Sabtu, Julai 4

Sejarah Asrama Rumah Melayu Abasiah (ARMA)

PMRAM pada tahun 1956 telah mengharumkan nama seluruh anak-anak Melayu di Tanah Melayu apabila seramai 65 orang para mahasiswa Al-Azhar ketika itu telah bersedia untuk berkorban nyawa demi mempertahankan negara Mesir daripada serangan tiga penjuru; Perancis, British dan Israel apabila mereka telah menyertai secara sukarela anggota Pertahanan Awam bagi Mesir yang bersedia untuk terjun ke medan perang sekiranya bilangan askar kerajaan Mesir tidak mencukupi. Sebahagian mahasiswa yang tidak berkeupayaan untuk berperang telah menderma darah manakala para mahasiswi pula tidak ketinggalan dalam perjuangan dengan menjahit pakaian tentera yang digunakan dalam peperangan.

Atas keberanian ini, Presiden Mesir ketika itu, Presiden Jamal Abdul Nasir telah menganugerahkan sebidang tanah kepada PMRAM ataupun yang dikenali ketika itu sebagai Persekutuan Melayu Mesir (PMM). Hasil hadiah tanah yang seluas 2,212 meter persegi di Abbasiah dengan sah menjadi milik PMM melalui majlis penyerahan geran pada tahun 1959 yang dihadiri oleh Yang Di Pertua Persekutuan Melayu Mesir ketika itu, Tan Sri Haji Wan Mokhtar Ahmad (mantan Menteri Besar Terengganu).

PMRAM mengiktiraf bahawa tanah tersebut pada hari ini adalah milik Kerajaan Malaysia hasil daripada penukaran hak milik tanah daripada nama PMRAM ke nama Kerajaan Malaysia pada tahun 1960 sebagai satu proses untuk Kerajaan Malaysia meluluskan kewangan untuk membina asrama di atas tapak tanah tersebut.

Hak PMRAM berdasarkan dokumen “Peraturan-peraturan Asrama Rumah Melayu”

Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telah menandatangani Peraturan-Peraturan Asrama Rumah Melayu bagi tahun 1971 dan 1986 yang turut ditandatangani bersama oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah dan Yang Di Pertua PMRAM.

Berikut adalah beberapa klausa yang termaktub di dalam Peraturan-Peraturan Asrama Rumah Melayu bagi tahun 1971 dan 1986 yang menunjukkan hak PMRAM memiliki pejabat di ARMA.

“Tapak bangunan ini adalah diperolehi dari hadiah pihak berkuasa Kerajaan Mesir atas daya usaha dan jasa ahli-ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.” (Peraturan tahun 1986, Fasal 1 Pendahuluan Ceraian 1.3)

“Anjung tingkat bawah asrama ini adalah dikhaskan sebagai pejabat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.” (Fasal 1 Pendahuluan Ceraian 1.6)



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ustaz...

Ana nak kepastian... bukankah Tapak ARMA di berikan kepada PMM? Kenapa pelajar Malaysia sahaja yang mati-mati mengaku itu hak milik mereka sedangkan pelajar Indonesia, Singapura dan Thailand tidak pulak sedemikian?

Anta tahu tak mengenai Vienna Convention... berkaitan hubungan diplomatik antara negara-negara anggota?