Jumaat, Januari 15

PRASYARAT KEMENANGAN ISLAM (1)

Kemenangan yang diimpikan oleh umat yang cintakan ISLAM tidak mudah untuk dicapai , namun kita tidak boleh putus asa dalam bekerja untuk ISLAM. Kerja kuat dan gigih berusaha adalah ikhtiar yang dituntut sebelum kemenangan dikurniakan oleh Allah swt .

Sebagai sebuah Gerakan Islam , tuntutan sekurang – kurangnya kita mempunyai 5 strategi utama untuk memastikan kemenangan kekal adalah menjadi milik kita bersama :

1. Taqwa. [ taat ]

Saidina Umar al Khattab Rha pernah mengutuskan surat wasiat kepada Komander Tentera Islam di Iraq iaitu Saad bin Abi Waqqas Rha :

( فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة

Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan . Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik – baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan .

Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar – benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu jua dari musuh – musuh kamu . Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh – musuh mereka .

Sesungguhnya orang – orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt . Jika tidak demikian , tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka . Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidaklah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki .

Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita .

Saidina Umar al Khattab .

Berasaskan wasiat Saidina Umar al farouk , pejuang ISLAM mestilah memberi perhatian serius agar tiada dikalangan kita terjebak atau terjerumus dalam kancah maksiat dan mungkar . Sebaliknya bertaqwa kepada Allah swt . Melaksanakan apa yang diperintah dan tinggalkan apa yang dilarang oleh Allah swt .

Maksiat dan mungkar menjadi penghalang utama kemenangan dan kalaupun menang , kita bimbang ia hanyalah kemenangan yang rapuh dan menjadi istidraj [ pemberian -kemenangan - yang tidak diredhai oleh Allah swt ]

Semua petugas ISLAM [ pemimpin mahupun ahli biasa ] sewajarnya mempertingkatkan hubungan dengan Allah swt dan senantiasa meletakkan diri dalam situasi beribadah kepada Allah swt. Maksud saya , pastikan apa jua kerja dan tugas yang kita lakukan adalah kerana Allah swt dan ia menjadi ibadah yang soleh walau hanya menampal poster dan memasang bendera .

2 . JIHAD [ gigih dan bersungguh - sungguh ]

Tiada kemenangan yang boleh dicapai hanya dengan menggosok lampu ajaib aladin . Malah lampu itu pun tiada ditangan kita , apatah lagi aladin tidak wujud dikalangan kita .

Ikhtiar adalah satu kewajipan dan kesungguhan adalah satu tuntutan . Jangan ada mereka yang hanya berpeluk tubuh dan membatu diri menyaksi keperluan yang perlu diselesai dan disempurnakan . Lebih malang kalau hanya banyak cakap , komplen sana sini dan memperhabiskan biskut kopi di kedai makan sahaja .

Saya percaya , jika kita bersungguh – sungguh kita akan menang . من جد وجد

3. Tawakkal . [ bergantung kepada Allah swt ]

Jangan putus harap kepada Allah swt biarpun kita menghadapi kesukaran dalam perjuangan ini . Sekalipun cabaran yang kita hadapi serta tekanan yang kita alami terlalu getir dan berat , setelah kita kerahkan segala upaya yang kita miliki , kita mesti yakin dan sandarkan keputusannya kepada Allah swt .

Setelah gigih berdakwah berhadapan dengan 1001 ragam manusia jahiliyyah , Nabi saw pernah bersabda [ berdoa ] : اللهم قد بلغت فاشهد – Ya Allah ! sesungguhnya telah aku sampaikan [ kebenaran ini ] maka saksikanlah ! -

4. Munazzamah [ sistematik ]

Jangan bekerja atau bertugas secara rawak atau rambang . Sebaliknya bertindak secara terancang dan berpandukan arahan serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pimpinan.

Sekalipun kita membawa kebenaran , namun tanpa rencana dan strategi yang terancang pasti sahaja kita boleh tewas . Inilah yang telah dipertegaskan oleh Saidina Ali Karramallahuwajhah . الحق بدون النظام يغلبه الباطل بالنظام

Kebenaran yang diperjuangan tanpa sistematiknya akan dikalahkan oleh kebathilan yang diurus secara sistematik .

Aktiviti dan gerakkerja dalam tempoh yang terhad dan kemampuan kewangan yang terbatas ini mestilah dipastikan bahawa kita tidak membazir masa dan tenaga dengan aktiviti yang tidak menepati sasaran atau gerakkerja yang tidak membawa pulangan besar kepada perjuangan .

5. Istiaanah bissobri was solah . [ mohon pertolongan dengan sabar dan doa ]

Kemenangan yang kita dambakan ini adalah daripada Allah swt , justeru itu kepadaNya kita wajib memohon kemenangan ini . Allah swt mengajar kita agar memohon pertolongan dengan sabar dan solat .

Sabar

Sabar adalah kunci kejayaan dan kemenangan . Tapi ramai yang salah faham dengan menganggap sabar sebagai kalah dan penakut . Bukankah kita mahu Allah bersama kita dalam perjuangan ini ? maka Allah swt telah berfirman : إن الله مع الصابرين – Sesungguhnya Allah bersama dengan orang – orang yang sabar .

  • Sabar dalam tindakan agar tidak gopoh dan melencong dari matlamat asal perjuangan kita .
  • Sabar dalam gerakkerja dan tugas . Jangan merungut dan mempersoalkan arahan .
  • Sabar , agar diri tidak terpengaruh dengan provokasi musuh
  • Sabar dari panahan fitnah perjuangan yang mungkin dari godaan manusia dan harta
  • Sabar , moga tidak terlalu excited dengan sorakan ramai dan laungan penyokong yang ramai
  • Sabar dari terjebak dan terjerumus ke dalam lembah maksiat dan mungkar
    Sabar menerima arahan pimpinan biarpun berat dan sukar untuk dilaksanakan
  • Sabar dengan karenah ahli yang pelbagai ragam
  • Sabar jua dengan karenah pimpinan
  • Sabar untuk bertahan dengan akhlak mulia sekalipun berdepan dengan penghinaan musuh
  • dan 1001 keadaan yang memerlukan kita sabar .

Namun bukanlah makna sabar sehingga membenarkan musuh memijak kepala kita . Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

Wahai manusia ! Jangan sekali – kali kamu bercita – cita mencari musuh sebaliknya mohonlah kesejahteraan daripada Allah swt . Andai bertemu jua dengan musuh , bersabarlah ! Namun begitu , ketahuilah bahawa sesungguhnya syurga itu berada di bawah kilatan mata pedang .

Solat

Membawa maksud munajat dengan memanjatkan doa kepada Allah swt agar Allah memberikan kekuatan kepada kita serta kemenangan yang telah dijanjikan . Serentak itu , agar Allah mengurniakan petunjukNya kepada ummat yang lalai dan leka dan melembutkan hati mereka untuk menerima mesej perjuangan kita .

Siang kita mengurus organisasi , mengatur strategi dan menggerakkan jentera serta material bagi memburu kemenangan , manakala sebelah malamnya pula kita bermunajat mengadap Allah penuh khusyu’ memohon petunjuk dan kekuatan diri serta memohon nusrah dan maunah buat perjuangan suci ini .

Marilah kita sama-sama beramal dengan kewajiban ini dan menjadikan ia sebagai darah daging dalam segenap sudut kehidupan kita.

Selamat berjuang ...