Selasa, Mei 11

KESILAPAN DAKWAH MASA KINI

Bismillahirrahmanirrahim.

Semenjak kejatuhan empayar Islam sehingga kini,
segalanya sudah lemah, cara berfikir sudah lemah, jiwa
umat Islam sudah lemah, perpaduan sudah berkecai,
serta hidup nafsi-nafsi. Bahkan cerdik pandai pun,
yang penghafal Quran, pakar Hadis serta pakar hukum
dalam Islam pun sekadar boleh miliki ilmu, tetapi daya
berjuang dan daya berfikirnya sudah lemah. Ulama tidak
dapat menyatukan umat yang sudah berpecah, samada
sudah kecewa sudah tiada 'mood'.

Maka hasil dari keadaan ini, ada dua perkara yang
kita lihat sangat menonjol kelemahannya di kalangan
masyarakat Islam.

1.Kelemahan pertama, Islam itu walaupun ulama itu
mengaji pada jangka waktu yang lama di Mekah,
Universiti Islam atau Universiti Al-Azhar atau pakar
Hadis, bila pulang ke tanah air ,yang disampaikannya
hanya ada dua. Satu yang ada hubungan dengan ibadah
khusus atau fadhoilul a'mal.
Kedua hukum hakam. Ini halal, ini haram, ini boleh.
Ini tidak boleh, ini sunat, ini makruh, siapa buat
begini jadi fasik, yang buat ini jadi zalim, jadi
kafir atau jadi musyrik.

Bagi sesetengah masyarakat yang ditakdirkan Tuhan
imannya kuat, cintanya kepada Tuhan agak kuat, mereka
mudah menerima tetapi apabila berhadapan dengan
masyarakat Islam yang digambarkan tadi, yang
semangatnya sudah luntur dan jiwanya sudah rosak,
kalau hanya ibadah dan hukum-hakam sahaja yang
diperkatakan, maka umat Islam akan cepat boring dan
jemu. Padahal agama Islam itu terlalu luas dan global,
lebih luas dari yang disebutkan tadi. Sebab Islam
merangkumi semua keperluan hidup.

Apa itu keperluan hidup? Ada dijelaskan di dalam Al
Quran dan Hadis, cuma bolehkah kita faham atau tidak,
bolehkah kita hayati atau tidak, bolehkah kita
amalkan atau tidak, itu soal lain. Tetapi di hari ini
walaupun ulamanya mengaji dan belajar tinggi sekalipun
pun, yang popular hanya 2 perkara ini sahaja yang
diajarkan kepada masyarakat iaitu ibadah berupa
fadhilul a'mal dan hukum, itu saja. Pakar ulama hanya
mampu memberi hukum, ini wajib, ini sunat, ini haram,
makruh.

Kalau ditanya apa itu masyarakat Islam? Tidak boleh
jawab. Kalau ditanya apa itu psikologi Islam? Tidak
boleh menjawab. Kalau ditanya apa itu kekeluargaan
Islam? Juga tidak boleh menjawab. Kalau ditanya apa
itu perjuangan Islam? Apa itu ekonomi Islam? Apa itu
pentadbiran Islam? Apa itu perhubungan secara Islam?
Itu semua tidak dapat dijawab dengan meluas...
Sedangkan itu semua keperluan umat Islam. Bukankah
Islam itu indah.

Masyarakat Islam itu, kalau dapat dibangunkan sangat
indah. Perpaduan dan perjuangan Islam itu indah, kasih
sayang itu sangat indah kalau dapat diamalkan dan
dihayati. Tetapi yang diambil hanya dua aspek iaitu
ibadah khusus dan ibadah tambahan serta hukum hakam.
Jadi hendak mencari cerdik pandai di kalangan pemuda
pemudi di dalam Islam sangat susah, bila diajak
mengaji dia sudah mengagak dalam fikirannya, mesti
ustaz ini hendak bercerita ibadah samada solat, haji,
puasa, zakat dan hukum halal haram.
Hanya menceritakan ilmu wajib, sunat, makruh, halal,
haram, fasik atau kafir. Jadi orang yang mendengar
Islam itu menjadi takut, betapalah yang bukan Islam
hendak mendengarnya.

Sedangkan masyarakat perlu faham psikologi, perpaduan,
pendidikan, perjuangan, falsafah, ekonomi, pentadbiran
dll. Itu semua perlu dalam kehidupan. Bila hal ini
tidak diceritakan dari Al Quran dan AlHadis, sedangkan
umat Islam perlu, akhirnya apa yang terjadi? Ibadahnya
Islam, hukumnya Islam tetapi dalam hal pendidikan,
ekonomi, pentadbiran dan teknologi diimport dari
barat. Bila ulama cerdik pandai Islam tidak menyajikan
itu, sedangkan orang Islam memerlukan maka bila jumpa
ilmu dari Japan dia ambil, jika jumpa dari barat, dia
akan ambil, jika jumpa di negara komunis akan
diambilnya dari sana. Inilah yang jadi masalah!

2.Kelemahan kedua, yang sangat menonjol ialah cara
menyampaikan ilmu Islam sangat terbatas. Cara pertama
mengaji di masjid atau surau,atau kepada kanak-kanak
di sekolah. Inilah sumber ilmu. Kalau tidak didengar
dari pendakwah-pendakwah ini, maka tidak dengarlah apa
itu Islam sebenar. Sangat terbatas, saluran lain
seolah-olah tidak ada.
Padahal sepatutnya cerdik pandai Islam selain mengaji
di masjid, selain berdakwah secara formal, mestilah
memikirkan saluran apa untuk disampaikan Islam itu
sesuai mengikut keadaan semasa, sesuai dengan selera
cerdik pandai, mana yang sesuai dengan pemuda dan
pemudi. Kita tidak pernah mendengar orang mengaji
melalui sajak, filem, teater padahal mengaji melalui
filem, melalui teater, melalui budaya sangat berkesan.

Kita tidak pernah mendengar agama dengan cara itu,
orang dahulu belajar di sekolah dan dari pendakwah
sebab itu mereka tidak begitu pandai...Dari hasil
pengalaman kita bersama, kita hanya dapat dari dua
saluran sahaja, hendak faham Islam kena mengaji. Bila
dewasa semua ke masjid atau mendengar kuliah
pendakwah, itu pun kalau rajin pergi.

Ada pula pendakwah suka mengata orang, hanya
memperkatakan hal politik, mengata orang lain. Padahal
Islam boleh disampaikan dengan berbagai cara seperti
sajak, drama, tulisan dan sebagainya.

Yang paling berkesan bagaimana?
Kalau kita dengar orang Islam berdagang kecil-kecilan,
maju tidak, mundur pun tidak. Sekadar boleh hidup
saja. Kita tidak pernah mendengar ada jemaah Islam
yang menolong. Inilah masalahnya. Sedangkan ini
berlaku dizaman Rasulullah. Kalau musim menuai kurma
di ladang, ada sahabat menolong menuai atau mengutip
buah. Islam itu jika diamalkan cantik dan indah. Sebab
itu hari ini kalau kita berjuang supaya lebih cepat
berkembang maka dua itu dikekalkan,tetapi kenalah
tambahkan kaedah, barulah nampak Islam itu betul
penyelamat, menghiburkan dan memberi khidmat.

Cara lama terbatas. Itulah yang hendak diperkatakan
sebagai bahan berfikir. Bila dikatakan hendak
berjuang, perlulah berjemaah sebab mustahil kita boleh
buat sendirian membangunkan masyarakat. Kita berjuang
supaya umat Islam, bila menyebut sahaja Islam, nampak
keindahan, perpaduan dan nampak kasih sayang. Bila
sebut sahaja Islam, nampak sangat cantik dan menarik.