Jumaat, Oktober 3

Beberapa hukum nyanyian


Beberapa hukum nyanyian

Assalammualaikum,

Saya nak tanya ustaz beberapa soalan berkaitan nyanyian;

1. Apa hukum menggunakan alat muzik bertali sepertimana yang digunakan oleh kump. nasyid sekarang?

2. Apa hukum menyanyi bersama perempuan?

3. Apakah hukum perempuan mendedahkan suara walaupun bernasyid?

Saya harap ustaz dapat beri penjelasan,sekian terima kasih.



1. Dalam hal ini, ulama’ berselisih pendapat antara yang membenarkan dan mengharuskannya. Bagi yang mengharuskannya seumpama Ibnu Hazm, Asy-Syeikh Abdul Ghani An-Nabulsi, Asy-Syazili At-Tunisi dan lain-lain meletakkan syarat mestilah mempunyai niat yang betul dan tidak bertentangan dengan syara’. Di samping itu, mestilah tujuannya yang tidak melanggar batas-batas syara’.

2. Isu nyanyian dan muzik dalam Islam juga merupakan perkara yang diperselisihkan oleh ulama’. Semenjak sekian lama para ulama’ berselisih pendapat dalam masalah ini antara menghukumkannya sebagai haram dan harus. Masing-masing mempunyai hujah-hujah yang tersendiri dalam memahami nas-nas yang berkaitan dengan perkara ini.

Walaupun di sana terdapat perselisihan pendapat, ulama’ bersepakat dalam menghukumkan haram bagi setiap jenis nyanyian yang mengandungi unsur kekejian, unsur kefasikan atau unsur penggalakkan ke arah melakukan maksiat.

Perselisihan pula berlaku dalam seumpama golongan yang mengharuskan sebarang bentuk nyanyian samada menggunakan alat muzik ataupun tidak, ada pula golongan yang mengharuskan jika sekiranya tanpa alat muzik dan ada juga yang mengharamkan secara mutlak samada menggunakan alat muzik ataupun tidak.

Berkait dengan hukum nyanyian bersama wanita, Islam telah meletakkan disiplin yang jelas tanpa wujudnya sebarang bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap kaum wanita. Bagi mengelakkan sebarang fitnah yang berunsurkan pandangan yang bersyahwat dari golongan kaum lelaki dan memperagakan tubuh badan dari golongan kaum wanita, mengalun-alunkan suara (iaitu cara selayaknya sebagai penyanyi) dan seumpamanya, Islam melarang dan tidak membenarkan lelaki berduet bersama wanita dalam persembahan nyanyian.

Ia bersalahan dengan adab Islam yang disebut di dalam Al-Quran Al-Karim iaitu firman Allah (s.w.t):

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ * وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ *

Yang maksudnya: “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya”. [Surah An-Nuur: 30-31]

Dan sabda Nabi (s.a.w): “Wahai Ali ! Jangan kamu iringi pandangan pertamamu dengan pandangan kedua, sesungguhnya bagi kamu pandangan pertama tapi tidak pada pandangan kedua”.

3. Nyanyian yang dipersembahkan oleh wanita adalah suatu perkara yang tidak dibenarkan oleh Islam. Al-Quran Al-Karim menyatakan arahan Allah (s.w.t):

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلا مَعْرُوفًا

Yang maksudnya: “…Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya…”. [Surah Al-Ahzab : 32]

Wanita hanya dibenarkan mempersembahkan nyanyian atau nasyid hanya untuk kalangan mereka sahaja dan tidak boleh dihadapan khalayak lelaki.

Manhaj Al-Azhar Terjaga -Syeikh Usamah

Manhaj Al-Azhar Terjaga -Syeikh Usamah


Syeikh UsamahPenerimaan masyarakat dunia kepada Al-Azhar dapat dilihat sejak tertubuhnya Al-Azhar itu lebih 1,000 tahun yang lalu, demikian ditegaskan oleh Syeikh Dr.Usamah Sayyid Al-Azhari, seorang ulamak Al-Azhar yang terkenal di Mesir ketika menyampaikan ceramahnya 28 September lalu di hadapan ratusan para mahasiswa dan mahasiswi di Dataran Hayyul 'Asyir pada program Wada' Ramadhan anjuran Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasilan Penyelidikan PMRAM (MANHAL). Ucapan beliau itu yang memakan masa lebih dua jam itu mengupas tajuk Manhaj Al-Azhar Dalam Aqidah Dan Syariah telah berjaya memukau para hadirin yang datang membanjiri dataran tersebut.

Beliau memulakan perbincangan dalam Fekah. Menurut beliau, sejak dahulu telah terdapat 90 orang ulamak yang dikenali sebagai "mujtahid" dalam Islam. Antara mereka, Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Malik,Imam Ahmad bin Hanbal,Imam Laith bin Sa'ad serta ramai lagi. Namun akhirnya masyarakat dunia menerima empat dari kalangan mereka sebagai sumber Islam bagi mazhab Fekah dalam Islam iaitu empat Imam Mazhab yang masyhur. Begitu juga dalam bidang Aqidah, lahirnya aliran Asy'ari dan Matrudi. Begitu juga dalam bidang Hadis,diiktiraf enam kitab sebagai sumber bagi bidang Hadis antaranya Bukhari dan Muslim.

Presiden PMRAM bersama Syeikh UsamahMenceritakan kehebatan manhaj yang dibawa oleh Al-Azhar beliau menerangkan bagaimana Al-Azhar berjaya mengambil tempat di hati kalangan para ulamak silam dari pelbagai negara di dunia ini. Antara mereka yang mengembara dalam perjalanan menunaikan haji dari negara masing-masing,singgah seketika di Al-Azhar. Antara mereka hingga tinggal mepelajari di Al-Azhar beberapa tahun hingga dilantik sebagai Syeikh Al-Azhar. Untuk itu, beliau turut menerangkan kehebatan mereka hingga ada yang mahir dalam bidang lain selain ilmu agama. "Ada kalangan syeikh Al-Azhar dahulu pernah menulis buku tentang kejuruteraan,muzik,geografi dan sains,"ujar beliau.

Di Al-Azhar, terdapat 70 lebih ilmu agama Islam yang diajar termasuk Tafsir, Hadis,Usul Feqh dan pelbagai lagi.

Menurut Syeikh Usamah yang banyak mempelajari ilmu dari Mufti Mesir sekarang,Dr.Ali Jumaah, ilmu-ilmu yang berada di dalam tulisan tidak mencukupi tanpa pemegang amanah yang menanggung ilmu-ilmu tersebut.

Beliau juga menasihati para mahasiswa dan mahasiswi agar berpegang dengan manhaj yang dibawa oleh Al-Azhar kerana ia adalah terjaga. "Jika seorang dari kalangan ulamaknya terpesong dari manhaj ini,akan ada lagi berpuluh-puluh lagi ulamak lain yang akan mempertahankannya (manhaj tersebut),"

Majlis yang dikendalikan oleh mantan Presiden PMRAM, Ustaz Hairul Nizam Mat Husin tersebut turut membuka sesi soal jawab kepada para hadirin.

SYAWAL 1429 DAN PENGHAYATANNYA


Sabda Rasulullah s.a.w : ‘Jika seseorang berpuasa semasa Ramadhan kemudian mengikuti dengan enam hari Syawal,ia adalah seperti berpuasa sepanjang tahun.’ (RIwayat Muslim).


Syawal,bulan kemenangan bagi seluruh umat Islam setelah berjaya menahan nafsu amarah, dari lapar,dahaga serta mengawal anggota badan daripada melakukan perkara MAKSIAT. Namun tidak bermakna berakhirnya Ramadhan di situlah juga penamat kepada segala amalan yang dilakukan bahkan seharusnya ia menjadi pemangkin diri bagi setiap individu muslim untuk terus berada dalam nikmat ketenangan yang telah dirasai semasa Ramadhan dengan meneruskan dan meningkatkan lagi amal ibadat.

Antara penerusan amalan yang boleh dilaksanakan di bulan Syawal ini adalah puasa Enam, sabda Rasulullah s.a.w : ‘Jika seseorang berpuasa semasa Ramadhan kemudian mengikuti dengan enam hari Syawal,ia adalah seperti berpuasa sepanjang tahun.’ (RIwayat Muslim). Oleh itu marilah kita bersama-sama usahakan untuk melaksanakan puasa enam ini di sepanjang bulan Syawal.Selain itu, Syawal juga merupakan peluang untuk umat Islam berkumpul dan merapatkan lagi hubungan silaturrahim serta bermaaf-maafan sesama kita.

"Kamu akan melihat orang-orang yang beriman saling berkasih sayang, saling mencintai, saling mengasihi yaitu bagaikan satu tubuh. Apabila satu anggota saja sakit, maka tertariklah bagian anggota yang lain ikut sakit dengan tidak dapat tidur dan badan panas" (HR. Bukhari Muslim). Walaupun hari raya merupakan masa untuk kita bergembira namun kita perlu mengingati mereka yang kurang bernasib baik berbanding diri kita;mereka yang fakir, miskin dan juga saudara kita di Palestin, Sudan, Kemboja dan di mana jua. Moga ia dapat menambah lagi rasa bersyukur kita serta menggerakkan hati dan anggota untuk bersama-sama membantu mereka yang di dalam kesusahan.

Di bulan yang mulia ini juga sebagai seorang hamba yang beriman kita perlu memperbanyakkan memuji kebesaran Sang Maha Pencipta. “Dan sempurnakanlah puasa kamu mengikut bilangan dari dalam bulan Ramadhan (29 hari atau30 hari) dan bertakbirlah (membesarkan Allah s.w.t.) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, semoga kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah:185)

Oleh itu SAHABAT-SAHABAT yang dikasihi, janganlah segala usaha dan amalan yang dilaksanakan di bulan Ramadhan disia-siakan begitu sahaja, teruslah untuk menggapai redha dan rahmat Allah swt, bertakbir,bertahmid dan berzikir lah memuji kebesarannya dan berdoalah agar ditetapkan iman di hati lebih-lebih lagi syaitan yang dibelenggu ketika Ramadhan telah dilepaskan dan kembali untuk meracuni hati hamba-hambaNYA.


Allahu Akbar, Allahu Akbar, La ilaha illa Allah, Allahu Akbar wa lillahi-l-hamd