Setiap manusia memiliki potensi dan bakat tersendiri yang boleh melonjakkannya menjadi insan yang amat diperlukan oleh masyarakat, apatah lagi jika manusia ini daripada jenama Muslim, pasti dia amat diperlukan oleh agamanya untuk mengembang, memperkasa, membenteng, melindunginya daripada anasir yang boleh menggugat kekuatannya daripada serangan makhluk perosak akidah, iman dan ilmu pengetahuan agama.
Ia semua tertakluk kepada sejauhmana insan Muslim itu dapat membentuk jati dirinya dengan aspek tarbiyah yang telah diperkatakan sebelum ini, dengan mengambil kira semua jenis tarbiyah yang diperlukan oleh seseorang ahli gerakan Islam yang aktif, di samping memelihara uslub dakwah yang berkesan bagi memastikan kesinambungan mata rantai Islam terus utuh dan kukuh di persada alam ini.
Bagi memastikan agar Islam terus berkembang melalui usaha dan kerja dakwah, pejuang-pejuang Islam perlu memelihara beberapa konsep akhlak yang dikira sebagai penting bagi meneruskan misi untuk memartabatkan Islam sebagai agama tertinggi dalam perjuangan hidup sebagai hamba Allah di muka bumi ini, antara akhlak tersebut yang mesti dipelihara ialah:
1. Akhlak terhadap Allah
2. Akhlah terhadap Rasulullah
3. Akhlak terhadap kitab Allah (al-Quran)
4. Akhlak terhadap Sunnah/hadis Rasulullah
5. Akhlak sesama jiran tetangga
6. Akhlak terhadap orang ramai
Konsep akhlak dalam Islam
Islam mempunyai dua sumber iaitu al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pegangan dalam menentukan segala urusan dunia dan akhirat. Kedua-dua sumber itulah juga yang menjadi sumber akhlak Islamiyah.
Prinsip-prinsip dan kaedah ilmu akhlak Islam semuanya didasarkan kepada wahyu yang bersifat mutlak dan tepat neraca timbangannya.
Apabila melihat perbahasan bidang akhlak Islamiyah sebagai satu ilmu berdasarkan kepada dua sumber yang mutlak ini, dapatlah dirumuskan definisinya seperti berikut:
Satu ilmu yang membahaskan tatanilai, hukum-hukum dan prinsip-prinsip tertentu bagi mengenal pasti sifat-sifat keutamaan untuk dihayati dan diamalkan dan mengenalpasti sifat-sifat tercela untuk dijauhi dengan tujuan membersihkan jiwa berasaskan wahyu Ilahi bagi mencapai keredhaan Allah (ridwaanullah).
Manakala akhlak pula dapatlah kita rumuskan sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku perbuatan manusia dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah.
Dengan kata lain, akhlak ialah suatu sistem yang menilai perbuatan zahir dan batin manusia baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan Allah, manusia sesama manusia, manusia dengan haiwan, dengan malaikat, dengan jin dan juga dengan alam sekitar.
Justeru, baginda Rasulullah s.a.w. ada menegaskan bahawa, akhlaklah yang menjadikan seseorang Muslim itu hingga mencapai iman yang sejati, ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesempurna iman seseorang yang beriman itu adalah yang paling baik akhlaknya."
Akhlak terhadap Allah SWT
Ia bermaksud bahawa yang paling utama sekali ialah beriman kepada Allah SWT selaku Pencipta yang meliputi kepercayaan dan pegangan kental mengenai 'Tauhid Uluhiyyah' dan 'Tauhid Rububiyyah' bagi melahirkan iman dan akidah yang sejahtera daripada sebarang kepercayaan khurafat, bid'ah, tahayul, syirik yang sememangnya tidak sinonim dengan ahli-ahli gerakan Islam yang memperjuangkan akidah yang benar berpaksikan al-Quran dan Sunnah baginda Rasulullah s.a.w.
Akhlak terhadap Rasulullah s.a.w.
Iaitu keimanan dan kepercayaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul dan nabi terakhir seperti yang ditegaskan oleh al-Quran, membenarkan risalah yang dibawa kepada umat bagi menyatakan konsep 'Amar Makruf Nahi Mungkar' tanpa mengira batas sempadan kaum, bangsa, kedudukan, pangkat, jantina dan sebagainya, semuanya sama di sisi Allah, kerana yang paling bertakwa adalah yang paling mulia di sisi-Nya.
Akhlak terhadap kitab Allah (al-Quran)
Sesungguhnya al-Quran adalah rujukan utama kepada ahli-ahli gerakan Islam, ia dapat dijelmakan melalui pembacaan, penghayatan, kajian, penghafazan jika mampu lakukan atau menghafaz surah-surah tertentu yang sering dibaca oleh orang awam dan mentafsirkannya dengan pendekatan yang mudah difahami oleh golongan sasaran, ia bertujuan bagi menarik mereka kepada jalan hidup Islam yang sempurna.
Ini kerana al-Quran seperti apa yang pernah disampaikan oleh baginda sendiri, bahawa di dalam al-Quran ada menceritakan kisah orang-orang terdahulu daripada umat hari ini dan berita mengenai kehidupan di alam akhirat, ia memberi maksud bahawa kitab suci itu amat berguna untuk pegangan ahli-ahli kerana ia mampu menginsafkan mereka di samping menetukan hala tuju hidup terakhir untuk menuju jalan menemui Allah SWT.
Ahli gerakan Islam perlu tahu tafsir al-Quran dengan baik, kerana ia terbahagi kepada tafsir al-Ma'thur sama ada tafsir ayat dengan ayat yang lain, atau tafsir ayat yang diperjelaskan oleh hadis Nabi, tafsir bi ar'yi al-Mamduh aitu tafsir dengan menggunakan pendapat yang boleh diterima seperti kitab tafsir yang dibuat oleh kedua-dua Tuan Guru Mursyidul Am dan Presiden PAS, tafsir Hamka, tafsir Ustaz Sonhaji Mohammad al-Ibr al-Athir dalam bahasa Melayu, Saiyid Qutb yang ditrerjemahkan dalam bahasa Melayu oleh al-marhum Yusuf Zaki Yaakob dan lain-lain.
Akhlak terhadap Sunnah/hadis Rasulullah
Hadis adalah perkara yang berkisar tentang Sunnah Rasul s.a.w. dan apa yang disandarkan kepada Rasul s.a.w. dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat akhlak (peribadi) dan sifat kejadiannya. Hadis atau Sunnah Rasul s.a.w. adalah sumber rujukan kedua selepas al-Quran.
Sebagai ahli gerakan Islam, mereka perlu melihat bahawa hadis atau sunnah Nabi Muhammad penting dalam kehidupan rutin harian, iaitu mereka perlu menghafaz beberapa hadis penting sebagai rujukan hujah ketika menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai.
Mereka juga perlu menguasai perkara yang berkaitan dengan hadis atau sunnah seperti mengetahui imam-imam tersohor agak tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pihak musuh yang berselindung dalam kelambu orang Melayu. Imam-imam itu adalah seperti Imam Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Ibnu Majah dan Nasa~ie disamping Imam Baihaqi, Tabarani, al-Hakim dan lain-lain, begitu juga menguasai ilmu 'Ulum al-Hadis' dengan mengetahui istilah hadis sohih, do'if, mutawatir, mursal, maudo' (palsu) dan lain-lain.
Akhlak sesama jiran tetangga
Ia juga merupakan pendekatan Nabi Muhammad s.a.w. dengan memelihara jiran tetangga walaupun mereka bukan beragama Islam, ini adalah kerana mereka juga merupakan makhluk manusia yang mempunyai hati dan perasaan yang sama dengan kita.
Ahli-ahli gerakan Islam adalah disaran agar memiliki ciri mesra alam dengan sesiapa terutama jiran tetangga, dengan tidak diri atau isteri mendedahkan aurat ketika berinteraksi dengan mereka kerana ini boleh menghilangkan sedikit rasa tidak percaya mereka kepada diri dan menjejaskan potensi untuk mengajak mereka kepada Islam secara praktikal.
Layanilah mereka dengan santun dengan tidak mengguris perasaan mereka walaupun mereka tidak menerima dakwah yang kita syorkan kepada mereka, apatah lagi mereka tidak sinonim dengan masjid atau program surau yang berbentuk kemasyarakatan dan ilmiah. Ahli perlu bersabar terhadap keranah mereka sebagai menyahut seruan baginda s.a.w. yang bermaksud: "Seorang mukmin yang bercampur/bergaul dengan orang ramai dan bersabar terhadap karenah-karenah mereka adalah lebih baik daripada mukmin yang tidak bercampur/bergaul dengan orang ramai dan tidak bersabar terhadap karenah-karenah mereka."
Akhlak terhadap orang ramai
Ia satu lagi akhlak yang perlu dititik-beratkan oleh ahli gerakan Islam, iaitu menjadikan orang ramai sebagai medium untuk menyampaikan mesej dakwah. Tetapi apapun sebelum melakukan tugas atau usaha dakwah itu, ahli perlu menguasai ilmu-ilmu alat di samping menyelami kehendak mereka bagi memudahkan kerja-kerja dakwah dengan tidak menghalalkan cara yang salah untuk sampai kepada matlamat.
Usaha dakwah terhadap orang ramai perlu menunjukkan sikap dan akhlak terpuji, apatah lagi ia tidak kelihatan menyanggah sunnah-sunnah Rasululla s.a.w. seperti menghisap rokok, minum atau makan berdiri, memakai pakaian yang tidak dianggap sopan menurut pandangan orang ramai.
Ia bertujuan untuk sampai kepada matlamat sebenar penciptaan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, sekali gus menaikkan taraf mereka sebagai sebaik-baik umat seperti yang ditegaskan Allah melalui ayat 110 surah Ali 'Imran yang bermaksud: "Kamu adala sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada umat manusia sejagat, dengan menyuruh mereka melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah." - lanh_