Jumaat, Mei 7

PMRAM BERDAFTAR DENGAN KEMENTERIAN

PMRAM berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir secara rasminya. Saya adalah di antara kepimpinan yang pernah menghadap pihak Kementerian Kemasyarakatan Mesir dan membentangkan segala program PMRAM di hadapan mereka.

Gambar di atas adalah sewaktu KARNIVAL KERJAYA anjuran kerajaan Malaysia yang diadakan pada tahun 2007. Majlis dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Oleh sebab PMRAM berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir dan kita mempunyai hubungan rapat, PMRAM telah menghubungi pihak keselamatan memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia akan mengadakan program di dewan Cairo International Convention Centre (CICC). Oleh yang demikian, polis (seperti dalam gambar) akan menghadiri bersama-sama PMRAM dalam apa juga program yang PMRAM anjurkan dan sertai bersama.

Banyak lagi program PMRAM yang akan dihadiri oleh polis termasuk di Hayyu Asyir atau dimana-mana sahaja. PMRAM akan menghubungi polis setiap kali membuat program. Polis mengarahkan kepada PMRAM, "sekiranya berlaku perhimpunan di dalam keadaan ramai, maka hendaklah dimaklumkan kepada polis."

Kenyataan Khairi Jalaluddin yang merupakan 'bayi baru Mesir' wajar dipertikaikan. Beliau telah mempersendakan Presiden PMRAM dengan mengatakan Presiden PMRAM tidak mampu memberikan bukti untuk pegawai meminta izin PMRAM ke Muhafazah (daerah).

Persoalannya, bila PMRAM mengeluarkan qarar (undang-undang) supaya pegawai minta izin kepada PMRAM? Saya pernah membawa isu fitnah yang setiap tahun berlaku ini kepada pegawai Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK). Pihak KBMK sudah menerima jawapan daripada saya pada waktu itu dan mengatakan, "Oh, kenyataan yang saya dengar sebelum ini salah lah ya..."

http://typeace.blogspot.com/2010/05/pmram-berdaftar-dengan-kementerian.html

Ya Allah Peliharalah PMRAM

KAHERAH, 6 Mei – Bacaan Yassin hari ini berkumandang di Pejabat PMRAM, bacaan yang dipimpin sendiri oleh Naib Presiden I, Saudara Adlan Mokhtarddin dan dilantunkan doa oleh Saudara Khairul Anwar Ismail selaku Penasihat PMRAM. Sebelum majlis bacaan Yassin berlangsung, majlis dimulakan dengan solat sunat hajat. Majlis itu berlangsung sekitar jam 10 malam dan dihadiri oleh semua Badan Pengurus dan Penasihat PMRAM.

Setelah itu, majlis diteruskan lagi dengan ucapan dua orang Penasihat PMRAM iaitu Saudara Khairul Anwar Ismail dan Saudara Abdul Mu’izz Muhammad. Suasana ketika itu kelihatan sayu dan hiba apabila kedua-dua orang Penasihat PMRAM ini memberikan kata-kata peransang dan semangat. Mereka mengharapkan kepimpinan PMRAM pada tahun ini mampu dan berjaya menggalas amanah ini dengan sebaik-baiknya.

“Peliharalah hubungan kalian dengan Allah, yakin dan percayalah Allah pasti menjaga persatuan ini jika kalian sentiasa menjaga hak-hakNya” tegas Mantan Presiden PMRAM 2008, Saudara Khairul Anwar Ismail.

“Jika hari ini Allah masih lagi memelihara Ka’bah, sama-samalah kita mendoakan agar Allah menjaga PMRAM sepertimana Allah memelihara Ka’bah” ujar Mantan Presiden PMRAM 2009, Saudara Abdul Mu’izz Muhammad.

Sebelum penutupan majlis, Presiden PMRAM mengharapkan kepimpinan PMRAM agar dapat mengimbangi tuntutan sebagai pimpinan mahasiswa dan tuntutan pembelajaran.
“Jangan jadikan isu yang melanda ketika ini, sebagai penghalang untuk meneruskan gerak kerja Islam dan kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan yang bakal menjelma tidak lama lagi” nasihat Saudara Shahrizan Mohd Hazime.

Beliau berkata demikian ketika memberikan amanat di akhir majlis solat hajat dan bacaan yassin di Pejabat PMRAM malam ini.

Tentang ARMA : Fakta Yang Tidak Mungkin Berubah

Perintis permulaan perjuangan mendapatkan sebuah penempatan anak Melayu bukanlah satu usaha yang baru malahan usahanya menjangkau puluhan tahun melepasi beberapa dasawarsa kewujudan PMRAM di bumi Anbiya’ ini.Langkahan pertama diatur pada tahun 1932 ,pelbagai usaha telah diperhebatkan samada dari segi pengumpulan dana, pancarian lokasi dan penubuhan sebuah jawatankuasa yang dikenali dengan “ Panitia Rumah Melayu ”.Kewujudan jawatankuasa ini secara langsung bertindak dalam segala pengurusan yang berkaitan dengan ARMA.

Pengumpulan dana merangkumi dari pelbagai pihak termasuk jemaah-jemaah haji yang datang ke tanah suci Mekah.Di antara yang terlibat secara langsung untuk mendapatkan ARMA adalah Almarhum Dato’ Haji Abdul Jalil Hasan yang merupakan Pemangku Mufti Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1960. Beliau juga terlibat dengan penubuhan PPS ( Persekutuan Putera-putera Semenanjung ) pada tahun 1930 telah menyatakan bahawa jumlah dana Rumah Melayu yang terkumpul pada Bendahari PPS adalah sebanyak RM 1544.50.

Dengan usaha gigih generasi ketika itu ,beberapa sumbangan derma telah diperolehi di antaranya kunjungan Tuan Haji Hussien bin Haji Ya’qub (seornag peniaga Melayu terkenal di Kelantan), begitu juga yang berlaku pada 1952, Persidangan Raja-raja Melayu telah memutuskan supaya setiap Majlis Agama Negeri dan Pejabat Agama di setiap negeri melancarkan sumbangan dengan menetapkan jumlah yang tidak kurang daripada RM 6500.00.

Pada tahun 1954, Badan Pengurus telah mengambil inisiatif untuk terus berjumpa dengan Almarhum Presiden Mesir ,Jamal Abdul Nasir bagi memohon sebidang tanah yang bertujuan untuk pembinaan. Hubungan yang baik terjalin di antara PPS dan Kerajaan Mesir dibuktikan lagi dengan perjanjian Jamal Abdul Nasir yang akan memberikan sebidang tanah kepada PPS.

Setahun kemudian pada 1955,beliau telah memperuntukkan sebidang tanah dengan keluasan 600 meter persegi di dalam kawasan Bandar Kaherah [ Tahrir ] yang diberikan secara percuma yang pada ketika itu telah ditukar nama kepada PMM pada tahun 1952.
Akhirnya pada tahun pada tahun 1959 sebidang tanah yang berkeluasan 2,212 meter persegi telah sah menjadi milik PMM melalui sebuah majlis penyerahan geran tanah yang telah dihadiri oleh YDP PMM ketika itu Ustaz Wan Mokhtar Ahmad. Maka dengan itu telah termaktubnya pemilikan tanah tersebut yang diakui oleh Kerajaan Republik Arab Mesir malahan juga diperakui oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Maka peraturan - peraturan Asrama Rumah Melayu Abbasiah diwujudkan dengan disahkan oleh ketiga-tiga pihak iaitu Duta Besar Kaherah, Pengarah Jabatan Penuntut dan YDP PMRAM. Di antaranya peraturan-peraturan yang telah termaktub pada 1986 adalah seperti berikut :

- Pada ceraiaan 1.2 [ Pendahuluan ] – Asrama ini dibina oleh Kerajaan Malaysia dan diletakkan dibawah naungan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.
- Pada ceraiaan 1.3 [ Pendahuluan ] – Tapak bangunan ini diperolehi dari hadiah pihak berkuasa Kerajaan Mesir atas daya usaha dan jasa ahli-ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
- Pada ceraiaan 1.6 [ Pendahuluan ] – Anjung tingkat bawah Asrama ini adalah dikhaskan sebagai Pejabat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
- Pada ceraiaan 2.3 [ Pentadbiran dan Pengurusan ] – Dasar pentadbiran ARMA ini dapat diputuskan oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada :
• Pengarah JPM ( Pengerusi)
• Penyelia Asrama ( Setiausaha )
• Pegawai Kebajikan 1 ( AJK )
• Pegawai Kebajikan 2 ( AJK )
• Juruwati Asrama ( AJK )
• 3 Wakil PMRAM ( AJK )

** Jawatakuasa in bertindak dalam sebarang bentuk perubahan dasar dan membuat keputusan serta menjadi penasihat dan mempertimbangkan segala rayuan yang berkaitan dengan Asrama Rumah Melayu Abbasiah .
11.jpg
Namun begitu ,pada tahun 1992 KBMK telah memutuskan hubungan dengan PMRAM sekaligus menyatakan peraturan ARMA yang telah dipersetujui dahulu secara langsung dimansuhkan.Jika diteliti tiada satu ceraian dalam peraturan tersebut menyatakan apabila tiada kerjasama antara KBMK dan PMRAM maka secara langsung peraturan ARMA dimansuhkan. Usaha PMRAM tidak pernah pudar dek zaman yang terus laju melangkah ke hadapan oleh kerana yang sedemikian pada 13 November 2000, satu mesyuarat telah diadakan di antara Badan Pengurus PMRAM dan Duta Besar Malaysia Kaherah .Dalam perjumpaan tersebut ,beliau sendiri telah mengakui bahawa peraturan ARMA yang baru pada 1999 tidak sah kerana dibuat tanpa persetujuan dan pengetahuan pihak PMRAM.Wakil Penasihat dan Badan Pengurus PMRAM yang hadir bersama ketika itu, Presiden PMRAM Ustaz Mohd Nizam Mohd Noh, Ketua Penasihat Ustaz Anhar Opir, AJK Penasihat Ustaz Azhar Yahya, Badan Pengurus ,Ustaz Ahmad Arif bin Mohd Arshad, Ustaz Hasri Hassan dan Ustaz Muhidir Tamjis. Seterusnya pada ketika itu juga Peraturan ARMA 1971 dan 1986 masih diterima pakai ataupun dengan erti kata lain diiktiraf .

Burhubung hak pemilikan tanah, PMRAM mengiktiraf bahawa nama pemilik yang tercatat pada geran tanah itu pada masa kini ialah Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia), akan tetapi PMRAM tetap memiliki keistimewaan sebagai tuan tanah yang asal kerana usaha-usaha memperolehi tanah itu keseluruhannya adalah hasil perjuangan PMRAM dengan sokongan pelbagai pihak tanpa melibatkan kerajaan Malaysia. Pindaan nama itu dibuat oleh PMRAM hanya semata-mata bertujuan mematuhi protokol bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengeluarkan bantuan kewangan sebanyak 250,000.00 Ringgit Malaya yang telah dijanjikan. Perkara ini berlaku pada tahun 1959 apabila Tan Sri Khir Johari yang datang ke Mesir sebagai Menteri Pelajaran telah menyatakan bahawa wang peruntukan tersebut tidak dapat dikeluarkan melainkan setelah nama tanah itu ditukar kepada nama Persekutuan Tanak Melayu. Bagi menunaikan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, Panitia Rumah Melayu telah berusaha pula untuk menukarkan nama yang tercatat pada geran tersebut sebagaimana yang ditetapkan. Akhirnya pada bulan Jun 1960, sempurnalah proses penukaran tersebut dan wang bantuan yang dijanjikan dapat disalurkan.

Perihal ini telah menjadi bukti bahawa,PMRAM masih lagi mempunyai hak ke atas ARMA sehingga kini. Cuma apa yang berlaku hari ini adalah beberapa peraturan ARMA telah diubah tanpa sebarang makluman dan persetujuan daripada pihak PMRAM seperti yang telah termakbtub di dalam peraturan ARMA.

Isnin, April 26

Tiada kalah dalam perjuangan Islam, samada menang atau syahid..

KOTA BHARU, 26 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kekalahan adalah motivasi untuk terus berjuang lebih kuat bukan berpatah semangat.

Perjuangan menegakkan kebenaran melawan kebatilan katanya tidak boleh berhenti selagi manusia itu masih diberi peluang untuk hidup.“Selagi hidup kita di muka bumi ni masih ada, perjuangan menegakkan syiar Islam mesti diteruskan, Nabi Muhammad saw berjuang selama 23 tahun dan ia harus diteruskan dalam semua aspek,” ujar beliau.Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekalahan tipis Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor semalam.

Beliau ditemui media selepas merasmikan program pertukaran Pelajar Muhammadiyah Padang Sumatera Barat dengan Yayasan Islam Kelantan di ibu negeri hari ini.Biarpun kalah dari sudut undi, namun Pakatan Rakyat jelasnya tetap menang dari aspek moral. Sokongan pelbagai kaum kepada Pakatan Rakyat jelasnya cukup membuktikan Pakatan Rakyat adalah wadah terbaik rakyat negara ini.Selain itu kekalahan itu menurutnya menjadikan ikatan antara parti dalam Pakatan Rakyat semakin kukuh berdepan Pilihan Raya Umum akan datang. “Kita mesti ingat di Malaysia ni walaupun kita kalah dalam pilihanraya kecil tetapi bila masuk pilihanraya umum kita menang,” katanya lagi.

Pilihanraya kecil P.94 Parlimen Hulu Selangor dimenangi calon BN P. Kamalanathan dengan majorit 1725 mengatasi calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim. (AK)

Jumaat, April 23

Perjuangan PAS: Tarbiyyah , Dakwah dan Siasah

Oleh Hj Nasrudin Hassan

Masih ada mereka yang tidak memahami , bagaimana PAS berjuang sehingga masih kedengaran suara yang mengatakan perjuangan PAS salah , bida'ah , sesat , tidak mengikut sunnah , bercanggah dengan syariat , hanya mementingkan politik dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS .

Terlebih dahulu saya akui bahawa PAS tidak sunyi dari kelemahan dan kesilapan sebagai sebuah organisasi yang dipimpin oleh manusia. Namun kesilapan dan kelemahan itu tidaklah membawa PAS terbabas ke 'gaung dalam' yang membunuh aqidah dan mencederakan syakhsiyyah sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam . [1]


--------------------------------------------------------------------------------

[1] Fasal 3 . Perlembagaan PAS : Dasar PAS ialah Islam . Fasal 4 . Perlembagaan PAS : Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR .


Sebaliknya kelemahan dan kesilapan yang berlaku , bukan sahaja masih boleh diperbaiki dan disempurnakan tetapi nyata PAS mempunyai cara dan kaedah yang cukup baik untuk terus memantau perjalanan organisasinya agar menepati objektif dan ghayahnya ( matlamat ) [1] .

Organisasi PAS juga mempunyai pelbagai medium untuk memastikan segala misi dan visi perjuangannya berjalan berasaskan syara' .

Kepimpinan Ulama' , Jawatan Kuasa Disiplin Parti , Muktamar Tahunan , Mesyuarat Dewan Harian , Mesyuarat Bulanan , Mesyuarat Khas , Liqa' Fikri , Tamrin , Mukhayyam , Kuliah Haraki , Usrah Mingguan , Konvensyen PAS Negeri , Ijtimak Pilihanraya , Kuliah Agama dan banyak lagi cara dan kaedah untuk PAS mengawal organisasinya berjalan melandasi syariat Ilahi dan sunnah an Nabawi .

Jika terdapat perbedaan dalam approach atau method perjuangan PAS berbanding kumpulan Islam yang lain , ini tidak bermakna PAS salah dan bercanggah dengan syariat dan sunnah. Secara umumnya , wajar saya tegaskan bahawa PAS bergerak dalam ruang orientasi yang saya pecahkan secara kasar kepada 3 ruang utama iaitu :
Tarbiyyah dan Pengkaderan ( pembinaan dan pembentukan )
Dakwah ( penerangan )
Siasah ( politik )
Tarbiyyah dan Pengkaderan . Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyyah dan pengkaderan yang menjadi nadi kepada pergerakkan PAS . Tarbiyyah digerak dan diaktifkan untuk membina :
Aqidah yang benar berasaskan manhaj Ahlis sunnah wal Jamaah
Fikrah yang syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam itu sendiri
Syakhsiyyah yang solehah berasaskan akhlak mahmudah bimbingan Rasulullah saw.
Sementara pengkaderan pula berfungsi untuk membina :
Kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa .
Organisasi yang mantap dan hebat.
Tindakan yang strategic dan berkesan .
Memastikan perkara ini berlaku dalam PAS , Lajnah Tarbiyyah dibentuk pada semua peringkat organisasi PAS , bermula dari peringkat Pusat , Negeri , Kawasan bahkan cawangan. Begitu juga di peringkat dewan – dewan seperti Dewan Ulama' ,

Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut meletakkan Lajnah Tarbiyyah antara Lajnah kanan yang diberi tumpuan utama. Aktiviti asas bagi melaksanakan cita – cita tarbiyyah banyak tertumpu kepada pembentukkan usrah dipelbagai peringkat ( kepimpinan atau ahli ) , tamrin , liqa fikri dan pelbagai program atau aktiviti semasa yang dilihat perlu dari masa ke semasa dengan berbagai wajah yang menghormati kepentingan kepelbagaian approach .

Kini PAS melalui Dewan Pemudanya pula menubuhkan Akademi Kepimpinan Pemuda yang akan berfungsi bersama pelbagai modulnya untuk mengkaderkan kepimpinan pelapis yang berwibawa menepati karisma seorang pemimpin Islam yang soleh.

Dakwah Ilallah ( Penerangan ) Berlandaskan perintah Allah yang mewajibkan setiap individu muslim menyampai dan menyebarkan Islam , dakwah telah menjadi aktiviti asas yang sangat principal sifatnya. [2] Biarpun PAS menghadapi aneka halangan dan ancaman dari pelbagai pihak termasuk polis/FRU yang sering digunakan oleh musuh – musuh Islam yang menghalang kemaraan dakwah Islam ke tengah masyarakat , dakwah untuk menginsafkan ummah agar kembali kepangkuan Islam serta berjuang mendaulatkannya tetap diteruskan . Ada dikalangan pemimpin PAS yang dibunuh , dipenjara , dibuang daerah dan dikenakan pelbagai tindakan kerana dakwah mereka .

Namun segalanya tidak menghalang PAS dari terus melaksanakan amanah besar ini sebagai sebuah Gerakan Islam yang pastinya bertanggungjawab terhadap masa depan ummah.Tugas dakwah ini digalas oleh semua , dari Presiden hinggalah ahli biasa dengan peranan masing – masing berasaskan keupayaan atau kemahiran mereka malah turut menghormati tahap keupayaan masing - masing. Maudhu' ( kandungan ) dakwah PAS sangat jelas [3] , menepati apa yang diajar oleh Allah swt.

PAS mendekati semua lapisan masyarakat . Bermula dengan masyarakat yang tertindas hinggalah pemimpin yang menindas dan ummat yang lesu hinggalah ulama' yang bisu . Pelbagai pendekatan diketengahkan dalam membawa mesej perjuangan. Dewan Pemuda PAS membawa pendekatan Pemuda sebagai Duta Kasih Sayang dan Penyelamat .

Pendekatan dakwah PAS melengkapi 2 kategori utama :

1 : Dakwah Ammah ( umum ) Kuliah Agama , Forum , SeminarCeramah Umum , Muzakarah , DebatMotivasi , DemonstrasiPenerbitan Buku , Penerbitan akhbar , Edaran VCD , Edaran Risalah ,Talk Show , Dialog dll

2 : Dakwah Fardiyyah . ( khas ) Pertemuan TertutupZiarah dan DakwahAktiviti Amal Kebajikan Dakwah PAS tidak bermusim dan tidak juga tertakluk kepada kepentingan pengaruh individu dan politik .

Biarpun sehari selepas tamatnya pilihanraya , PAS telah memulakan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat , demikian juga sehari selepas dibebaskan dari penjara pimpinan PAS terus melangsungkan dakwahnya. Sekalipun dakwah yang dibawa oleh PAS tidak popular malah menerima tentangan sengit dari pelbagai pihak seperti hukuman hudud , PAS tetap menunaikan tanggungjawab dakwahnya dengan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya Negara kita melaksanakan undang – undang dan peraturan Islam itu.

Biarlah kita kehilangan undi popular dan sokongan ramai yang membawa kita kalah dalam pilihanraya , namun dakwah untuk membawa Islam kesetiap pintu hati manusia tetap diteruskan. Siasah ( politik ) Islam adalah agama yang syumul , merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah politik. Mengasingkan politik dari perjuangan Islam ertinya mengurangkan sukatan perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh Nabi saw. [4]

PAS meletakkan politik sebahagian dari tanggungjawab perjuangan yang mesti diperjuangkan. Kini kuasa politik berada ditangan UMNO dan BN yang enggan melaksanakan syariat meskipun berbuih mulut mereka mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam . Malah UMNO dan BN telah menyuburkan bumi Malaysia ini dengan pelbagai maksiat dan mungkar yang telah dihalalkan melalui mazhab Islam Hadharinya.

PAS berkewajipan mengambil tampuk kuasa politik dari golongan yang enggan melaksanakan syariat Islam dan PAS telah berijtihad untuk menggunakan pendekatan aman dan damai tanpa peperangan dan pertumpahan darah , dalam usaha PAS mahu mengambil alih kuasa politik tersebut. Realiti ini membawa PAS mendaftarkan organisasinya di bawah Pendaftar Pertubuhan dan ianya sah untuk bergerak di sisi undang – undang Negara waktu ini. Semua orang boleh mengakui bahawa Islam tidak boleh dilaksana tanpa kuasa politik. Justeru itu , penglibatan dibidang politik ( siasah ) adalah kewajipan besar untuk kembali mengangkat Islam ini ke tempat yang selayaknya sebagai agama suci .

KESIMPULAN

Saya tidak nampak alasan yang munasabah bagi pihak yang menolak perjuangan PAS. Mereka barangkali boleh untuk tidak menyertai PAS , tetapi untuk mereka menolak dan menafikan perjuangan PAS adalah suatu yang sangat tidak adil. Kelemahan dan kesilapan boleh diperbaiki jika ada. Menolak dan menafikan perjuangan sucinya yang diasaskan sejak tahun 51 yang lalu memerlukan alasan yang konkrit dan dalil yang pasti , bukan beralaskan emosi dan sentiment perbedaan kumpulan.

Saya selalu menegaskan kepada umum , jika terdapat suatu yang dilakukan oleh PAS bercanggah dengan syariat dan sunnah , sila nyatakan ! Jika ianya berbentuk dakwaan , sila kemukan bukti ! Kita mencari kebenaran . Andai benar atau ada , PAS melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat , saya dan seluruh ahli PAS yang ikhlas terhadap perjuangan pasti akan menyanggahinya. Namun begitu , janganlah tuduhan melulu tanpa lampiran bukti , dakwaan palsu tanpa kepastian dalil dan emosi berprasangka tanpa berlaku adil.


--------------------------------------------------------------------------------

[1] Fasal 5 . Perlembagaan PAS : Tujuan PAS ialah : 1 : Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai – nilai hidup Islam dan hokum – hukumnya menuju keredhaan Allah . 2 : Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara .
[2] ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون

" dan hendaklah ada dikalangan kamu ummat yang berdakwah kearah kebaikan , menegakkan syariat dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kemenangan." Surah ali – imraan : 104
[3] Fasal 6 . Perlembagaan PAS : Usaha – usaha : 1 . Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan , tulisan dan amalan . 2 . Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai – nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran , ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan .
[4] فما لا أصل له فمهدوم و ما لا حارس له فضائع الدين أصل و السلطان جارس " Agama adalah tapak dan pemerintah ( kedaulatan ) adalah pengawal , suatu yang tiada tapak pasti runtuh dan suatu yang tiada pengawal pasti hilang ." – al Imam Ghazali dalam Ihya' Ulumiddin