Jumaat, Julai 2

'Pendidikan seks perlu bermula 9 tahun': AWAK SETUJU ATAU TIDAK???

Para pelajar perlu didedahkan dengan pendidikan seks di sekolah seawal umur 9 tahun atau darjah 3 lagi, kata Ketua Sub-Unit Seksualiti Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Hamizah Mohd Hassan.

Menurut Dr Hamizah, hasil kajian menunjukkan golongan muda mula terlibat dengan seks bebas seawal umur 11 tahun tanpa mempunyai pengetahuan yang luas mengenai perkara itu.

"Saya merupakan salah seorang panel yang membuat sistem kokurikulum yang baru di sekolah dalam pendidikan sains dan kesihatan.

"Saya telah mencadangkan kepada kementerian pelajaran supaya pendidikan seks diajar seawal sembilan tahun dengan memulakan pembelajaran mengenai bahagian-bahagian fizikal badan.

"Manakala pada umur 12 tahun, mereka boleh mula diajar mengenai persenyawaan. Saya harap, pelajaran ini akan mula diajar pada tahun 2011 atau 2012," kata Dr Hamizah.

Beliau berkata demikian ketika berucap di forum pendidikan seks yang bertajuk 'Always Be Careful - Examine Your Zip' (Sentiasa Waspada - Periksa Zip Anda) yang dianjurkan oleh sebuah NGO Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM) di ibu negara malam tadi.

Dapat filem lucah daripada bapa, pakcik


Turut sama memberikan dalam forum berkenaan ialah penggiat Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduksi Malaysia (FRHAM) Wong Li Lieng dan Pengasas Hak Reproduksi Perikatan Advokasi Malaysia (RRAAM) Rashidah Abdullah.

Membentangkan padangannya dalam majlis yang hanya hanya dihadiri tidak sampai 30 orang pendengar, Dr Hamizah berkata, golongan muda perlu diberi tunjuk ajar lebih-lebih lagi dalam perkara yang melibatkan hubungan seks.

Ini kerana, tambahnya, bagi golongan muda, pemikirannya masih lagi tidak berkembang.

Sementara itu, beliau mendedahkan, hasil daripada sesi kaunseling yang dikendalikannya, kebanyakkan mereka terjebak dengan seks bebas dengan mempelajarinya daripada media seperti filem dan internet.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya kerana adakala keadaan sekeliling yang menjadi penyebab mereka terjebak dengan seks bebas.

"Ketika saya membuat sesi kaunseling dengan pelajar sekolah berumur 16 tahun, dia mengatakan, adakalanya dia mendapatkan filem pornografi daripada bapa mereka, abang mereka dan adakalanya pakcik mereka yang tinggal serumah.

Guru sebut 'anu'

"Hasil daripada menonton pornografi, mereka berasa ingin mencuba. Mereka tidak berfikir panjang kerana minda mereka tidak matang sepenuhnya. Mereka juga tidak memikirkan sebab dan akibat yang bakal mereka alami," kata Dr Hamizah.

Beliau juga mengkritik guru di sekolah yang tidak terlatih dan mengajar dengan cara yang tidak betul.

"Ada sesetengah guru apabila mengajar, mereka menyebut 'anu' dan bukan nama alat sulit tersebut," kata Dr Hamizah.

Sementara itu, Wong pula berkata, pendidikan seks di sekolah perlu diajar dalam konteks yang lebih mudah walaupun terdapat sesetengah pihak menganggapnya lebih mengalakkan remaja untuk melakukan seks.

"Kita perlu buat sesuatu seperti mengajar mereka tentang pendidikan seks. Remaja yang melakukan seks luar nikah semakin hari semakin banyak.

"Saya rasa ini merupakan masa yang sesuai untuk kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama melakukan sesuatu bagi mengelakkan perkara ini lebih berleluasa," tegasnya.

KOMENTAR: Apa macam???.. pe pula pandangan ulamak2 kita.. ULAMA dr UMNO atau PAS?? pandangan ustaz-ustaz??

Bukan isu main2 ni... Kalau betul2 jadi dan diluluskan pada masa akan datang, sasarannya anak kita.. Anak tuan-tuan dan puan-puan semua... Ni masalah pendidikan, bukan masalah menberi mainan untuk anak2 kita.. Sama- sama kita fikir.

Tak tau la, di mana mereka2 ni ambil acuan, sehinggakan anak-anak pun nak dirosakkan sejak dari kecil lagi.. Kalau ikutkan mereka ni, nak musnahkan anak-anak sejak dari dalam kandungan lagi.. Di mana mereka meletakkan ISLAM.. Pe kata ISLAM dalam isu pendidikan ini..

Pendidikan anak2 sebenarnya bermula dari mana? Bukan ke awal2 lagi kita nak pastikan anak-anak kita kenal ALLAH dan rasulNYA.. Mengetahui yang mana halal dan yang mana haram.. Bina iman dalam diri. Didik dgn akhlak mulia. Menjaga ibadah-ibadah wajib dan sunat. Asas dengan hafalan dan penghayatan QURAN dalam kehidupan.. Menjaga batas pergaulan. Menghormati ibu-bapa. Bertanggungjawab kepada diri dan masyarakat. Mempunyai jati diri ISLAM tulen.

Banyak lagi untuk perlu kita tanamkan dalam jiwa anak-anak untuk membina mereka sebagai insan yang baik dan berwawasan.


Apabila perkara ini dijanang dan diusahakan, insyaALLAH, anak-anak akan dapat mengatasi masalah seks ni. Tidak perlu belajar awal-awal. Ilmu ini cepat ja faham, tp lepas faham nak kawal tu susah bila dah mengetahui. Harap semua faham akan situasi ni.

Saya dah merangka dengan isteri saya jika perkara ini diluluskan oleh kerajaan anak-anak saya tidak akan dihantar ke sekolah kerajaan. Sekolah bukan untuk merosakkan anak-anak, tp untuk mengajar anak-anak kita. Sayangilah keluarga anda..

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hai org beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kami dr api neraka ALLAH taala.....