Jumaat, Julai 30

Umno salah tidak benar guru berpolitik


Oleh: Muhammad Yusri Amin
sumber:Harakahdaily

KOTA BHARU, 30 Julai: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap tindakan tidak membenarkan guru bergiat dalam politik sebelum ini adalah tindakan yang salah, bahkan sebagai pengamal ilmu salah.

Ini, katanya kerana golongan guru adalah mereka yang mempunyai ilmu dan mengerti dalam banyak perkara.

“Jadi, macam mana orang yang mengerti tidak dibenarkan berpolitik? Itu satu kerja yang salah Umno.

“Mana boleh, seorang cikgu yang berilmu kita (kerajaan) tidak benarkan mereka berpolitik. Ini kerja salah, kerja orang yang mengamalkan ilmu salah,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi tadi.

Beliau mengulas langkah terbaru pihak Kerajaan Persekutuan yang bercadang membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik bagi memastikan golongan tersebut diberi kebebasan sepenuhnya tanpa sekatan tertentu.

Kerajaan Persekutuan bercadang meminda Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini sebagaimana diumumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan baru-baru ini.

“Kenapa disekat cikgu, disekat tok guru daripada berpolitik? (Adakah kerajaan) takut diketahui keburukan mereka?

“Doh mu buat buruk (maka) diketahui oranglah,” katanya sambil mengulangi penegasannya bahawa golongan guru sepatutnya dibenarkan bergiat dalam politik sejak awal-awal lagi.

Baginya, akta mengenai sekatan itu tidak ada di atas dunia ini.

“Ini kerana ‘politik’ adalah menyentuh segala perkara termasuk bidang akidah, ibadat, ekonomi dan rumah tangga.

“Adalah menjadi satu perkara pelik apabila Umno buat terhadap sama ada pegawai kanan guru atau tidak selama ini dengan tidak membenarkan mereka berpolitik,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyifatkan bergiat dalam bidang politik diberi ganjaran pahala oleh Allah swt selain mendapat dosa sekiranya dilakukan tidak selaras dengan ajaran Islam.

“Nabi Muhammad s.a.w. sendiri adalah ‘orang politik’ yang paling terkemuka, Baginda menjaga orang (umatnya) dari dunia sampai ke akhirat, bukan menjaga mereka setakat di kubur saja,” katanya.

Mengulas sama ada kebebasan berpolitik di kalangan guru boleh menjejaskan prestasi mereka di sekolah, Mursyidul Am PAS itu berkata itu terserahlah kerapa sikap guru berkenaan.

“Saya adalah orang politik, sejak dahulu saya mengajar agama. Di samping bertugas mengajar, tidak ada apa pun gangguan.

“Saya mengajar sokmo-sokmo, sejak daripada hari pertama saya balik (dari belajar di luar negara) ke Malaysia pada 1962, saya terus mengajar termasuk mengajar di sekolah, dan sehinggalah ke pagi ini, saya terus mengajar,” katanya.

KOMENTAR:

Ayuh bangkit wahai guru-guru. Engkau berhak kehadapan menunjukkan perkara yang haq dan benar kepada ummah terutama kepada seluruh anak didikmu.Perananmu wahai guru bukan setakat mengajar akan tetapi mendidik dan mentarbiyyah anak bangsa. Tidak menjadikan tugasan mengikut waktu sahaja tetapi ianya melewati batas waktu dalam menjadi seorang murabbi yang benar-benar ikhlas dalam mendidik anak muridmu.

Ayuh guru-guru,kita sama-sama melibatkan diri kita dalam seluruh espak kehidupan dengan acuan agama Islam. Berpolitik cara Islam. Memilih pimpinan negara cara Islam. Pentadbiran negara tunggak utama dalam memastikan akhlak anak-didikmu berjaya dunia dan akhirat.

Engkau perlu menjadi qudwah contoh terbaik buat manusia wahai guru-guru. Kerja buat engkau adalah berpaksikan ilmu mengajar manusia kenal ALLAH dan rasulNYA.. Wahai guru-guru, jadilah dirimu sebagai lilin menerangi seluruhnya anak bangsa.

Isnin, Julai 26

Persiapkan Diri Untuk Ke Sekolah Ramadhan..

Muqaddimah:

Bulan Ramadhan memiliki keutamaan dan keistimewaan yang besar. Semua amal soleh yang kita lakukan pada bulan ini akan mendapat balasan lebih banyak dan lebih baik berlipat kali ganti. Oleh karena itu, kita sangat-sangat dianjurkan untuk memperbanyak amal kebajikan dan meninggalkan kemaksiatan.

Pejam celik-pejam celik mata ini sedar-sedar kita dah nak dekat dengan bulan Ramadhan dah. Lagi 2 minggu. Persoalannya, dh bersedia ke kita menerima Ramadhan kali ni??? Pe persediaan kita?? Apa pula bekalan kita sebelum ramadhan ini tiba??

Perumpamaan di sini adalah seperti kita hendak menerima tetamu datang ke rumah kita. Tetamu itu pula orang besar, Tuan guru contohnya. Nak datang rumah kita dalam masa 2 minggu lagi. Pe persiapan kita?? Adakah dengan ala kadar je?? Rumah berselerak, kitab-kitab tidak tersusun, anak-anak tidak diambil kira, makanan di merata-rata, sampah sarap penuh tidak disapunya, tidak selesa baunya, dan banyak lagi keadaannya.Adakah begitu keadaan rumah hendak menerima tetamu seorang alim ulamak datang...Adakah dengan cara itu? MasyaALLAH, teruknya...

Begitulah juga apabila datangnya bulan yang mulia, bulan Ramadhan. Kita perlu bersedia menerimanya. Dengan persiapan yang penuh teliti dan cermat kita hiasi setiap sudut supaya datangnya membawa rahmat dan pemergiannya kita perolehi keberkatan daripada ALLAH Taala. Natijah pada akhirnya kita datang mumtaz di sisi ALLAH Taala. Tu terbaik..

Marilah kita sama-sama berbuat persiapan:

1. Pastikan diri kita dan keluarga terdekat kita sudah selesaikan hutang tertunggak(sudah pun mengganti puasa yang ditinggalkan) sebelum datangnya Ramadhan ini

2. 2 bulan sebelum Ramadhan kita sudah mula berjinak dengan puasa-puasa sunat.Tidak menunggu bulan Ramadhan baru bermulanya berpuasa.

3. Selalu doakan dan munajat kepada ALLAH Taala semoga dipanjangkan umur bertemu ramadhan akan datang.

"Ya Allah, berkatilah kami dibulan Rajab dan Sya'ban dan pertemukan kami dengan bulan Ramadhan." (HR Ahmad)

4. Lazimi amalan-amalan sunat yang lain seperti bacaan quran, zikir pagi petang, sedekah, bangun malam, selawat, dan semua amalan baik supaya datangnya Ramadhan tidak memberatkan kita.

5. Sifat ikhlas perlu diterap dan dididik dalam hati sanubari. Ikhlas dalam setiap amal islami yang dibuat.

6. Tidak tinggalkan amalan harian dan bulanan seperti hadiri mesyuarat dan usrah-usrah ilmiah.
Berkecimpung dengan masyarakat sampaikan dakwah Islam, tegakkan daulah.

7. Tidak dilupakan amal tarbawi walaupun dalam bulan Ramadhan.

8.Tazkiyatun nufus wal arwah (mensucikan jiwa dan ruhani) agar kita memiliki kemampuan untuk memikul beban pada masa mendatang.

9. Jauhi maksiat kepada ALLAH Taala.

10.- Komitmen yang sempurna dengan nilai, prinsip dan akhlak Islam yang mulia.

Ini adalah sebahagian yang boleh saya kongsi, semoga ianya berguna buat kita dalam mempersiapkan diri berhadapan dengan bulan Ramadhan yang akan datang tidak lama lagi. semoga kita semua diberi kekuatan iman dan islam.

Sabtu, Julai 24

Tolak perpaduan asabiyah Umno.. sertai PAS, parti ISLAM sedunia


Sebagai sebuah parti Islam, PAS mengasaskan perjuangannya untuk memupuk dan memperkuatkan ukhuwwah Islamiah serta menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat dalam segenap aspek.

PAS mengasaskan perpaduan di atas prinsip Islam, memperkenalkan nilai-nilai Islam dalam usaha menegakkan keadilan dalam bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Pada pendapat PAS, perpaduan mestilah dipaksikan dengan ketakwaan kepada Allah SWT.

Prinsip-prinsip ini digariskan dengan jelas menerusi firman Allah (mafhumnya):

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah al-Imraan, ayat 102-104)


Adapun sejak akhir-akhir ini Umno mula memainkan kembali 'jarum' perpaduan, kononnya masa depan Islam dan Melayu akan musnah jika PAS dan Umno tidak bersatu.

Kita mengajak kepimpinan Umno dan ulama-ulama yang sewaktu dengan mereka, untuk menghayati dan memperhalusi ayat-ayat Allah yang dipaparkan di atas.

Sebelum ulama-ulama upahan ini menjadi orang tengah untuk menyatupadukan PAS-Umno di atas dasar Islam dan Melayu, mereka harus mengkaji dan menilai kembali, pada aspek mana perjuangan Umno dan pelaksanaan pemerintahannya selama lebih 50 tahun ini, menepati ayat-ayat di atas?

Umno yang mendakwa dirinya parti Melayu-Islam tidak pernah mengasaskan tunjang pemerintahan di atas dasar takwa kerana asas perjuangan mereka adalah nasionalisme atau asabiyah.

Asabiyah yang dianuti Umno merosakkan mereka. Umno adalah Melayu, PAS juga Melayu. Tetapi mengapa mereka memusuhi PAS sekian lama, menindas dan mendiskriminasi pemimpin, ahli dan penyokong PAS? Mereka juga meminggirkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS.

Selain daripada itu Umno juga menghalang pelaksanaan Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Umno juga menyekat, melarang dan menangkap pemimpin-pemimpin PAS yang menyampaikan kuliah di masjid-masjid dan surau-surau.

Ini belum termasuk dasar-dasar kerajaan yang menghancurkan masa depan Melayu seperti PPSMI, dasar bahasa dan sebagainya.

Hakikatnya, perjuangan Melayu-Islam untuk sudah jauh tersasar. Mereka terlalu rasis sehingga meminggirkan bangsa Melayu sendiri. Yang dipimpin, dibela, diberi biasiswa, dibantu hanyalah Melayu Umno.

Umno tidak layak menjadi parti harapan orang Melayu lagi. Umno harus dibubarkan kerana ia sudah gagal. Ia adalah parti yang memperjuangkan asabiyah sempit, parti kroni dan juak-juak.

Dalam keadaan Umno yang semakin di penghujung hayat, mereka cuba bergayut di dahan PAS dengan mengumpan agenda perpaduan. Hakikatnya Melayu tiada pilihan lain selain bersatu di bawah payung PAS. Selepas perjuangan Melayu gagal membela Melayu, kali ini beri peluang kepada parti Islam, perjuangan Islam untuk memelihara martabat Melayu.

Sumber:Harakah
Oleh: Mohd Rashidi Hasan

Rabu, Julai 21

Hari ke-7 buat mujahidahku... SOFIYYATUL 'ULYAA BT MOHD FAIZOL

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI DENGAN INI KAMI MENGISTIHARKAN NAMA ANAK SULANG KAMI YANG TELAH SELAMAT DILAHIRKAN PADA 4 SYAABAN 1431 H BERSAMAAN 16 JULAI 2010...

IAITU: SOFIYYATUL 'ULYAA BT MOHD FAIZOL

KAMI POHON DOA DAN RESTU DARIPADA SELURUH RAKAN TAULAN TERUTAMANYA DARI IBU-BAPA KAMI SEMOGA ANAK INI MENJADI ANAK SOLEHAH DAN SRIKANDI BUAT PERJUANGAN ISLAM. ALLAHUAKBAR.....

DRPD KAMI PASANGAN:

ABI: MOHD FAIZOL ENDUT
UMMI: SITI ANISAH HJ AHMAD

Khamis, Julai 15

GEMPAK: Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini (15 Julai).

Perdana Menteri ketika mengumumkan kenaikan memberikan alasan:

Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.

komentar:

Dengan kenaikan 5 keperluan secara serentak, adakah tidak membebankan rakyat?? khasnya rakyat yang berpendapatan rendah.. Rakyat yang gaji kerjanya hanya RM 10-15 sahaja sehari.. Nak manyara kehidupan isteri dan anak-anak.. Berfikir panjang juga dibuatnya. Orang-orang kerajaan berpendapatan tinggi takpela, ni orang-orang kampung yang "kais pagi makan pagi,kais petang makan petang.." pe cerita nanti dengan mereka ni??


Kalau naik
satu-satu barang xpe la. Ni sekali naik 5 barangan keperluan.. Tidak sempat nak ejas cari duit bagi mereka yang kurang kemampuan. Pimpinan perlu cekap dalam membuat keputusan. Pemimpin negara perlu mengambil kira kepada semua peringkat supaya rakyat tidak terasa terbeban.

Teringat saya pada kisah saidina Umar. Satu malam, keluar berjalan malam melihat rakyatnya. Terjumpa dengan seorang ibu sedang menidurkan anak-anaknya yang teresak-esak menangis. Apabila ditanya, ibu tu menjawab anak-anaknya lapar menunggu masakan di atas dapur kayu itu yang dalamnya adalah batu-batu yang dipanaskan oleh si ibu.Kerana terdesak, si ibu pura-pura masak walaupun di dalamnya batu. Si ibu panaskan supaya anaknya tertidur, tidur dalam keadaan lapar. Kerana kurang kemampuan, tiada bekalan keperluan asas.

Si ibu merintis , ini adalah kerana Umar yang memerintah.. Tidak mengambil tau hal keadaan rakyatnya. Si ibu tidak mengetahui bahawa insan yang bersama ibu itu adalah Umar.. Kesedihan buat Umar dan beliau terus ke gudang memikul sendiri gandung dan keperluan lain dan terus masak dengan sendiri oleh tangan pemimpin bernama Umar..Dalam keadaan mengalir air mata Umar.. " adakah aku telah menunaikan tangungjawab aku sebagai ketua nagara" luahan saidina Umar..

Ada tak lagi pimpinan sebegitu?? tu contoh tauladan buat kita dan pimpinan khasnya.. Nak ikut siapa lagi kalau bukan sahabat-sahabat Nabi S.A.W??? nak ikut nafsu semata-mata??? minta dijauhkan. Biar kita dapat jawab di hadapan ALLAH Taala nanti atas apa amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita..

Semoga ALLAH melahirkan di kalangan kita orang seperti pimpinan UMAR Al-Khattab atau pun UMUR abdul Aziz. Jauh daripada anasir THOGHUT.. AMIN..


Rabu, Julai 14

ISU UMNO HENDAK KERJASAMA DENGAN PAS: kerana ISLAM atau ada udang disebalik MEE???

PAS sudah tolak berunding dengan Umno
Nik Abdul Aziz Nik Mat

Sukacita saya merujuk kepada laporan beberapa akhbar hari ini (14 Julai 2010), khususnya menyentuh permasalahan hubungan PAS dengan Umno.

Sukacita dinyatakan, isu berunding antara PAS–Umno sudah selesai. PAS sudah menolak untuk berunding dengan Umno. Sekarang PAS sudah menerima kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Kalau Umno ingin sangat menjaga perjuangan orang Melayu, lebih baik Umno menukar dasarnya kepada Islam. Kerana Islam yang menyelamatkan manusia dan KITA HARUS INGAT penghujung hidup manusia adalah Akhirat. Sebab itu, Islam mengajar hidup manusia mesti berpandukan ad-Din, iaitu cara hidup berpandukan agama. Hanya agama diambil kira di Akhirat.

Atas maksud untuk memenuhi tuntutan hidup beragama, maka setiap kali umat Islam sembahyang, hendaklah membaca al-Fatihah yang di dalamnya mengandungi perkataan “maliki yaumiddin” yang bermaksud hari agama, hari berlakunya pembalasan mengikut neraca agama. Sementara agama itu pula terkandung di dalam 30 juzuk al-Quran. Oleh sebab itu, Islam mengajar kita supaya menerima pakai semua ayat al-Quran sebagai panduan hidup. Kita tidak boleh pilih untuk pakai ayat-ayat tertentu, sementara ayat-ayat tertentu pula kita tolak.

Atas prinsip agama begini, maka PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar tahun 1990 dan 2008 lalu.

Apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, maka Umno boleh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat. Bila Umno boleh bersama PAS atas dasar Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh.

Sekaranglah masanya untuk Umno menukar dasar Melayunya itu. Jangan terikut-ikut dengan puak Yahudi. Kerana pengasas perjuangan bangsa itu adalah puak Yahudi. Ia disambung pula oleh puak Arab. Sedangkan perjuangan atas dasar kaum atau bangsa tidak diterima di sisi Nabi Muhammad SAW. Sedangkan di akhirat kelak kita akan masuk syurga. Untuk masuk syurga mestilah dengan syafaat Nabi. Macam mana untuk mendapat syafaat Nabi sekiranya kita berjuang tidak mengikut seruan Nabi.

Wallahu’alam.

YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.

Isnin, Julai 12

ISU SEMASA: Kepincangan dalam kerajaan UMNO/BN..rakyat mesti kuasai isu

Apa cerita ni UMNO Ghanu sokong judi, dah x tau halal-haram dah ke??

Mood rakyat yang kian sedar dan membara ekoran melihat isu penyerahan tanah KTM di Tanjong Pagar pada Singapura; gadai dua telaga minyak (Blok L dan Blok M) pada Brunei; kes pembunuhan Altantuya; skandal kapal selam Scropene; serta perlantikan Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) yang dikatakan pro Yahudi sebagai syarikat komunikasi kerajaan, sudah tentu memberi kelebihan pada PAS dan Pakatan Rakyat.

Pelawaan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Lokman Nor Adam kononnya PAS lebih mudah melaksanakan Islam sekiranya bekerjasama dengan Umno adalah sandiwara Umno semata-mata.
Mungkin UMNO dah tersempit dan tunggu masa untuk ditumbangkan oleh rakyat.

"Kalau Umno ikhlas nak laksana Islam, mereka boleh buktikan sekarang, tak perlu 'main wayang' dengan PAS," ujar beliau sambil menyifatkan kenyataan Lokman itu bertujuan memecahbelah muafakat Pakatan Rakyat.

"Saya tak mahu Negara Islam versi Umno sebab negara kekal dalam kezaliman ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), mahkamah tidak bebas, rasuah sana sini, sokong judi bola, amalkan politik membenci kaum-kaum lain yang tidak sokong Umno dan banyak lagi sebenarnya."

"Dalam Perjanjian Fudhul Hudaybiah, sebelum Perang Badar dan waktu memeterai Perjanjian Madinah pun, Nabi sendiri bersama-sama orang Islam dan yang bukan Islam untuk lawan kezaliman, apa masalahnya dengan DAP dan PKR.

" Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar"



Darihal Isra' Mi'raj

Isra' Mikraj adalah antara proses kematangan kerohanian Rasulullah s.a.w dalam menempuh perjuangan baginda. Ketika ini, seluruh tubuhnyadibalut keletihan. Jiwanya dibungkus keresahan.

Letih, lesu dan resah gelisah yang berkubang di jiwa raganya dipendam bersendirian saat mengenang apakah lagi malang nasib yang jatuh ke atasnya bertimpa-timpa pada masa-masa yang akan datang.

Khadijah, saudagar wanita, penyokong sendi kekuatannya telah wafat. Abu Talib, bapa saudaranya, tonggak perjuangan dan penampan kepada serangan kafir Quraisy telah pun pergi meninggalkannya.

Selama ini, rasa segan terhadap Abu Talib dalam kalangan musyrikin itulah yang menyelamatkannya daripada serangan yang berlaku akibat dakwah itu.

Bermodalkan kedudukannya sebagai anak saudara Abu Talib, maka tiada sesiapa pun yang berani menyentuh baginda.

Tetapi keadaan telah berubah kini. Dengan kewafatan Khadijah disusuli pemergian Abu Talib, akar tunjang dan tonggak kekuatan lambang keutuhan perjuangan dakwah baginda telah hilang.

Pemergian kedua-duanya berlaku dalam tahun yang sama. Hal ini begitu terkenal dalam sirah sehingga sejarawan telah menamakan tahun tersebut sebagai 'Tahun Kesedihan' ('amul huzni).

Bayangkan, bagaimana baginda dapat menempuh kehidupan ini bersendirian dengan Fatimah yang masih kecil. Apalah sangat yang mampu dilaksanakan gadis sekecil itu melainkan dengan menyapu najis unta yang dilumurkan ke atas kepala baginda ketika sedang bersujud di depan Kaabah.

Allah maha besar! Allah maha berkuasa. Tidak sesekali Dia meninggalkan kekasihNya dihimpit derita itu bersendirian. Sudahlah ketika kecilnya dia kehilangan bapa ketika masih dalam kandungan, malah al-Amin juga ditinggalkan oleh ibu dan datuknya ketika masih kecil.

Kini, menjelang dewasa, ketika dia diarahkan Tuhan untuk menyebarkan dakwah, maka dia diuji dengan rasa bersendirian menanggung bebanan dakwah ini.

Bagi tujuan menghibur baginda, dan atas tujuan mengingatkan pertalian perjuangan risalah ini yang ada kaitan dengan perjuangan nabi terdahulu, maka itulah antara sebabnya kenapa baginda dijemput Tuhan ke langit tertinggi.

Isra' Mi'raj adalah suatu peristiwa yang teragung dalam bulan Rejab, setahun sebelum penghijrahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat, beramai-ramai ke Madinah.

Ertinya, Isra' Mi'raj adalah 'turning point', titik permulaan Islam mula bertapak di Mekah, solat mula diisytiharkan sebagai suatu amalan dan ketika itu hidup Muslimin penuh dengan riwayat sengsara dan gangguan sehingga memaksa mereka mencari perlindungan di Madinah. Lalu, dengan itu terbentuklah sebuah Negara Islam yang pertama di dunia.

Ini kerana, sejurus kembalinya baginda membawa khabar berita, gambaran peristiwa langit, maka baginda dicela Abu Lahab, bapa saudaranya sendiri. Bermula saat itu, tekanan ke atas baginda telah bermula. Itu perkara yang pertama.

Yang kedua, Isra' Mi'raj adalah satu 'turning point' di mana Islam itu terasas dengan begitu kukuh oleh kerana telah termaktub suatu resolusi dari langit mengenai kefardhuan solat yang mana sebelum itu, solat belum lagi diperkukuhkan sebagai suatu amalan yang wajib.

Tiga pihak, dua kejadian

Resolusi mengenai kewajipan solat itu melibatkan tiga pihak, dua kejadian. Pihak yang terlibat dalam hal 'mewajibkan' solat itu ialah Allah s.w.t, Nabi Musa a.s yang berunding dengan Rasulullah s.a.w dan hasil ulang-alik Nabi Muhammad s.a.w menemui Allah s.w.t untuk mengurangkan jumlah bilangan solat fardhu tersebut.

Selain itu, dua peristiwa yang menyebabkan timbul rasa ghairah supaya diwujudkan suatu mekanisme perhubungan langsung antara manusia dengan penciptaNya, ialah kerana baginda telah menyaksikan gelagat para malaikat yang telah bersujud, rukuk kepada Tuhan dengan lain-lain perbuatan yang mirip kepada solat hari ini.

Peristiwa kedua, ialah ketika Nabi Muhammad s.a.w sendiri diangkat menjadi imam untuk mengerjakan solat di mana para makmum di belakangnya adalah nabi-nabi yang terdahulu sebelum baginda.

Lalu, terfikir di benak baginda, alangkah baiknya jika diwujudkan suatu mekanisme yang menyebabkan manusia sentiasa dapat berhubung dengan Tuhannya lewat ibadat tersebut.

Keghairahan Rasulullah s.a.w mengenai solat itu tergambar ketika hampir tiba saatnya baginda wafat. Di bibir baginda hampir tidak lekang menyebutkan, "Ummati.. as-Solah.." (Umatku.. sembahyang..)

Betapa tidak! Nabi Muhammad s.a.w telah naik ke langit menyaksikan malaikat bersujud hingga baginda tentang bagaimana mahu umatnya bersujud sebegitu rupa dengan tempoh lama dan penuh semangat.

Tetapi, amalan berat seperti solat ini telah diminta dikurangi oleh Musa a.s apabila nabi itu teringatkan pengalaman Bani Israel yang berat menerima perintah solat tersebut.

Sebab itu, kita dapatlah memahami kenapa sampai begitu tebal sekali baginda mengingatkan hal tersebut kepada umatnya berhubung solat, hatta ketika hampir wafat sekali pun. Tidaklah disebut hal zakat, puasa dan lain-lainnya, melainkan solat itulah yang kerap diperingatkan baginda.

Pembebasan Palestin

"Maha suci Allah yang membawa hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa (Palestin) yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah juga yang amat mengetahuinya." (Surah al-Isra': 1)

Ada riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w diarah Jibril agar berhenti, bersolat dua rakaat, seperti di Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah s.a.w akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa a.s dilahirkan).

Unsur kesengajaan memang wujud di sini walaupun dalam nas di atas, hanya perihal Israk sahaja yang dihebahkan Tuhan. Langsung sahaja Tuhan menyebut tempat berlepas Rasulullah s.a.w itu dari Masjidil Aqsa yang kini berada dalam tahanan Yahudi Zionis.

Seolah-olah Tuhan mahu beritahu kita sesuatu, apakah tindakan kita untuk membebaskan Masjid al-Aqsa? Sebagai Muslimin individu yang terhad kuasanya, kita mungkin boleh diampunkan dengan sebab kita telah mengeluarkan wang ringgit untuk membantu seadanya, termasuk menggesa negara berbuat sesuatu tanpa melibatkan PBB.

Yang patut menjawab di hadapan Allah s.w.t kelak ialah para pemimpin negara Islam yang tunduk berdiam diri dan hanya bertawakal kepada PBB untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.

Syahadan, mungkin tak perlu diletakkan perihal mi'raj ke langit oleh sebab langit itu tiada nama yang khusus seperti halnya di bumi. Tapi, sengaja disebutkan Masjidil Aqsa guna menyentuh hati nurani Muslim agar peka ke atas pergolakan di sana yang berombak dengan lautan darah dan membadai dengan air mata.

Pada zaman ini, kita boleh saja menaiki pesawat terbang ke udara. Perihal naik ke udara itu tidak perlulah ditekankan sangat sebab kawasan langit dan laluan udara tempat laluan pesawat itu tidak penting sangat untuk diketahui.

Yang penting diketahui adalah tempat di mana pesawat kita mahu berlepas (departure) dan tempat di manakah pesawat itu bakal mendarat (landing). Ertinya, terbang ke awan itu sudah diketahui umum, tapi yang diperkirakan orang ketika mahu berpergian ke mana-mana ialah di tempat mana pesawat mereka mahu berlepas dan di tempat mana ia akan mendarat.

Sebab itu, kita jangan hairan kenapa nas itu tidak menghebahkan soal mi'raj, sebaliknya cuma menyebut tempat berlepas ketika Isra' (berjalan malam). Tuhan menyebutkan Masjidil Aqsa itu bererti, tempat itu amat penting dan bernilai.

Sebagai termaklum, selepas peristiwa Isra' Mi'raj, solat difardhukan. Tempoh daripada kisah itu hingga penghijrahan ke Madinah memakan masa selama setahun. Dan, ketika di Madinah juga, Muslimin masih berkiblat kepada Masjidil Aqsa.

Maka, sebelum mendapat arahan bahawa Muslimin wajib solat fardhu lima waktu, Nabi Muhammad s.a.w diminta 'berkenalan' terlebih dahulu dengan kiblat pertama kita di Baitul Maqdis itu, sebuah daerah kelahiran Nabi Isa a.s dan tempat Nabi Musa a.s menempatkan Bani Israel dalam sebuah negara merdeka dalam riwayat-riwayat terakhir perjuangan dakwahnya.

Maka, sejurus tibanya baginda ke Mekah, ketika itulah bermulanya solat dengan kiblat terarah ke Masjidil Aqsa; kiblat pertama yang mana Nabi Muhammad s.a.w telah diperkenalkan terlebih dahulu dengannya sebelum ini.

Seolah-olahnya, sebelum menerima perintah solat yang wajib itu, Tuhan juga mahu berbicara kepada kekasihnya, "Inilah nantinya yang akan menjadi kiblat umatmu kelak!"

Mirip kisah tarbiyah Musa - Khidhir

Perjalanan kerohanian Nabi Muhammad s.a.w bersama Jibril a.s itu mirip kepada tarbiyah Khidhir a.s ke atas Musa a.s dalam surah al-Kahfi. Dalam perjalanan, ada saja penglihatan yang terbentang dan pengajaran yang baginda lihat.

Diriwayatkan bahawa baginda telah menyaksikan golongan yang sedang bertani dam terus menuaikan hasil pertaniannya.

Baginda juga menyaksikan tempat berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun, kaum sedang memecahkan kepala, kaum yang menutup kemaluan dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah berbau busuk.

Rasulullah dibawa ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan nabi dan rasul, termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim yang sedang berada di Baitul Ma'mur bersama beberapa kaumnya.

Rasulullah s.a.w juga melihat golongan yang sedang menanggung satu bebanan. Ketika bebanan itu berat, mereka menambah lagi bebanan itu sehingga mereka tidak terdaya lagi menanggungnya.

Demikian iktibar ke atas penguasa yang tidak kuat menanggung amanah rakyat, tapi masih sanggup lagi menanggung amanah rakyat yang akhirnya menyebabkan mereka menderita azab yang parah di akhirat kelak.

Demi sesungguhnya, iktibar dan pengajaran Isra' Mi'raj ini tak akan sampai tamat diulas kerana falsafahnya sangatlah kaya sekali sehinggakan kita tidak akan jemu-jemu meneliti kisah ini.

Sebuah kisah yang sarat dengan inti pengajaran dan padat dengan iktibar khususnya kepada pemerintah yang masih enggan menginsafi segala kejahatan yang dilakukannya selama ini sehingga mengundang musibah besar ke atas rakyatnya pula.

Sumber: harakahdaily.net

Menjelajah sambil menginsafi kebesaran ALLAH taala.

Di German pokok berbentuk kalimah Tauhid

Lebah tertulis kalimah Allah


Kebenaran dari Al-Quran surah ar Rahman ayat 55..


Subhanallah.....Pokok sujud selamanya...


Batu kalimah Allah




Sabtu, Julai 10

PENDIDIKAN bermula dari alam rahim: Amalan suami ketika isteri mengandung

Perkara-perkara yang perlu diamalkan oleh suami ketika isteri mengandung:

1. Suami hendaklah banyak bertaubat kepada Allah SWT

2. Banyak membaca Al-Quran dan mengharapkan agar anak yang ada dalam kandungan
isteri akan memahami keinginan baik yang terkandung dalam Al-Quran tersebut.

3. Suami hendaklah banyak berpuasa sunat, Isnin dan Khamis dll.

4. Suami hendaklah rajin mengerjakan solah berjemaah.

5. Elakkan pergi ke tempat yang tidak dibenarkan syarak.

6. Rajin menghadiri majlis ilmu dan orang-orang soleh.

7. Suami hendaklah banyak bersabar dalam menjalin hubungan dengan isteri.

8. Dilarang memakan benda-benda haram, begitu juga dilarang memberi isteri
rezeki yang tidak halal, rasuah serta wang riba.

9. Banyak membaca doa keselamatan isteri yang sedang mengandung dan keselamatan
anak dalam kandungan.

10. Dilarang membuka aurat kerana dikuatiri mempengaruhi akhlak anak yang akan lahir nanti.

11. Suami hendaklah menjauhi diri daripada marah dan benci pada isteri.

12. Banyak membaca surah Al Fatihah, Luqman, Yasin, Yusuf, Surah An Nahl ayat 78,
surah Al A'raf ayat 189 dan ayat Kursi.

Jumaat, Julai 9

PENDIDIKAN: Jalan untuk merubah masyarakat, membentuk pemimpin dan mewujudkan suasana aman

Apa yang saya huraikan di sini adalah mengenai pendidikan sepertimana yang perlu kita semua fahami dari ajaran Islam yang diperkenalkan oleh alim-ulamak bagaimana mereka terapkan..

Pendidikan itu jalannya panjang dan kesulitannya
banyak. Hanya sedikit orang yang sabar menempuh jalannya yang
panjang dan kesulitannya yang banyak, iaitu orang yang berkemahuan
keras..

Akan tetapi pendidikan itu
satu-satunya jalan yang dapat menyampaikannya kepada tujuan dan
tidak ada jalan lain lagi. Itulah jalan yang ditempuh oleh Nabi SAW
untuk membentuk generasi teladan yang diridhai Tuhan, yang tidak
pernah disaksikan bandingannya oleh dunia. Mereka inilah yang
melaksanakan pendidikan bagi berbagai bangsa dan mengarahkannya
kepada kebenarah dan kebaikan.

Rencana pendidikan mempunyai tujuan tertentu, langkah-langkah
yang jelas, sumber yang terang, bahagian-bahagian yang saling
mendukung, dengan sistem beraneka ragam dan ditegakkan atas falsafah
yang jelas, digali dari ajaran Islam bukan dari ajaran lainnya

Pemimpin atau guru yang mendidik dengan bakat, ilmu dan pengalamannya
yang dianugerahkan kepadanya kekuatan iman yang luar biasa,
membekas pada setiap hati orang yang berhubungan dengannya,
melimpah dari hatinya ke hati orang-orang di sekitarya.

Adalah sejumlah pendidik yang ikhlas, kuat dan terpercaya yang
menyakini jalan yang dibentangkan oleh pimpinan. Mereka mempunyai
pengaruh terhadap murid-muridnya dan mereka ini menjadi pendidik -
pendidik bagi generasi sesudahnya, demikianlah seterusnya.

Dengan para pendidik di sini tidaklah saya maksudkan alumni Perguruan
Tinggi Ilmu Pendidikan atau pemegang ijazah Majester (MA) dan Doktor dalam
pendidikan. Yang saya maksudkan ialah orang yang memiliki "kualiti" iman yang
tinggi, kekuatan jiwa, keberanian hati, kekerasan kemahuan, kelapangan dada dan
kesanggupan mempengaruhi orang lain
.Mungkin mereka seorang jurutera atau
pegawai rendahan atau pedagang atau buruh, diantara orang-orang yang tidak
mempelajari dasar-dasar pendidikan atau sistemnya.

Rujukan: PENDIDIKAN ISLAM DAN MADRASAH HASAN AL-BANNA

Isnin, Julai 5

JIWA PIMPINAN: HARAPAN SEORANG AYAH KEPADA ANAK...

TITM: Saya mempunyai 8 orang anak – 3 lelaki dan 5 perempuan. Anak sulung lelaki berusia 22 tahun, bersama anak kedua, ketiga dan keempat sedang belajar di Universiti Islam Antarabangsa cawangan Kuantan dan Gombak. Dua anak berada di sekolah menengah manakala dua lagi di sekolah rendah.

Nasihat buat anak-anak macam orang lain juga, dua perkara utama ialah solat berjamaah di awal waktu dan al-Quran mesti dibaca setiap hari. Tentang penglibatan diri dalam jamaah adalah wajib.

Kita perlu melahirkan sekurang-kurangnya seorang petugas jamaah setiap rumah.

Pengalaman dibesarkan dengan menghormati ibubapa dan guru sangat besar kesannya dalam kehidupan saya sekeluarga. Emak sering berpesan 'jangan sesekali menyakiti hati guru, kamu tidak akan berkat selama-lamanya. Kerana keberkatan ilmu lebih penting dari banyaknya ilmu".

SA: Saya mempunyai enam orang anak - yang sulong berusia 24 tahun sudah bekerja sambil belajar lagi, yang nombor dua, tiga dan empat semua berada di universiti, yang kelima mengambil SPM tahun ini dan yang kecil sekali baru darjah empat.

Saya mahu mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Mereka kena menimba ilmu yang sebanyak-banyaknya kerana mereka mesti menjadi orang yang berilmu dan beriman dan dengan itu sahajalah saya rasa saya dapat memberikan mereka bekalan yang secukupnya untuk mereka di dunia dan juga di akhirat.

Sudah pasti anak saya akan mewarisi perjuangan yang saya bina untuk keluarga pada hari ini. Ini memang sesuatu yang menjadi cita-cita saya lah, paling tidak pun sebelum saya pergi meninggalkan dunia ini, ada di kalangan anak-anak yang akan mewarisi perjuangan yang saya bina ini.

Selain politik, saya berharap mereka jadi orang yang knowledgable, yang mampu menghadapi setiap cabaran hari ini dan yang pasti saya juga mahu mereka mempunyai keluarga yang bahagia, yang mengikut spesifikasi Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS hari ini.

Kaya tak kaya itu terpulang pada mereka kerana matlamat di dunia ini bukan kita mencari kekayaan tapi kebahagiaan yang berasaskan ajaran Islam yang kuat.

MO: Saya ni tak banyak anak. Tiga orang saja - yang sulung lelaki, dua lagi perempuan. Walaupun miskin tetapi saya mengharapkan kekayaan ilmu, ibadah dan amalan-amalan yang mulia perlu dimiliki anak-anak.

Inilah kegembiraan saya sebagai seorang ayah. Saya hanya meletakkan pengharapan dan bimbingan untuk mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Anak-anak saya telah teruji dengan persekitaran kehidupan yang mencabar apabila saya ditahan ISA dan dipenjarakan. Dan saya tidak pernah menghalang malah gembira kalau ada yang mengikut jejak saya. Nampaknya ada yang nak ikut.

Yang tidak dapat saya lupakan apabila anak-anak menziarahi saya di Kamunting dan di Penjara Kajang. Saya masih ingat masa di Kamunting, anak kedua saya masih kecil dan saya sempat menyuap ais krim kepadanya. Itu luahan kasih sayang yang dapat saya terjemahkan.

sumber: HARAKAH, “MINDA NAIB PRESIDEN PAS” esklusif daripada 3 Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Yang Berhormat Saudara Salahuddin Ayub.

Macam mana anak saya???? Saya akan bawa perbincangan ini dalam meeting bulanan keluarga bersama isteri tercinta dalm masa terdekat ini. InsyaALLAH, lagi 1 bulan lebih kami akan menerima kehadiran orang baru dalam rumahtangga kami. Mesti kene buat persediaan dulu dalam mencorakkan anak ni.. hehehe...

Jumaat, Julai 2

KALAM ULAMAK: Ajar seks ibarat ajar pencuri mencuri

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak bersetuju pendidikan seks diajar di sekolah kerana menganggap langkah itu memberi lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada generasi muda.

Mursyidul Am PAS itu berkata, langkah itu hanya akan menggalakkan kanak-kanak di bawah umur mempelajari ilmu seks sesama mereka menyebabkan wujudnya gejala negatif seperti pembuangan bayi. "Dalam Islam sendiri sudah ada pengajaran seks iaitu antaranya kita diwajib mengasingkan tempat tidur apabila anak-anak meningkat umur tujuh tahun, mereka juga diminta hanya melihat bahagian muka dan telapak tangan sahaja apabila bertunang. "Ini semua adalah pengajaran seks yang sedia ada dalam pendidikan masyarakat Melayu dan Islam hari.

Saya tak setuju jika ilmu seks diajar di peringkat sekolah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat, di Kota Bharu hari ini. Beliau mengulas kenyataannya dalam kuliah sebelum itu yang menyelar tindakan sesetengah pihak yang mencadangkan pendidikan seks di sekolah dan menganggap tindakan itu seperti mengajar pencuri kaedah mencuri dengan betul.

Nik Aziz juga mahu agar perbuatan zina dalam Islam dinyatakan sebagai "zina" dan bukan "seks bebas" seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak. "Apa salahnya kalau seks bebas kita sebut zina, supaya orang Islam berasa gerun dengan perkataan itu yang telah diharamkan Islam dan orang berzina mesti dihukum dengan hukum hudud," katanya.

Isu pendidikan seks telah sekian lama diperbincangkan dengan kebanyakan pihak menggesa langkah itu dilaksanakan bagi menangani permasalahan sosial seperti pembuangan bayi yang semakin berleluasa sekarang. Bagaimanapun, sehingga kini belum ada keputusan muktamad dibuat mengenai perkara tersebut.

sumber:Malaysiakini

'Pendidikan seks perlu bermula 9 tahun': AWAK SETUJU ATAU TIDAK???

Para pelajar perlu didedahkan dengan pendidikan seks di sekolah seawal umur 9 tahun atau darjah 3 lagi, kata Ketua Sub-Unit Seksualiti Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Hamizah Mohd Hassan.

Menurut Dr Hamizah, hasil kajian menunjukkan golongan muda mula terlibat dengan seks bebas seawal umur 11 tahun tanpa mempunyai pengetahuan yang luas mengenai perkara itu.

"Saya merupakan salah seorang panel yang membuat sistem kokurikulum yang baru di sekolah dalam pendidikan sains dan kesihatan.

"Saya telah mencadangkan kepada kementerian pelajaran supaya pendidikan seks diajar seawal sembilan tahun dengan memulakan pembelajaran mengenai bahagian-bahagian fizikal badan.

"Manakala pada umur 12 tahun, mereka boleh mula diajar mengenai persenyawaan. Saya harap, pelajaran ini akan mula diajar pada tahun 2011 atau 2012," kata Dr Hamizah.

Beliau berkata demikian ketika berucap di forum pendidikan seks yang bertajuk 'Always Be Careful - Examine Your Zip' (Sentiasa Waspada - Periksa Zip Anda) yang dianjurkan oleh sebuah NGO Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM) di ibu negara malam tadi.

Dapat filem lucah daripada bapa, pakcik


Turut sama memberikan dalam forum berkenaan ialah penggiat Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduksi Malaysia (FRHAM) Wong Li Lieng dan Pengasas Hak Reproduksi Perikatan Advokasi Malaysia (RRAAM) Rashidah Abdullah.

Membentangkan padangannya dalam majlis yang hanya hanya dihadiri tidak sampai 30 orang pendengar, Dr Hamizah berkata, golongan muda perlu diberi tunjuk ajar lebih-lebih lagi dalam perkara yang melibatkan hubungan seks.

Ini kerana, tambahnya, bagi golongan muda, pemikirannya masih lagi tidak berkembang.

Sementara itu, beliau mendedahkan, hasil daripada sesi kaunseling yang dikendalikannya, kebanyakkan mereka terjebak dengan seks bebas dengan mempelajarinya daripada media seperti filem dan internet.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya kerana adakala keadaan sekeliling yang menjadi penyebab mereka terjebak dengan seks bebas.

"Ketika saya membuat sesi kaunseling dengan pelajar sekolah berumur 16 tahun, dia mengatakan, adakalanya dia mendapatkan filem pornografi daripada bapa mereka, abang mereka dan adakalanya pakcik mereka yang tinggal serumah.

Guru sebut 'anu'

"Hasil daripada menonton pornografi, mereka berasa ingin mencuba. Mereka tidak berfikir panjang kerana minda mereka tidak matang sepenuhnya. Mereka juga tidak memikirkan sebab dan akibat yang bakal mereka alami," kata Dr Hamizah.

Beliau juga mengkritik guru di sekolah yang tidak terlatih dan mengajar dengan cara yang tidak betul.

"Ada sesetengah guru apabila mengajar, mereka menyebut 'anu' dan bukan nama alat sulit tersebut," kata Dr Hamizah.

Sementara itu, Wong pula berkata, pendidikan seks di sekolah perlu diajar dalam konteks yang lebih mudah walaupun terdapat sesetengah pihak menganggapnya lebih mengalakkan remaja untuk melakukan seks.

"Kita perlu buat sesuatu seperti mengajar mereka tentang pendidikan seks. Remaja yang melakukan seks luar nikah semakin hari semakin banyak.

"Saya rasa ini merupakan masa yang sesuai untuk kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama melakukan sesuatu bagi mengelakkan perkara ini lebih berleluasa," tegasnya.

KOMENTAR: Apa macam???.. pe pula pandangan ulamak2 kita.. ULAMA dr UMNO atau PAS?? pandangan ustaz-ustaz??

Bukan isu main2 ni... Kalau betul2 jadi dan diluluskan pada masa akan datang, sasarannya anak kita.. Anak tuan-tuan dan puan-puan semua... Ni masalah pendidikan, bukan masalah menberi mainan untuk anak2 kita.. Sama- sama kita fikir.

Tak tau la, di mana mereka2 ni ambil acuan, sehinggakan anak-anak pun nak dirosakkan sejak dari kecil lagi.. Kalau ikutkan mereka ni, nak musnahkan anak-anak sejak dari dalam kandungan lagi.. Di mana mereka meletakkan ISLAM.. Pe kata ISLAM dalam isu pendidikan ini..

Pendidikan anak2 sebenarnya bermula dari mana? Bukan ke awal2 lagi kita nak pastikan anak-anak kita kenal ALLAH dan rasulNYA.. Mengetahui yang mana halal dan yang mana haram.. Bina iman dalam diri. Didik dgn akhlak mulia. Menjaga ibadah-ibadah wajib dan sunat. Asas dengan hafalan dan penghayatan QURAN dalam kehidupan.. Menjaga batas pergaulan. Menghormati ibu-bapa. Bertanggungjawab kepada diri dan masyarakat. Mempunyai jati diri ISLAM tulen.

Banyak lagi untuk perlu kita tanamkan dalam jiwa anak-anak untuk membina mereka sebagai insan yang baik dan berwawasan.


Apabila perkara ini dijanang dan diusahakan, insyaALLAH, anak-anak akan dapat mengatasi masalah seks ni. Tidak perlu belajar awal-awal. Ilmu ini cepat ja faham, tp lepas faham nak kawal tu susah bila dah mengetahui. Harap semua faham akan situasi ni.

Saya dah merangka dengan isteri saya jika perkara ini diluluskan oleh kerajaan anak-anak saya tidak akan dihantar ke sekolah kerajaan. Sekolah bukan untuk merosakkan anak-anak, tp untuk mengajar anak-anak kita. Sayangilah keluarga anda..