbuatan tersebut mengikut nas Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Cuma perkara yang membenarkan mereka meminum arak adalah berdasarkan dasar toleransi Islam itu sendiri yang membenarkan penganut agama lain yang berada dalam negara Islam melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka seperti meminum arak dan memakan daging khinzir. Sesebuah negara Islam itu tidak boleh menghalang mereka dalam soal tersebut. Ianya berlainan dengan judi yang tidak dibenarkan atau dihalalkan oleh mana-mana agama utama di dunia. Oleh itu Khilafah Islamiah sejak dahulu tidak membenarkan judi kerana diharamkan oleh seluruh agama di dunia. (Rujuk Ghairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami, Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ms 47-48, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)

Seterusnya pengarang berkata:

“Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu, maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.

Pengajaran dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.”

Kemudian pengarang berkata lagi:

“Prinsip itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud: Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).”

Memang diakui sekiranya bukan Islam ingin melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka tetapi diharam oleh Islam (seperti kes minum arak), maka hendaklah dilakukan ditempat khusus dan tersembunyi supaya tidak menyinggung perasaan umat Islam. Tetapi persoalannya, adakah perkara ini betul-betul diangkat menjadi undang-undang Malaysia atau diamalkan secara baik?

Apa yang terjadi adalah berlawanan sebagaimana yang dakwaan-dakwaan yang terdapat di dalam rencana tersebut yang berkaitan dengan arak. Kita boleh lihat sendiri arak dijual secara berleluasa tanpa kawalan, dihidangkan di dalam hotel-hotel, dijual oleh peramugari beragama Islam di dalam kapal terbang, kilang yang terbesar di Asia Tenggara dan diminum serta dijual secara terbuka oleh orang Islam sendiri. Adakah wujud satu kaedah khusus dalam Islam yang membenarkan sebuah negara menjalankan aktiviti perniagaan arak sampai ke tahap itu? Di mana maslahah yang didakwa?

Keadah yang disebutkan oleh pengarang sedikit pun tidak tepat dengan realiti yang berlaku ataupun boleh dianggap telah menyeleweng daripada maksud yang tujuan asal. Apa yang berlaku sekarang adalah satu mafsadah dan bukan maslahah. Adakah tepat sekiranya semata-mata ingin menjaga satu kepentingan kita mengundang satu kecelakaan kepada umat? Adakah sama perbuatan Saidina Umar mengutip cukai import arak dengan keadaan sekarang? Itu adalah persoalan kepada pengarang kerana saya tidak mahu membahaskan persoalan maslahah di dalam Islam secara panjang lebar kerana isu yang diulas adalah berkaitan judi.

Kesilapan Ketiga:

Pengarang silap menyebut kaedah syara’

Samada secara sedar atau tidak, pengarang sebenarnya telah melakukan kesilapan dalam menyebut satu kaedah penting iaitu katanya:

“Malah dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh melibatkan kemudaratan yang lebih besar).”

Kaedah yang sebenarnya adalah berbunyi, “menangani bahaya yang umum (melibatkan masyarakat umum atau lebih besar) lebih diutamakan daripada bahaya khusus (yang bersifat peribadi dan kecil).

Bagi sesiapa yang mempelajari Fiqhul Muwazanah (rujuk Siasah Syariyyah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m.s 300-301, Maktabah Wahbah, Kaherah) akan memahami dengan mudah kaedah tersebut. Kaedah yang sama dalam bahasa arab berbunyi:

"دفع المفسدة العامة يقدم على المفسدة الخاصة"
Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus


"ضحى بالمصلحة الخاصة من أجل المصلحة العامة"
Dikorbankan maslahah khusus kerana menjaga kepentingan umum


"يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى"
Ditanggung mudarat yang lebih kecil kerana mengelakkan mudarat yang lebih besar


"يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام"
Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum


Semua kaedah di atas mempunyai maksud yang hampir sama iaitu menjaga kepentingan umum diutamakan dengan menggadaikan kepentingan khusus atau mengelakkan bahaya yang lebih besar dan yang melibatkan masyarakat secara amnya perlu diutamakan dengan hanya menanggung bahaya yang lebih kecil atau khusus.(Qawaid Fiqhiyyah, Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam, m.s 144, Darul Hadith, Kaherah)

Pengarang berkata:

“Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.

Ini menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada bahaya yang lebih besar.”

Untuk pengetahuan pembaca, kaedah yang digariskan adalah kaedah“menanggung bahaya yang lebih ringan daripada dua bahaya atau Irtikab Akhaffu dharurain”. Maksudnya lebih kurang kaedah di atas. Selain itu, soal yang dilaksanakan oleh Saidina Umar adalah berkaitan arak dengan berdasarkan toleransi Islam dengan bukan Islam seperti yang telah saya nyatakan tadi dalam perbahasan kedua. Kerajaan Islam yang dipimpin oleh sahabat Nabi Muhammad yang agung ini tiada kena mengena sedikit pun dengan urusan perjudian.

Selain itu juga, kaedah ini juga tidak terpakai dalam isu judi kerana memberikan lesen perjudian pada hakikatnya akan menimbulkan darurat yang lebih besar kepada negara bahkan menggalakkan aktiviti perjudian di kalangan rakyat kerana mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan. Mereka juga tidak menanggung risiko penanggkapan polis.

Oleh itu, sekiranya kaedah ini ingin digunakan maka yang sepatutnya yang dilaksanakan ialah kerajaan seharusnya mengharamkan aktiviti perjudian dan menangkap mereka yang berjudi sekalipun terpaksa mengorban harta, masa dan tenaga kerana risiko pengorbanan itu lebih ringan berbanding membiarkan rakyat terjebak dengan aktiviti yang keji lagi mempunyai mudarat yang besar. Dengan itu, barulah kaedah yang tersebut di atas tepat pada perlaksanaannya sebagaimana yang disebut oleh para fuqaha’ serta kerajaan juga dapat mendidik masyarakat agar tidak terjebak dengan arak dan judi.

Kesilapan Keempat:

Menqiyaskan hukum arak dengan hukum judi

Kesilapan yang paling utama dan juga tujuan utama rencana ini dikarang adalah untuk membenarkan tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi dengan membawa dalil-dalil yang mengharuskan perniagaan arak dalam negara Islam.

Maaf, saya ingin katakan bahawa pengarang belum memahami selok belok ilmu siasah syariyyah dengan baik atau memahami ilmu qawaid fiqhiyyah secara sempurna sehinggakan dalil yang dibawa untuk mengharuskan arak dijual dalam negara Islam pun banyak menyeleweng dan salah. Apatah lagi ingin menggunakan hujjah tersebut untuk menghalalkan aktiviti perjudian. Pengarang telah menyebut dalam rencana tersebut:

“Inilah persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya berjudi dan meminum arak.”

“Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka. Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.”

Sekali lagi ingin saya nyatakan bahawa Islam tidak membenarkan langsung aktiviti perjudian kerana semua agama di dunia tidak menghalalkannya. Ini berlainan dengan isu arak yang mana ia merupakan hak bukan Islam untuk meminumnya dalam negara Islam kerana ia dibenarkan oleh sebahagian agama mereka walaupun Islam meletakkan piawaian tertentu untuk mengelakkan berlaku kemudaratan. Hak ini samalah dengan hak mereka untuk beribadat di kuil-kuil, merayakan hari kebesaran agama mereka dan lain-lain.

Kesimpulan hujjah yang didakwa pengarang ialah judi diharamkan bersama arak yang mana pengharamannya secara bertahap. Judi juga adalah amalan dan budaya jahiliyyah seperti arak maka hukumnya adalah seperti arak. Memberikan lesen judi pula adalah daripada satu perinsip pemimpin negara untuk menjaga maslahah umum dan menanggung mudarat yang ringan.

Setelah dijawab satu persatu maka jelaslah dalil-dalil tersebut adalah dalil rekaan yang tidak berdasarkan keilmuan yang jitu dan tidak menepati realiti. Mereka yang benar-benar mengkaji hukum dan tarikh tasyri’ sangat mudah untuk mematahkan hujjah yang dangkal tersebut.

Tegasnya, mengqiyaskan soal arak dengan soal judi dalam persoalan ini adalah Qiyas maal fariq. Sejarah Islam belum pernah mencatatkan mana-mana kerajaan di bawah mana-mana Khalifah membenarkan aktiviti judi kerana judi itu seolah-olah telah membunuh aktiviti ekonomi rakyat.

Akhir sekali, saya menyeru dan mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya mengharamkan aktiviti perjudian dan menasihati kepada golongan agamawan dalam sektor-sektor kerajaan supaya berani menegur kesilapan dan bukannya mengeluarkan fatwa yang menyeleweng. Saya memohon ampun sekiranya jawapan ringkas ini mengandungi kelemahan. Wallahu A’lam.

Oleh:
Khairul Anuar Bin Ismail
Pengerusi Felow Manhal PMRAM 2010
ibnubarqi.blogspot.com
MENYANGKAL TULISAN SAUDARA MOHD SHAUKI ABDUL MAJID PENGURUS PENYELIDIKAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIEM) BERKAITAN ISU LESEN PERJUDIAN.

Jumaat, Mei 21

MALAYSIA: BOLA SEPAK DIPERJUDIKAN....haram ke atas kamu..




IPOH, 21 Mei: Sekurang-kurangnya 1000 Rakyat Perak hari ini melahirkan bantahan terhadap kelulusan lesen judi bolasepak sempena Piala Dunia Jun ini di Masjid Negeri Sultan Idris Shah 11, Ipoh selepas solat Jumaat tengahari tadi.


Dewan Pemuda Parti Islam Semalaysia (PAS) mengadakan himpunan aman membantah keputusan kerajaan meluluskan lesen judi bolasepak Pertandingan Piala Dunia 2010 kepada Berjaya Group di perkarangan Masjid Negeri Sultan Idris Shah 11, Ipoh di sini hari ini. Perhimpunan aman yang berlangsung selama 30 minit itu turut dihadiri lebih 1,000 orang termasuk beberapa anggota pertubuhan bukan kerajaan. - Foto BERNAMA

Dulu katanya, pemuda Umno bukan main bingkas bangun kononnya Islam akan tercabar kerana penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam tetapi sunyi apabila isu itu meletup selepas Kerajaan Barisan Nasional (BN) membenarkan perjudian bola di Malaysia menjelang Piala Dunia pada Jun nanti.

"Mana dia pemuda Umno, tokoh agama Umno dalam hal ini kenapa mereka membisu sampai kini. Sepatutnya sebagai seorang Islam mereka kena bangkit menentang BN yang jelas bersekongkol dengan tabiat buruk,"-Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Yusni Mohd Piah

Jumaat, Mei 14

Berpolitik Dalam Masjid


Soalan: Adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik ? Apakah dalil keharusannya, jika hukumnya harus ? Atau dalil pengharamannya, jika ia ditegah?
Masjid adalah Pusat Dakwah dan Pemerintahan di Zaman Nabi (s.a.w.) Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) merupakan pusat kegiatan Jamaah Muslimin.

Ia bukan setakat tempat beribadat dan sembahyang bahkan sebagai tempat beribadat, markaz ilmu, kelab sastera, parlimen, tempat perkenalan, tempat berkumpulnya rombongan-rombongan yang datang dari seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab, tempat Rasulullah (s.a.w.) membuat pertemuan dengan mereka dan tempat Rasulullah (s.a.w.) menyampaikan khutbah dan tunjuk ajarnya tentang seluruh kehidupan sama ada urusan keagamaan, kemasyarakatn dan pentadbiran.

Di dalam kehidupan Rasulullah (s.a.w.) tidak ada pemisahan di antara urusan agama (mengikut istilah orang sekarang) dan politik. Baginda tidak mempunyai satu tempat yang lain bagi politik dan permasalahannya selain daripada masjid. Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) adalah markaz dakwah dan politik.

Masjid Di Zaman Kegemilangan dan Zaman Kemuduran. Begitu juga di zaman Khulafa Ar Rashidin selepas Rasulullah (s.a.w). Masjid dijadikan sebagai tempat pelbagai aktiviti sama ada aktiviti politik dan sebagainya.

Abu Bakar as-Siddiiq menyampaikan ucapan dasarnya yang pertama di masjid. Disinilah beliau menerangkan program politik atau strategi pemerintahannya. Beliau berkata: “Wahai manusia! Aku dilantik memerintah kamu. Aku bukanlah orang yang paling layak dari kalangan kamu. Jika kamu melihat aku berada di atas jalan yang benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, perbetulkanlah aku.”

Umar bin al-khattab juga menyampaikan ucapan dasarnya di masjid, beliau berkata: “Wahai manusia! Sesiapa yang melihat aku menyeleweng, perbetulkan aku!”

Lalu seoang makmum berkata: “Demi Allah, jika kami melihat kamu menyeleweng, kami akan memperbetulkannya dengan mata pedang kami!”

Umar menjawab: “Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang menjadikan di kalangan rakyat Umar, mereka yang akan membetulkan penyelewengan Umar dengan mata pedangnya.”

Masjid terus berfungsi di zaman sebaik-baik umat ini dan di zaman kegemilangannya.Tetapi ketika luputnya bintang tamadun Islam dan umat Islam menjadi mundur dalam segenap bidang kehidupan, fungsi masjid turut berubah.

Masjid hanya dijadikan tempat menunaikan sembahyang sahaja. Khutbah yang diucapkan mati tidak bertenaga. Kerana ia bukan menyampaikan khutbah tetapi membaca khutbah. Tajuknya hanya berligar di sekitar zuhud di dunia, mengingati kematian, fitnah kubur, dan azab akhirat.

Oleh kerana itu sewaktu ruh kebangkitan Islam mula meresapi tubuh umat ini, kita dapati sebahagian daripada khatib bercakap tentang permasalahan umat Islam, mengkritik suasana penyelewengan kehidupan umat, khususnya kezaliman pemerintah, kebisuan ulama dan kedinginan cendikiawan.

Oleh itu kita dapati, setengah orang berkata: Khatib itu bercakap tentang politik…! Politik Yang Diterima dan Politik Yang Ditolak.

Kenapa ketika disebut kalimah ‘politik’, seolah-olah ia merupakan satu kehinaan atau jenayah ?! Sedangkan ilmu politik adalah satu cabang ilmu yang paling mulia dan orang yang berkecimpung dalam bidang politik adalah mereka yang memikul satu tugas yang paling mulia.

Yang peliknya lagi ialah sebahagian ahli politik sendiri yang bertanya: "Adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik ?” Sedangkan mereka bergelumang dalam politik daripada hujung rambut ke hujung kaki.

Politik itu sendiri bukanlah perkara mungkar dan kotor, apabila ia mengikut garisan-garisan yang telah ditetapkan oleh prinsip-prinsip Islam dan berada di dalam lingkaran hukum dan nilai-nilainya.

Politik yang ditolak ialah politik ‘Micheavelli’ yang menyatakan matlamat menghalalkan cara, tidak beriltizam dengan akhlak serta nilai-nilai kebaikan dan mengenepikan halal dan haram.

Manakala politik dengan maksud mentadbir urusan seluruh manusia dengan menjaga kepentingan mereka dan menghilangkan keburukan serta menegakkan keadilan di kalangan mereka, makia ia adalah selari dengan agama, bahkan ia adalah sebahagian daripada agama kita, kerana Islam itu adalah aqidah, ibadah, akhlak dan sistem hidup yang lengkap.

Risalah masjid sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam yang sebenar tidak dapat digambarkan bahawa ianya boleh dipisahkan daripada politik dengan pengertiannya yang di atas.

Masjid diwujudkan untuk menangani seluruh permasalahan umat Islam dan setiap yang memberi kebaikan dalam urusan agama dan dunia mereka. Melalui masjidlah manusia mempelajari kebenaran, kebaikan, kelebihan di dalam seluruh kehidupan mereka, samada dari segi kerohanian, kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.

Hal ini dikenali sebagai ‘an-nasiihah’, salah satu kewajiban Islam yang diketahui, di mana Nabi (s.a.w.) menjadikankannya sebagai seluruh agama sebagaiaman di dalam sabdanya ;

الدين النصيحة : قلنا لمن؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وإمامهم

“Ad-Deen itu adalah nasihat…” Sahabat bertanya: “Untuk siapa wahai Rasulullah?”

Sabdanya: “Bagi Allah, Kitab وRasul, dan Imam Muslimin serta umat Islam seluruhnya.”

Ia juga termasuk dalam konteks berwasiat dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran yang dijadikan oleh al-Quran sebagai syarat untuk mendapat keselamatan daripada kerugian di dunia dan akhirat.

Firman Allah bermaksud *( Al-Asr: 1-3): “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Ia juga tergolong daripada amar-makruf dan nahi mungkar yang dijadikan oleh Allah Taala sebagai sebab utama kepada kebaikan umat ini. Firman Allah (s.w.t.):

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan kamu beriman kepada ALLah.” (Ali-Imran: 110).

Allah Taala juga menjadikannya salah satu daripada sifat asasi mukminin dan mukminat.

Firman Allah (s.w.t.): Maksudnya: “ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat serta ta’at kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itulah akan diberikan rahmat oleh Allah.”

Di dalam ayat di atas, Allah (s.w.t.) mendahulukan kefardhuan amar makruf dan nahi mungkar daipada kefarduan solat dan zakat, sedangkan kedua-duanya merupakan rukun Islam. Ini menunjukkan kepentingan kefardhuan amar-makruf nahi mungkar.

Allah juga memberitakan kepada kita tentang laknat yang menimpa orang yang meninggalkan kewajipan ini di kalangan umat-umat yang terdahulu. FirmanNya:

Maksudnya: “Orang-orang kafir Yahudi dari bani Israel telah dilaknat (di dalam kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah nabi Daud dan nabi Isa bin Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri)n dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka lakukan.”

Melalui nasihat, berpesan dengan kebenaran dan amar makruf nahi mungkar, masjid berperanan di dalam memberi pengarahan terhadap urusan pentadbiran umat, memberi kesedaran kepada mereka tentang permasalahan hidup mati mereka dan mendedahkan kepada mereka tentang tipu daya musuh.

Semenjak dahulu lagi masjid berperanan meniupkan semangat jihad fi sabilillah dan semangat menentang musuh yang menceroboh.

Intifadhah yang diberkati, yang berlaku sekarang di bumi ambiya’ ‘Palestin’ bermula dari masjid. Seruan pertamanya bergema dari menara azan.

Pada permulaannya kebangkitan ini dinamakan sebagai kebangkitan masjid.

Begitu juga jihad di Afghanistan dan lain lain tempat lagi, masjid mempunyai peranannya yang tidak dapat dinafikan.

Yang ditegah ialah menyebut nama-nama orang tertentu dan pendetailan secara terperinci untuk mencerca, menjatuhkan maruah dan memaki hamun. Perkara seumpama ini tidak harus dilakukan di atas mimbar dan tidak harus juga mimbar dipergunakan untuk tujuan memburukkan nama orang dan untuk tujuan fanatik kepartian.

Tetapi mimbar boleh digunakan untuk menyebut segala perkara yang melanggar syariat, walaupun ia merupakan polisi kerajaan. Masjid didirikan untuk meneguhkan syariat Allah bukan untuk meyokong polisi mana-mana kerajaan.

Ketika kerajaan bercanggah dengan syariat Allah, maka masjid mesti berada di saf syariat, bukan di saf kerajaan.

Tidak harus sama sekali masjid ditegah daripada haknya yang tradisi, logik dan bersejarah ini; iaitu hak memberi kesedaran dan peringatan kepada umat daripada taghut-taghut yang tidak melaksanakan syariat Allah dan meghukumkannya mengikut hawa nafsu mereka atau tuan-tuan mereka yang sedikitpun tidak mempunyai kekuatan ketika berhadapan dengan kekuatan Allah (s.w.t.)

Di sesetengah negara Islam, kerajaan mengeluarkan enakmen berhubung hukum kekeluargaan yang bercanggah dengan syariat Islam, lalu ulama bangkit menentangnya dan mengkritik di masjid-masjid, kerana media massa yang lain dikuasai oleh kerajaan. Tindakan kerajaan tersebut terhadap ulama-uama yang berani ialah hukum bunuh dan bakar! Perkara ini secara tepatnya berlaku di Somalia.

Pemerintah menggunakan masjid sebagai trompet untuk mengembar-gemburkan polisinya. Apabila mereka mahu berdamai dengan Israel, maka mereka mengatakan bahwa perdamaian adalah satu kebaikan berdasarkan firman Allah (s.w.t):


وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah.” (Al-Anfaal: 61)

Ketika hubungan mereka dengan Israel menjadi tegang, maka mereka mengatakan bahawa bangsa Yahudi adalah musuh yang paling ketat kepada orang-orang yang beriman. Perdamaian dengan mereka adalah haram dan khianat.

Demikianlah apa yang terjadi. Masjid tidak lagi menjadi lidah yang benar bagi risalah Islam, bahjan ia menjadi agensi dakyah kepada polisi kerajaan.

Keadaan ini menyebabkan masjid hilang fungsi dan pengaruhnya di dalam masyarakat dan dalam waktu yang sama ia juga menjatuhkan kemuliaan ulama dan pendakwah kepada jalan Allah.

Kita memohon kepada Allah (s.w.t.) agar memberikan keselamatan kepada agama dan dunia kita.

*Nasrudin Hassan adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Selasa, Mei 11

KESILAPAN DAKWAH MASA KINI

Bismillahirrahmanirrahim.

Semenjak kejatuhan empayar Islam sehingga kini,
segalanya sudah lemah, cara berfikir sudah lemah, jiwa
umat Islam sudah lemah, perpaduan sudah berkecai,
serta hidup nafsi-nafsi. Bahkan cerdik pandai pun,
yang penghafal Quran, pakar Hadis serta pakar hukum
dalam Islam pun sekadar boleh miliki ilmu, tetapi daya
berjuang dan daya berfikirnya sudah lemah. Ulama tidak
dapat menyatukan umat yang sudah berpecah, samada
sudah kecewa sudah tiada 'mood'.

Maka hasil dari keadaan ini, ada dua perkara yang
kita lihat sangat menonjol kelemahannya di kalangan
masyarakat Islam.

1.Kelemahan pertama, Islam itu walaupun ulama itu
mengaji pada jangka waktu yang lama di Mekah,
Universiti Islam atau Universiti Al-Azhar atau pakar
Hadis, bila pulang ke tanah air ,yang disampaikannya
hanya ada dua. Satu yang ada hubungan dengan ibadah
khusus atau fadhoilul a'mal.
Kedua hukum hakam. Ini halal, ini haram, ini boleh.
Ini tidak boleh, ini sunat, ini makruh, siapa buat
begini jadi fasik, yang buat ini jadi zalim, jadi
kafir atau jadi musyrik.

Bagi sesetengah masyarakat yang ditakdirkan Tuhan
imannya kuat, cintanya kepada Tuhan agak kuat, mereka
mudah menerima tetapi apabila berhadapan dengan
masyarakat Islam yang digambarkan tadi, yang
semangatnya sudah luntur dan jiwanya sudah rosak,
kalau hanya ibadah dan hukum-hakam sahaja yang
diperkatakan, maka umat Islam akan cepat boring dan
jemu. Padahal agama Islam itu terlalu luas dan global,
lebih luas dari yang disebutkan tadi. Sebab Islam
merangkumi semua keperluan hidup.

Apa itu keperluan hidup? Ada dijelaskan di dalam Al
Quran dan Hadis, cuma bolehkah kita faham atau tidak,
bolehkah kita hayati atau tidak, bolehkah kita
amalkan atau tidak, itu soal lain. Tetapi di hari ini
walaupun ulamanya mengaji dan belajar tinggi sekalipun
pun, yang popular hanya 2 perkara ini sahaja yang
diajarkan kepada masyarakat iaitu ibadah berupa
fadhilul a'mal dan hukum, itu saja. Pakar ulama hanya
mampu memberi hukum, ini wajib, ini sunat, ini haram,
makruh.

Kalau ditanya apa itu masyarakat Islam? Tidak boleh
jawab. Kalau ditanya apa itu psikologi Islam? Tidak
boleh menjawab. Kalau ditanya apa itu kekeluargaan
Islam? Juga tidak boleh menjawab. Kalau ditanya apa
itu perjuangan Islam? Apa itu ekonomi Islam? Apa itu
pentadbiran Islam? Apa itu perhubungan secara Islam?
Itu semua tidak dapat dijawab dengan meluas...
Sedangkan itu semua keperluan umat Islam. Bukankah
Islam itu indah.

Masyarakat Islam itu, kalau dapat dibangunkan sangat
indah. Perpaduan dan perjuangan Islam itu indah, kasih
sayang itu sangat indah kalau dapat diamalkan dan
dihayati. Tetapi yang diambil hanya dua aspek iaitu
ibadah khusus dan ibadah tambahan serta hukum hakam.
Jadi hendak mencari cerdik pandai di kalangan pemuda
pemudi di dalam Islam sangat susah, bila diajak
mengaji dia sudah mengagak dalam fikirannya, mesti
ustaz ini hendak bercerita ibadah samada solat, haji,
puasa, zakat dan hukum halal haram.
Hanya menceritakan ilmu wajib, sunat, makruh, halal,
haram, fasik atau kafir. Jadi orang yang mendengar
Islam itu menjadi takut, betapalah yang bukan Islam
hendak mendengarnya.

Sedangkan masyarakat perlu faham psikologi, perpaduan,
pendidikan, perjuangan, falsafah, ekonomi, pentadbiran
dll. Itu semua perlu dalam kehidupan. Bila hal ini
tidak diceritakan dari Al Quran dan AlHadis, sedangkan
umat Islam perlu, akhirnya apa yang terjadi? Ibadahnya
Islam, hukumnya Islam tetapi dalam hal pendidikan,
ekonomi, pentadbiran dan teknologi diimport dari
barat. Bila ulama cerdik pandai Islam tidak menyajikan
itu, sedangkan orang Islam memerlukan maka bila jumpa
ilmu dari Japan dia ambil, jika jumpa dari barat, dia
akan ambil, jika jumpa di negara komunis akan
diambilnya dari sana. Inilah yang jadi masalah!

2.Kelemahan kedua, yang sangat menonjol ialah cara
menyampaikan ilmu Islam sangat terbatas. Cara pertama
mengaji di masjid atau surau,atau kepada kanak-kanak
di sekolah. Inilah sumber ilmu. Kalau tidak didengar
dari pendakwah-pendakwah ini, maka tidak dengarlah apa
itu Islam sebenar. Sangat terbatas, saluran lain
seolah-olah tidak ada.
Padahal sepatutnya cerdik pandai Islam selain mengaji
di masjid, selain berdakwah secara formal, mestilah
memikirkan saluran apa untuk disampaikan Islam itu
sesuai mengikut keadaan semasa, sesuai dengan selera
cerdik pandai, mana yang sesuai dengan pemuda dan
pemudi. Kita tidak pernah mendengar orang mengaji
melalui sajak, filem, teater padahal mengaji melalui
filem, melalui teater, melalui budaya sangat berkesan.

Kita tidak pernah mendengar agama dengan cara itu,
orang dahulu belajar di sekolah dan dari pendakwah
sebab itu mereka tidak begitu pandai...Dari hasil
pengalaman kita bersama, kita hanya dapat dari dua
saluran sahaja, hendak faham Islam kena mengaji. Bila
dewasa semua ke masjid atau mendengar kuliah
pendakwah, itu pun kalau rajin pergi.

Ada pula pendakwah suka mengata orang, hanya
memperkatakan hal politik, mengata orang lain. Padahal
Islam boleh disampaikan dengan berbagai cara seperti
sajak, drama, tulisan dan sebagainya.

Yang paling berkesan bagaimana?
Kalau kita dengar orang Islam berdagang kecil-kecilan,
maju tidak, mundur pun tidak. Sekadar boleh hidup
saja. Kita tidak pernah mendengar ada jemaah Islam
yang menolong. Inilah masalahnya. Sedangkan ini
berlaku dizaman Rasulullah. Kalau musim menuai kurma
di ladang, ada sahabat menolong menuai atau mengutip
buah. Islam itu jika diamalkan cantik dan indah. Sebab
itu hari ini kalau kita berjuang supaya lebih cepat
berkembang maka dua itu dikekalkan,tetapi kenalah
tambahkan kaedah, barulah nampak Islam itu betul
penyelamat, menghiburkan dan memberi khidmat.

Cara lama terbatas. Itulah yang hendak diperkatakan
sebagai bahan berfikir. Bila dikatakan hendak
berjuang, perlulah berjemaah sebab mustahil kita boleh
buat sendirian membangunkan masyarakat. Kita berjuang
supaya umat Islam, bila menyebut sahaja Islam, nampak
keindahan, perpaduan dan nampak kasih sayang. Bila
sebut sahaja Islam, nampak sangat cantik dan menarik.

Jumaat, Mei 7

Pendaftaran PMRAM: No. 803, Tahun 1964 Dengan Kementerian Mesir

Kesal dengan tuduhan Khairi terhadap PMRAM secara terang dan jelas. Begitu mudah dia menuduh PMRAM tiada sebarang hubungan dengan Amin Daulah. Baru sahaja bertugas 4 bulan, sudah pandai tunjuk jaguh. Antara kenyataan beliau :

Secara rasminya PMRAM tidak ada hubungan dengan Amin Daulah, itu adalah propaganda mereka untuk menakut-nakutkan pelajar-pelajar.


Kenapa begitu mudah beliau membuat spekulasi seperti ini? Inilah Khairi, jenis si putar belit, kuat berjanji manis, sibuk berpolitik, dan banyak tugasan yang tertangguh. Hakikatnya perkara ini sudah tidak perlu dijelaskan lagi, kerana ia sudah begitu jelas.

Contohnya, hari sudah siang, dan si buta sahaja yang tidak boleh mempercayai hari itu siang. Ataupun, si gila yang nampak hari sudah siang, tetapi tetap menafikannya. Lalu dia pun berkata "sebenarnya, hari tak siang pun, ini hanyalah propoganda semata-mata", walhal semua orang mengakui hari sudah siang. Pelik, pelik.

Untuk memberitahu kepada orang seperti ini, yang menafikan hubungan rasmi PMRAM dan Amin Daulah, cukup sekadar saya menayangkan cop PMRAM yang sudah sekian lama kita melihatnya.




Ia tertulis dalam Bahasa Arab yang bermaksud

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Jajahan Ikatan Kemasyarakatan Kaherah

Bernombor 803, tahun 1964

Atau dengan kata lain, PMRAM berdaftar sebagai NGO yang berpusat di Kaherah, semenjak 1964 lagi, dengan nombor pendaftaran 803. Ya, ketika itu JPMK masih belum wujud, kerana JPMK wujud pada 1980 lagi. Semoga Khairi sedar..

Untuk makluman, sekiranya cop ini diciplak, atau ditiruankan, boleh menjadi satu kesalahan undang-undang Mesir. Oleh itu, cop yang asli ini hanya terdapat di Pejabat PMRAM yang terletak di Kaherah.

http://ibnuirfadzil.blogspot.com/2010/05/pendaftaran-pmram-803-tahun-1964-dengan.html

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

PMRAM BERDAFTAR DENGAN KEMENTERIAN

PMRAM berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir secara rasminya. Saya adalah di antara kepimpinan yang pernah menghadap pihak Kementerian Kemasyarakatan Mesir dan membentangkan segala program PMRAM di hadapan mereka.

Gambar di atas adalah sewaktu KARNIVAL KERJAYA anjuran kerajaan Malaysia yang diadakan pada tahun 2007. Majlis dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Oleh sebab PMRAM berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir dan kita mempunyai hubungan rapat, PMRAM telah menghubungi pihak keselamatan memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia akan mengadakan program di dewan Cairo International Convention Centre (CICC). Oleh yang demikian, polis (seperti dalam gambar) akan menghadiri bersama-sama PMRAM dalam apa juga program yang PMRAM anjurkan dan sertai bersama.

Banyak lagi program PMRAM yang akan dihadiri oleh polis termasuk di Hayyu Asyir atau dimana-mana sahaja. PMRAM akan menghubungi polis setiap kali membuat program. Polis mengarahkan kepada PMRAM, "sekiranya berlaku perhimpunan di dalam keadaan ramai, maka hendaklah dimaklumkan kepada polis."

Kenyataan Khairi Jalaluddin yang merupakan 'bayi baru Mesir' wajar dipertikaikan. Beliau telah mempersendakan Presiden PMRAM dengan mengatakan Presiden PMRAM tidak mampu memberikan bukti untuk pegawai meminta izin PMRAM ke Muhafazah (daerah).

Persoalannya, bila PMRAM mengeluarkan qarar (undang-undang) supaya pegawai minta izin kepada PMRAM? Saya pernah membawa isu fitnah yang setiap tahun berlaku ini kepada pegawai Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK). Pihak KBMK sudah menerima jawapan daripada saya pada waktu itu dan mengatakan, "Oh, kenyataan yang saya dengar sebelum ini salah lah ya..."

http://typeace.blogspot.com/2010/05/pmram-berdaftar-dengan-kementerian.html

Ya Allah Peliharalah PMRAM

KAHERAH, 6 Mei – Bacaan Yassin hari ini berkumandang di Pejabat PMRAM, bacaan yang dipimpin sendiri oleh Naib Presiden I, Saudara Adlan Mokhtarddin dan dilantunkan doa oleh Saudara Khairul Anwar Ismail selaku Penasihat PMRAM. Sebelum majlis bacaan Yassin berlangsung, majlis dimulakan dengan solat sunat hajat. Majlis itu berlangsung sekitar jam 10 malam dan dihadiri oleh semua Badan Pengurus dan Penasihat PMRAM.

Setelah itu, majlis diteruskan lagi dengan ucapan dua orang Penasihat PMRAM iaitu Saudara Khairul Anwar Ismail dan Saudara Abdul Mu’izz Muhammad. Suasana ketika itu kelihatan sayu dan hiba apabila kedua-dua orang Penasihat PMRAM ini memberikan kata-kata peransang dan semangat. Mereka mengharapkan kepimpinan PMRAM pada tahun ini mampu dan berjaya menggalas amanah ini dengan sebaik-baiknya.

“Peliharalah hubungan kalian dengan Allah, yakin dan percayalah Allah pasti menjaga persatuan ini jika kalian sentiasa menjaga hak-hakNya” tegas Mantan Presiden PMRAM 2008, Saudara Khairul Anwar Ismail.

“Jika hari ini Allah masih lagi memelihara Ka’bah, sama-samalah kita mendoakan agar Allah menjaga PMRAM sepertimana Allah memelihara Ka’bah” ujar Mantan Presiden PMRAM 2009, Saudara Abdul Mu’izz Muhammad.

Sebelum penutupan majlis, Presiden PMRAM mengharapkan kepimpinan PMRAM agar dapat mengimbangi tuntutan sebagai pimpinan mahasiswa dan tuntutan pembelajaran.
“Jangan jadikan isu yang melanda ketika ini, sebagai penghalang untuk meneruskan gerak kerja Islam dan kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan yang bakal menjelma tidak lama lagi” nasihat Saudara Shahrizan Mohd Hazime.

Beliau berkata demikian ketika memberikan amanat di akhir majlis solat hajat dan bacaan yassin di Pejabat PMRAM malam ini.

Tentang ARMA : Fakta Yang Tidak Mungkin Berubah

Perintis permulaan perjuangan mendapatkan sebuah penempatan anak Melayu bukanlah satu usaha yang baru malahan usahanya menjangkau puluhan tahun melepasi beberapa dasawarsa kewujudan PMRAM di bumi Anbiya’ ini.Langkahan pertama diatur pada tahun 1932 ,pelbagai usaha telah diperhebatkan samada dari segi pengumpulan dana, pancarian lokasi dan penubuhan sebuah jawatankuasa yang dikenali dengan “ Panitia Rumah Melayu ”.Kewujudan jawatankuasa ini secara langsung bertindak dalam segala pengurusan yang berkaitan dengan ARMA.

Pengumpulan dana merangkumi dari pelbagai pihak termasuk jemaah-jemaah haji yang datang ke tanah suci Mekah.Di antara yang terlibat secara langsung untuk mendapatkan ARMA adalah Almarhum Dato’ Haji Abdul Jalil Hasan yang merupakan Pemangku Mufti Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1960. Beliau juga terlibat dengan penubuhan PPS ( Persekutuan Putera-putera Semenanjung ) pada tahun 1930 telah menyatakan bahawa jumlah dana Rumah Melayu yang terkumpul pada Bendahari PPS adalah sebanyak RM 1544.50.

Dengan usaha gigih generasi ketika itu ,beberapa sumbangan derma telah diperolehi di antaranya kunjungan Tuan Haji Hussien bin Haji Ya’qub (seornag peniaga Melayu terkenal di Kelantan), begitu juga yang berlaku pada 1952, Persidangan Raja-raja Melayu telah memutuskan supaya setiap Majlis Agama Negeri dan Pejabat Agama di setiap negeri melancarkan sumbangan dengan menetapkan jumlah yang tidak kurang daripada RM 6500.00.

Pada tahun 1954, Badan Pengurus telah mengambil inisiatif untuk terus berjumpa dengan Almarhum Presiden Mesir ,Jamal Abdul Nasir bagi memohon sebidang tanah yang bertujuan untuk pembinaan. Hubungan yang baik terjalin di antara PPS dan Kerajaan Mesir dibuktikan lagi dengan perjanjian Jamal Abdul Nasir yang akan memberikan sebidang tanah kepada PPS.

Setahun kemudian pada 1955,beliau telah memperuntukkan sebidang tanah dengan keluasan 600 meter persegi di dalam kawasan Bandar Kaherah [ Tahrir ] yang diberikan secara percuma yang pada ketika itu telah ditukar nama kepada PMM pada tahun 1952.
Akhirnya pada tahun pada tahun 1959 sebidang tanah yang berkeluasan 2,212 meter persegi telah sah menjadi milik PMM melalui sebuah majlis penyerahan geran tanah yang telah dihadiri oleh YDP PMM ketika itu Ustaz Wan Mokhtar Ahmad. Maka dengan itu telah termaktubnya pemilikan tanah tersebut yang diakui oleh Kerajaan Republik Arab Mesir malahan juga diperakui oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Maka peraturan - peraturan Asrama Rumah Melayu Abbasiah diwujudkan dengan disahkan oleh ketiga-tiga pihak iaitu Duta Besar Kaherah, Pengarah Jabatan Penuntut dan YDP PMRAM. Di antaranya peraturan-peraturan yang telah termaktub pada 1986 adalah seperti berikut :

- Pada ceraiaan 1.2 [ Pendahuluan ] – Asrama ini dibina oleh Kerajaan Malaysia dan diletakkan dibawah naungan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.
- Pada ceraiaan 1.3 [ Pendahuluan ] – Tapak bangunan ini diperolehi dari hadiah pihak berkuasa Kerajaan Mesir atas daya usaha dan jasa ahli-ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
- Pada ceraiaan 1.6 [ Pendahuluan ] – Anjung tingkat bawah Asrama ini adalah dikhaskan sebagai Pejabat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
- Pada ceraiaan 2.3 [ Pentadbiran dan Pengurusan ] – Dasar pentadbiran ARMA ini dapat diputuskan oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada :
• Pengarah JPM ( Pengerusi)
• Penyelia Asrama ( Setiausaha )
• Pegawai Kebajikan 1 ( AJK )
• Pegawai Kebajikan 2 ( AJK )
• Juruwati Asrama ( AJK )
• 3 Wakil PMRAM ( AJK )

** Jawatakuasa in bertindak dalam sebarang bentuk perubahan dasar dan membuat keputusan serta menjadi penasihat dan mempertimbangkan segala rayuan yang berkaitan dengan Asrama Rumah Melayu Abbasiah .
11.jpg
Namun begitu ,pada tahun 1992 KBMK telah memutuskan hubungan dengan PMRAM sekaligus menyatakan peraturan ARMA yang telah dipersetujui dahulu secara langsung dimansuhkan.Jika diteliti tiada satu ceraian dalam peraturan tersebut menyatakan apabila tiada kerjasama antara KBMK dan PMRAM maka secara langsung peraturan ARMA dimansuhkan. Usaha PMRAM tidak pernah pudar dek zaman yang terus laju melangkah ke hadapan oleh kerana yang sedemikian pada 13 November 2000, satu mesyuarat telah diadakan di antara Badan Pengurus PMRAM dan Duta Besar Malaysia Kaherah .Dalam perjumpaan tersebut ,beliau sendiri telah mengakui bahawa peraturan ARMA yang baru pada 1999 tidak sah kerana dibuat tanpa persetujuan dan pengetahuan pihak PMRAM.Wakil Penasihat dan Badan Pengurus PMRAM yang hadir bersama ketika itu, Presiden PMRAM Ustaz Mohd Nizam Mohd Noh, Ketua Penasihat Ustaz Anhar Opir, AJK Penasihat Ustaz Azhar Yahya, Badan Pengurus ,Ustaz Ahmad Arif bin Mohd Arshad, Ustaz Hasri Hassan dan Ustaz Muhidir Tamjis. Seterusnya pada ketika itu juga Peraturan ARMA 1971 dan 1986 masih diterima pakai ataupun dengan erti kata lain diiktiraf .

Burhubung hak pemilikan tanah, PMRAM mengiktiraf bahawa nama pemilik yang tercatat pada geran tanah itu pada masa kini ialah Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia), akan tetapi PMRAM tetap memiliki keistimewaan sebagai tuan tanah yang asal kerana usaha-usaha memperolehi tanah itu keseluruhannya adalah hasil perjuangan PMRAM dengan sokongan pelbagai pihak tanpa melibatkan kerajaan Malaysia. Pindaan nama itu dibuat oleh PMRAM hanya semata-mata bertujuan mematuhi protokol bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengeluarkan bantuan kewangan sebanyak 250,000.00 Ringgit Malaya yang telah dijanjikan. Perkara ini berlaku pada tahun 1959 apabila Tan Sri Khir Johari yang datang ke Mesir sebagai Menteri Pelajaran telah menyatakan bahawa wang peruntukan tersebut tidak dapat dikeluarkan melainkan setelah nama tanah itu ditukar kepada nama Persekutuan Tanak Melayu. Bagi menunaikan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, Panitia Rumah Melayu telah berusaha pula untuk menukarkan nama yang tercatat pada geran tersebut sebagaimana yang ditetapkan. Akhirnya pada bulan Jun 1960, sempurnalah proses penukaran tersebut dan wang bantuan yang dijanjikan dapat disalurkan.

Perihal ini telah menjadi bukti bahawa,PMRAM masih lagi mempunyai hak ke atas ARMA sehingga kini. Cuma apa yang berlaku hari ini adalah beberapa peraturan ARMA telah diubah tanpa sebarang makluman dan persetujuan daripada pihak PMRAM seperti yang telah termakbtub di dalam peraturan ARMA.