oleh:Ustaz Wan Hadiyyudin Wan Mahmood
Penasihat 1 DPMT
Pengalaman pertama menjadi seorang pengurus pasukan bola sepak sebenarnya sesuatu yang mengujakan. Kepercayaan yang diberi untuk merencanakan sebuah komuniti bola sepak dengan matlamat untuk mengembalikan Piala Kejuaraan suatu prospek yang cukup menarik. Ternyata ianya telah memahatkan suatu kenangan manis, khususnya kepada mereka yang telibat secara lansung apabila pasukan bola sepak DPM Tanta atau sinonim dengan jolokan nama Fursan Tantawi telah berjaya meralisasikannya.
Pada awalnya saya lansung tidak punya hasrat dan cita-cita untuk menjadi pengurus pasukan, menyedari banyak masa yang perlu dihabiskan kerananya. Lagi pula daripada menjadi seorang pengurus yang barang pasti tiada posisi yang boleh dibarisi dalam kesebelasan lebih baik menjadi pemain terus. Lebih-lebih lagi saya merasakan menjadi pemain Fursan Tantawi sudah sebati dengan jiwa saya. Sudah tiga kepingan medal yang boleh dikoleksikan sepanjang saya bersama Fursan Tantawi.
Namun atas permintaan kawan-kawan khususnya para pemain, saya gagahi juga walau berasa di berat hati. Diruangan ini bukanlah kisah seorang pengurus bola sepak yang hendak dihighlightkan kerana saya merasakan ada topik lain yang lebih penting hendak dikongsikan.
Isunya ialah sukan bola Sepak merupakan medan dakwah yang cukup lumayan. Sebagaimana perkara-perkara lain juga, jika dipandang dari sudut dan perspektif dakwah atas kapasiti dan kesedaran seorang daie, maka disana kita akan nampak ada saja ruang dan peluang yang boleh dimainkan. Namun pada saya, sukan bola sepak sangat signifikan kerana lapangannya sangat luas, potensinya cukup besar, dan sasarannya sangat ramai.
Contohnya mudah, jelas dan nyata. Tinjaun dari sudut bilangan. Sukan bola sepak Piala Presiden baru-baru ini berjaya menggumpulkan penyertaan sebanyak 22 pasukan. Setiap pasukan diwakili seramai 18 orang pemain termasuk jurulatih dan pegawai Jika didarab dengan jumlah penyertaan maka bilanganya adalah seramai 396 orang. Tidak termasuk penyokong dan orang kebanyakan lain yang turut hadir.
Ternyata dengan jumlah yang sebesar itu pasti sahaja ada tugas penting yang perlu dilaksanakan. Bukan mudah untuk mengumpulkan khalayak yang seramai itu dalam satu-satu program. Namun jika tiada sebarang anisiatif yang diambil bagi memanfaatkan peluang lumayan yang telah terhidang, saya kira kita telah meninggalkan satu juzuk penting untuk menyampaikan maudu’ dakwah. Para daie perlu sentiasa peka dengan kerjanya untuk mengkuantitikan golongan yang berkualiti.
Maksud berdakwah di sini ialah kita belajar menjadi seorang daie yang tugasnya ialah berdakwah. Tidak kira walau kita berada diposisi mana sekalipun. Sama ada para pemain, penyokong, pengurus dan siapa sahaja, masing-masing boleh berperanan Di sinilah tempatnya untuk kita belajar buat kerja-kerja dakwah demi untuk menajamkan kemahiran dan kemampuan berdakwah masing-masing agar tidak kekok mengaplikasikannya bila berada di gelanggang sebenar nanti.
Saya tidak bermaksud untuk menstatuskan para pemain Piala President baru-baru ini sebagai golongan ‘rosak’ yang perlu disampaikan risalah dakwah, sebaliknya sebagai analogi sahaja kepada golongan yang mahu sedar bahawa di sana ada bilik darjah yang sedia mengajar subjek dakwah kepada sesiapa sahaja yang berminat. Saya melihat sukan bola sepak akan tetap menguji para azhari sejauh manakah kekentalan iman perjuangan mereka bila pulang ke pangkuan ummah nanti. Jangan pula kita menjadai sebahagian daripada mereka yang akan meramaikan lagi bilangan azhariyyun yang mengaku kalah sebelum turun berjuang.
Justeru, saya menyeru kepada semau pengamal bola sepak dari kalangan azhariyyun samada mereka para pemain atau peminat sukan nombor satu dunia ini untuk sama-sama kita melihat objek bulat itu yang menjadi kegilaan ramai orang dengan pandangan seorang daie. Sesungguhnya aktiviti-aktiviti sukan di Malaysia bola sepak khususnya memerlukan banyak pengislahan. Kalau bukan kita nak diharapkan kepada siapa lagi?
Benar dakwaan yang mengatakan bahawa kegersangan yang berlaku dalam melaksanakan tugasan dakwah adalah kerana kekontangan ilmu dan skil untuk berdakwah. Justeru, mengharapkan semoga diberi taufiq oleh Allah s.w.t, kerana kita semua adalah DAIE.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan