Manhaj Al-Azhar Terjaga -Syeikh Usamah | | | |
Penerimaan masyarakat dunia kepada Al-Azhar dapat dilihat sejak tertubuhnya Al-Azhar itu lebih 1,000 tahun yang lalu, demikian ditegaskan oleh Syeikh Dr.Usamah Sayyid Al-Azhari, seorang ulamak Al-Azhar yang terkenal di Mesir ketika menyampaikan ceramahnya 28 September lalu di hadapan ratusan para mahasiswa dan mahasiswi di Dataran Hayyul 'Asyir pada program Wada' Ramadhan anjuran Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasilan Penyelidikan PMRAM (MANHAL). Ucapan beliau itu yang memakan masa lebih dua jam itu mengupas tajuk Manhaj Al-Azhar Dalam Aqidah Dan Syariah telah berjaya memukau para hadirin yang datang membanjiri dataran tersebut.
Beliau memulakan perbincangan dalam Fekah. Menurut beliau, sejak dahulu telah terdapat 90 orang ulamak yang dikenali sebagai "mujtahid" dalam Islam. Antara mereka, Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Malik,Imam Ahmad bin Hanbal,Imam Laith bin Sa'ad serta ramai lagi. Namun akhirnya masyarakat dunia menerima empat dari kalangan mereka sebagai sumber Islam bagi mazhab Fekah dalam Islam iaitu empat Imam Mazhab yang masyhur. Begitu juga dalam bidang Aqidah, lahirnya aliran Asy'ari dan Matrudi. Begitu juga dalam bidang Hadis,diiktiraf enam kitab sebagai sumber bagi bidang Hadis antaranya Bukhari dan Muslim.
Menceritakan kehebatan manhaj yang dibawa oleh Al-Azhar beliau menerangkan bagaimana Al-Azhar berjaya mengambil tempat di hati kalangan para ulamak silam dari pelbagai negara di dunia ini. Antara mereka yang mengembara dalam perjalanan menunaikan haji dari negara masing-masing,singgah seketika di Al-Azhar. Antara mereka hingga tinggal mepelajari di Al-Azhar beberapa tahun hingga dilantik sebagai Syeikh Al-Azhar. Untuk itu, beliau turut menerangkan kehebatan mereka hingga ada yang mahir dalam bidang lain selain ilmu agama. "Ada kalangan syeikh Al-Azhar dahulu pernah menulis buku tentang kejuruteraan,muzik,geografi dan sains,"ujar beliau.
Di Al-Azhar, terdapat 70 lebih ilmu agama Islam yang diajar termasuk Tafsir, Hadis,Usul Feqh dan pelbagai lagi.
Menurut Syeikh Usamah yang banyak mempelajari ilmu dari Mufti Mesir sekarang,Dr.Ali Jumaah, ilmu-ilmu yang berada di dalam tulisan tidak mencukupi tanpa pemegang amanah yang menanggung ilmu-ilmu tersebut.
Beliau juga menasihati para mahasiswa dan mahasiswi agar berpegang dengan manhaj yang dibawa oleh Al-Azhar kerana ia adalah terjaga. "Jika seorang dari kalangan ulamaknya terpesong dari manhaj ini,akan ada lagi berpuluh-puluh lagi ulamak lain yang akan mempertahankannya (manhaj tersebut),"
Majlis yang dikendalikan oleh mantan Presiden PMRAM, Ustaz Hairul Nizam Mat Husin tersebut turut membuka sesi soal jawab kepada para hadirin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan