Isnin, Julai 26

Persiapkan Diri Untuk Ke Sekolah Ramadhan..

Muqaddimah:

Bulan Ramadhan memiliki keutamaan dan keistimewaan yang besar. Semua amal soleh yang kita lakukan pada bulan ini akan mendapat balasan lebih banyak dan lebih baik berlipat kali ganti. Oleh karena itu, kita sangat-sangat dianjurkan untuk memperbanyak amal kebajikan dan meninggalkan kemaksiatan.

Pejam celik-pejam celik mata ini sedar-sedar kita dah nak dekat dengan bulan Ramadhan dah. Lagi 2 minggu. Persoalannya, dh bersedia ke kita menerima Ramadhan kali ni??? Pe persediaan kita?? Apa pula bekalan kita sebelum ramadhan ini tiba??

Perumpamaan di sini adalah seperti kita hendak menerima tetamu datang ke rumah kita. Tetamu itu pula orang besar, Tuan guru contohnya. Nak datang rumah kita dalam masa 2 minggu lagi. Pe persiapan kita?? Adakah dengan ala kadar je?? Rumah berselerak, kitab-kitab tidak tersusun, anak-anak tidak diambil kira, makanan di merata-rata, sampah sarap penuh tidak disapunya, tidak selesa baunya, dan banyak lagi keadaannya.Adakah begitu keadaan rumah hendak menerima tetamu seorang alim ulamak datang...Adakah dengan cara itu? MasyaALLAH, teruknya...

Begitulah juga apabila datangnya bulan yang mulia, bulan Ramadhan. Kita perlu bersedia menerimanya. Dengan persiapan yang penuh teliti dan cermat kita hiasi setiap sudut supaya datangnya membawa rahmat dan pemergiannya kita perolehi keberkatan daripada ALLAH Taala. Natijah pada akhirnya kita datang mumtaz di sisi ALLAH Taala. Tu terbaik..

Marilah kita sama-sama berbuat persiapan:

1. Pastikan diri kita dan keluarga terdekat kita sudah selesaikan hutang tertunggak(sudah pun mengganti puasa yang ditinggalkan) sebelum datangnya Ramadhan ini

2. 2 bulan sebelum Ramadhan kita sudah mula berjinak dengan puasa-puasa sunat.Tidak menunggu bulan Ramadhan baru bermulanya berpuasa.

3. Selalu doakan dan munajat kepada ALLAH Taala semoga dipanjangkan umur bertemu ramadhan akan datang.

"Ya Allah, berkatilah kami dibulan Rajab dan Sya'ban dan pertemukan kami dengan bulan Ramadhan." (HR Ahmad)

4. Lazimi amalan-amalan sunat yang lain seperti bacaan quran, zikir pagi petang, sedekah, bangun malam, selawat, dan semua amalan baik supaya datangnya Ramadhan tidak memberatkan kita.

5. Sifat ikhlas perlu diterap dan dididik dalam hati sanubari. Ikhlas dalam setiap amal islami yang dibuat.

6. Tidak tinggalkan amalan harian dan bulanan seperti hadiri mesyuarat dan usrah-usrah ilmiah.
Berkecimpung dengan masyarakat sampaikan dakwah Islam, tegakkan daulah.

7. Tidak dilupakan amal tarbawi walaupun dalam bulan Ramadhan.

8.Tazkiyatun nufus wal arwah (mensucikan jiwa dan ruhani) agar kita memiliki kemampuan untuk memikul beban pada masa mendatang.

9. Jauhi maksiat kepada ALLAH Taala.

10.- Komitmen yang sempurna dengan nilai, prinsip dan akhlak Islam yang mulia.

Ini adalah sebahagian yang boleh saya kongsi, semoga ianya berguna buat kita dalam mempersiapkan diri berhadapan dengan bulan Ramadhan yang akan datang tidak lama lagi. semoga kita semua diberi kekuatan iman dan islam.

Sabtu, Julai 24

Tolak perpaduan asabiyah Umno.. sertai PAS, parti ISLAM sedunia


Sebagai sebuah parti Islam, PAS mengasaskan perjuangannya untuk memupuk dan memperkuatkan ukhuwwah Islamiah serta menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat dalam segenap aspek.

PAS mengasaskan perpaduan di atas prinsip Islam, memperkenalkan nilai-nilai Islam dalam usaha menegakkan keadilan dalam bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Pada pendapat PAS, perpaduan mestilah dipaksikan dengan ketakwaan kepada Allah SWT.

Prinsip-prinsip ini digariskan dengan jelas menerusi firman Allah (mafhumnya):

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah al-Imraan, ayat 102-104)


Adapun sejak akhir-akhir ini Umno mula memainkan kembali 'jarum' perpaduan, kononnya masa depan Islam dan Melayu akan musnah jika PAS dan Umno tidak bersatu.

Kita mengajak kepimpinan Umno dan ulama-ulama yang sewaktu dengan mereka, untuk menghayati dan memperhalusi ayat-ayat Allah yang dipaparkan di atas.

Sebelum ulama-ulama upahan ini menjadi orang tengah untuk menyatupadukan PAS-Umno di atas dasar Islam dan Melayu, mereka harus mengkaji dan menilai kembali, pada aspek mana perjuangan Umno dan pelaksanaan pemerintahannya selama lebih 50 tahun ini, menepati ayat-ayat di atas?

Umno yang mendakwa dirinya parti Melayu-Islam tidak pernah mengasaskan tunjang pemerintahan di atas dasar takwa kerana asas perjuangan mereka adalah nasionalisme atau asabiyah.

Asabiyah yang dianuti Umno merosakkan mereka. Umno adalah Melayu, PAS juga Melayu. Tetapi mengapa mereka memusuhi PAS sekian lama, menindas dan mendiskriminasi pemimpin, ahli dan penyokong PAS? Mereka juga meminggirkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS.

Selain daripada itu Umno juga menghalang pelaksanaan Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Umno juga menyekat, melarang dan menangkap pemimpin-pemimpin PAS yang menyampaikan kuliah di masjid-masjid dan surau-surau.

Ini belum termasuk dasar-dasar kerajaan yang menghancurkan masa depan Melayu seperti PPSMI, dasar bahasa dan sebagainya.

Hakikatnya, perjuangan Melayu-Islam untuk sudah jauh tersasar. Mereka terlalu rasis sehingga meminggirkan bangsa Melayu sendiri. Yang dipimpin, dibela, diberi biasiswa, dibantu hanyalah Melayu Umno.

Umno tidak layak menjadi parti harapan orang Melayu lagi. Umno harus dibubarkan kerana ia sudah gagal. Ia adalah parti yang memperjuangkan asabiyah sempit, parti kroni dan juak-juak.

Dalam keadaan Umno yang semakin di penghujung hayat, mereka cuba bergayut di dahan PAS dengan mengumpan agenda perpaduan. Hakikatnya Melayu tiada pilihan lain selain bersatu di bawah payung PAS. Selepas perjuangan Melayu gagal membela Melayu, kali ini beri peluang kepada parti Islam, perjuangan Islam untuk memelihara martabat Melayu.

Sumber:Harakah
Oleh: Mohd Rashidi Hasan

Rabu, Julai 21

Hari ke-7 buat mujahidahku... SOFIYYATUL 'ULYAA BT MOHD FAIZOL

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI DENGAN INI KAMI MENGISTIHARKAN NAMA ANAK SULANG KAMI YANG TELAH SELAMAT DILAHIRKAN PADA 4 SYAABAN 1431 H BERSAMAAN 16 JULAI 2010...

IAITU: SOFIYYATUL 'ULYAA BT MOHD FAIZOL

KAMI POHON DOA DAN RESTU DARIPADA SELURUH RAKAN TAULAN TERUTAMANYA DARI IBU-BAPA KAMI SEMOGA ANAK INI MENJADI ANAK SOLEHAH DAN SRIKANDI BUAT PERJUANGAN ISLAM. ALLAHUAKBAR.....

DRPD KAMI PASANGAN:

ABI: MOHD FAIZOL ENDUT
UMMI: SITI ANISAH HJ AHMAD

Khamis, Julai 15

GEMPAK: Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini (15 Julai).

Perdana Menteri ketika mengumumkan kenaikan memberikan alasan:

Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.

komentar:

Dengan kenaikan 5 keperluan secara serentak, adakah tidak membebankan rakyat?? khasnya rakyat yang berpendapatan rendah.. Rakyat yang gaji kerjanya hanya RM 10-15 sahaja sehari.. Nak manyara kehidupan isteri dan anak-anak.. Berfikir panjang juga dibuatnya. Orang-orang kerajaan berpendapatan tinggi takpela, ni orang-orang kampung yang "kais pagi makan pagi,kais petang makan petang.." pe cerita nanti dengan mereka ni??


Kalau naik
satu-satu barang xpe la. Ni sekali naik 5 barangan keperluan.. Tidak sempat nak ejas cari duit bagi mereka yang kurang kemampuan. Pimpinan perlu cekap dalam membuat keputusan. Pemimpin negara perlu mengambil kira kepada semua peringkat supaya rakyat tidak terasa terbeban.

Teringat saya pada kisah saidina Umar. Satu malam, keluar berjalan malam melihat rakyatnya. Terjumpa dengan seorang ibu sedang menidurkan anak-anaknya yang teresak-esak menangis. Apabila ditanya, ibu tu menjawab anak-anaknya lapar menunggu masakan di atas dapur kayu itu yang dalamnya adalah batu-batu yang dipanaskan oleh si ibu.Kerana terdesak, si ibu pura-pura masak walaupun di dalamnya batu. Si ibu panaskan supaya anaknya tertidur, tidur dalam keadaan lapar. Kerana kurang kemampuan, tiada bekalan keperluan asas.

Si ibu merintis , ini adalah kerana Umar yang memerintah.. Tidak mengambil tau hal keadaan rakyatnya. Si ibu tidak mengetahui bahawa insan yang bersama ibu itu adalah Umar.. Kesedihan buat Umar dan beliau terus ke gudang memikul sendiri gandung dan keperluan lain dan terus masak dengan sendiri oleh tangan pemimpin bernama Umar..Dalam keadaan mengalir air mata Umar.. " adakah aku telah menunaikan tangungjawab aku sebagai ketua nagara" luahan saidina Umar..

Ada tak lagi pimpinan sebegitu?? tu contoh tauladan buat kita dan pimpinan khasnya.. Nak ikut siapa lagi kalau bukan sahabat-sahabat Nabi S.A.W??? nak ikut nafsu semata-mata??? minta dijauhkan. Biar kita dapat jawab di hadapan ALLAH Taala nanti atas apa amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita..

Semoga ALLAH melahirkan di kalangan kita orang seperti pimpinan UMAR Al-Khattab atau pun UMUR abdul Aziz. Jauh daripada anasir THOGHUT.. AMIN..


Rabu, Julai 14

ISU UMNO HENDAK KERJASAMA DENGAN PAS: kerana ISLAM atau ada udang disebalik MEE???

PAS sudah tolak berunding dengan Umno
Nik Abdul Aziz Nik Mat

Sukacita saya merujuk kepada laporan beberapa akhbar hari ini (14 Julai 2010), khususnya menyentuh permasalahan hubungan PAS dengan Umno.

Sukacita dinyatakan, isu berunding antara PAS–Umno sudah selesai. PAS sudah menolak untuk berunding dengan Umno. Sekarang PAS sudah menerima kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Kalau Umno ingin sangat menjaga perjuangan orang Melayu, lebih baik Umno menukar dasarnya kepada Islam. Kerana Islam yang menyelamatkan manusia dan KITA HARUS INGAT penghujung hidup manusia adalah Akhirat. Sebab itu, Islam mengajar hidup manusia mesti berpandukan ad-Din, iaitu cara hidup berpandukan agama. Hanya agama diambil kira di Akhirat.

Atas maksud untuk memenuhi tuntutan hidup beragama, maka setiap kali umat Islam sembahyang, hendaklah membaca al-Fatihah yang di dalamnya mengandungi perkataan “maliki yaumiddin” yang bermaksud hari agama, hari berlakunya pembalasan mengikut neraca agama. Sementara agama itu pula terkandung di dalam 30 juzuk al-Quran. Oleh sebab itu, Islam mengajar kita supaya menerima pakai semua ayat al-Quran sebagai panduan hidup. Kita tidak boleh pilih untuk pakai ayat-ayat tertentu, sementara ayat-ayat tertentu pula kita tolak.

Atas prinsip agama begini, maka PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar tahun 1990 dan 2008 lalu.

Apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, maka Umno boleh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat. Bila Umno boleh bersama PAS atas dasar Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh.

Sekaranglah masanya untuk Umno menukar dasar Melayunya itu. Jangan terikut-ikut dengan puak Yahudi. Kerana pengasas perjuangan bangsa itu adalah puak Yahudi. Ia disambung pula oleh puak Arab. Sedangkan perjuangan atas dasar kaum atau bangsa tidak diterima di sisi Nabi Muhammad SAW. Sedangkan di akhirat kelak kita akan masuk syurga. Untuk masuk syurga mestilah dengan syafaat Nabi. Macam mana untuk mendapat syafaat Nabi sekiranya kita berjuang tidak mengikut seruan Nabi.

Wallahu’alam.

YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.